Seperti permainan silap mata dalam PRK Bagan Pinang, sehingga BN mencapai kemenangan besar lebih lima ribu majoriti. Seperti biasa, media rasmi tajaan UMNO-BN berkokok dan mendendangkan lagu kemenangan mereka berhari-hari. PAS akan dilihat serba lemah, dan rakyat sudah mula menolak politik Islam PAS, kata mereka.
Jika dilihat pada keputusan itu, kemenangan ini awalnya sudah dijangka. Bagan Pinang adalah kubu kuat UMNO, dan situlah tempat mereka berpaut. Sanak keluarga ISA Samad ramai yang menetap di Taman Eastern. Itulah talian hayat mereka.
Jika ditolak undi pos, kemenangan ISA tidaklah membanggakan sangat. Majoriti 5,435 adalah termasuk undi pos. Majoriti undi pos adalah 2,920, sudah boleh mengenyangkan ISA. Dengan undi pos sahaja sudah memadai untuk ISA menang tanpa perlu bersusah payah turun berkempen. Semenangnya undi pos adalah senjata awal dan terakhir UMNO untuk berada di takhta kuasa.
Saya menyaksikan sendiri proses undi pos berlangsung. Budaya ugut dan mendesak telah lama menjalari kem tentera. Sedari awal, kawalan ketat tentera terhadap anggotanya dari menerima tempias kempen PAS. Kami mengedarkan risalah di depan pintu depan kem mereka sudah menjadi suatu bencana buat anggotanya. Bergegas pasukan risikan yang tidak ada kerja lain turun dan mengungut setiap kereta yang keluar dari kem agar tidak mengambil risalah kami. Jika menerima risalah sahaja, nombor plat kereta akan diambil dan seterusnya akan diambil tindakan keras.
Maka menggigillah anggota tentera apabila melalui kawasan kami berhimpun, setengahnya tidak mampu untuk mengangkat kepala melambai kami. Walhal, pemimpin UMNO yang memakai baju Menteri sehingga ke dalam kem berkempen politik parti mereka, sesuatu yang menyanggah dengan tentera (tentera dilarang keras berpolitik kepartian di dalam kem).
Saya bersetuju politik kepartian tidak dibenarkan di dalam kem atas alasan menjaga keharmonian dan kebulatan tentera. Tetapi itu di dalam kem. Mengapa perlu pasukan risikan bersusah payah menjalankan tugas sehingga di luar kem? Kalau nasi lemak di haramkan didalam kem, apa peduli jika tentera memakan nasi lemak di luar kem. Itukan hak mereka. Begitulah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.
Ketika proses pengundian berlangsung, berlaku kelucuan yang tidak munasabah. Bagaimana sebuah organisasi yang mempunyai disiplin yang begitu tinggi tiba-tiba apabila dalam proses pengundian, disiplin itu langsung tidak terpakai. Pasukan PACA (Polling Agent & Counting Agent) kami terpaku mendapat senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR langsung tidak digunakan, bahkan digantikan dengan daftar pemilih milik tentera. Sehinggakan senarai itu tidak lengkap, ada yang bertulisan (font) berlainan dari yang lainnya. Bahkan ada yang ditulis tangan. Begitulah harunya tentera yang boleh diperkudakan sedemikian rupa.
Ramai anggota yang mengadu tidak boleh mengundi kerana daftar pemilih yang dikeluarkan oleh kem tidak ada, sedangkan senarai di SPR ada. Alangkah lucunya. Apabila didesak oleh wakil calon untuk mendapatkan senarai daftar pemilih yang dimiliki oleh kem, mereka enggan menyerahkan dengan pelbagai alasan. Yang meminta adalah wakil calon (orang yang punya autoriti dalam PRK, bukan sebarangan orang).
Pasukan Polling Agent kami menerima 'kebodohan' oleh SPR dan tentera apabila pasukan tentera yang mengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalannya. Bagaimana boleh dikenalpasti mereka adalah pengundi yang sebenar. Apabila kami bertegas mahu memeriksa senarai nama yang mengundi, jumlah baki nama yang masih belum mengundi mereka enggan bekerjasama. Kalau begitu apa perlunya di adakan PRK dan pemantauan begini.
