Tuesday, December 2, 2008

KETUANAN MELAYU : SUDAH SAMPAI MASANYA DIGANTI DENGAN KETUANAN ISLAM.

Dua tiga hari ini sibuk berkokok pemimpin UMNO dan BN bertelagah sesama sendiri berkenaan ketuanan Melayu. Maka bersilatlah juak-juak UMNO yang kononnya mahu mempertahankan ketuanan Melayu. MCA dan lain-lain komponen pula melenting keras menolak ketuanan Melayu.

Dr Chua Soi Lek mendakwa ketuanan UMNO dalam BN sebagai punca kejatuhan umat mereka. bukan ketuanan Melayu. Yang UMNO sibu sangat sehingga membabitkan kedaulatan bahasa, kedaulatan raja, dan hak istimewa kaum bumiputera. Walhal yang selama ini menggadaikan hak istimewa orang Melayu bukan UMNO?

Siapa yang menggadaikan kuasa sultan dan raja-raja Melayu sehingga raja-raja Melayu tidak lagi memiliki taring dan daulat mereka sendiri? Siapa yang menggadaikan perkampungan orang-orang melayu kepada kuasa 'asing' di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang? Siapa pula yang membasmi tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara? Siapakah orangnya yang merubah kedudukan bahasa Melayu menjadi perantara utama di sektor korporat, sehinggakan orang Melayu dipaksakan fasih berbahasa Inggeris sebagai syarat utama mendapat pekerjaan? Mana istimewanya Bahasa Melayu? Siapakah yang menjual kecemerlangan pendidikan sekolah sehinggakan Subjek Matematik dan Sains yang sangat kritikal itu diajar dalam bahasa Inggeris? Siapakah mereka yang menggadai hak istimewa orang Melayu sampai membela kroni-kroni 'asing' yang mendapat laba besar hasil dari projek mega negara?

Ternyata mereka bermain dengan kelakonan yang hebat. Nak dimarahnya buat apa? Memang UMNO menjual maruah bangsa Melayu sejak dulu, kini dan selamanya. Memang wajar Dr Chua Soi Lek bising soal ketuanan