Ada laporan tentera menafikan hak sesetengah dari kalangan mereka untuk mengundi Beberapa nama yang kami perolehi tidak mengundi, tetapi nama mereka digunakan oleh pengundi lain untuk mengundi. Saya menganggarkan tidak kurang seratus nama berdasarkan kepada laporan dan rungutan mereka yang tidak boleh mengundi tetapi telah diundi oleh orang lain.
Sukar untuk disiasat di kawasan kem tentera yang punyai autonomi sendiri. Mereka beralasan kami orang luar dan tidak mempunyai hak apa-apa Apabila diadukan kepada SPR, SPR berlepas tangan dengan mengatakan ini kuasa tentera.
Tatkala mengundi, pengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalan tentera. Lazimnya, nama pengundi akan dilaungkan supaya Polling Agent boleh menyemak kesahihan mereka. Ini tidak berlaku. Sudahlah jarak antara Polling Agent dengan pengundi jauh, mereka pula langsung tidak dilaungkan nama. Seolah-olah Polling Agent hanya sebagai 'pak pacak' sahaja. Inilah sistem yang diguna pakai sejak sekian lama bagi menimbulkan keraguan dan seterusnya boleh memihak kepada BN.
Bagi undi luar dari kem pula, SPR akan mengepos undi tersebut. Bayangkan siapa pula dapat memantau apakah setiap helai kertas undi yang dipos (lebih kurang 2,000) boleh sampai ketangan pengundi yang sebenar. Siapa pula dapat mengesahkan mereka yang mengundi dan bukan orang lain. Di Pejabat Tanah (Tempat pengiraan undi pos) kami menerima bertalu-talu undi yang datang dari luar kem (melalui pos). Entah bagaimana undi yang dipos dalam masa dua hari boleh sampai kembali ke tangan SPR tepat pada masanya. Membayangkan setiap pengundi luar sangat peka berlangsungnya PRK Bagan Pinang dan mereka bertindak seberapa segera untuk mengundi dan mengepos undi mereka.
Semasa proses pengiraan undi, kami diarah untuk membantah mana-mana undi yang meragukan. Lebih seratus undi yang dibantah, tetapi hanya 60 bantahan sahaja diterima (undi ditolak). Dan seperti diduga, undi BN jauh mengatasi undi PAS. PAS hanya memperoleh 601 berbanding undi BN (2929). Kalaulah politik tidak dibenarkan di dalam Kem, bagaimana pengundi dapat memilih BN dan menolak PAS? Bukankah itu bermakna perlu politik dan berparti terhadap anggota tentera supaya mereka dapat memilih parti yang mereka inginkan?
Saya hairan di peti undi 14,15 dan 16 tidak ada langsung undi yang memihak kepada PAS. Peti-peti tersebut sampai lewat beberapa jam sebelum tutup pusat pengundian. Sangat meragukan. Agak-agak tidak ada langsung pengundi di peti undi 14-16 ini memihak atau simpati kepada PAS? Adakah semua mereka adalah ahli UMNO-BN, atau penokong tegar BN. Pelik walaupun tidak mustahil.. Mungkin agaknya pengundi ini telah diugut supaya mengundi hanya BN. Ataupun mungkin pengundi tersebut tidak pernah melihat kertas undi mereka sebagaimana yang berlaku kepada beberapa puluh pengundi. Agak malang data mereka tidak dapat kami rekodkan kerana ketakutan mereka untuk ke ketengah pihak pengadilan.
Akhirnya jelas sudah undi pos adalah alat untuk memenangkan BN. Sudah terang lagi bersuluh, BN bergantung harap kepada undi pos. Dengan pekbagai kehairanan serta kepincangan yang wujud, tidak mungkin ia dikekalkan melainkan ada sebab buat BN. Dan apakah alasan lagi buat SPR untuk terus mengekalkan undi pos dalam keadaan negara sekarang yang aman tanpa huru hara. Semestinya hak rakyat perlu diserahkan kepada rakyat secara adil dan saksama, bukan berselindung di sebalik undi pos seperti hari ini..
No comments:
Post a Comment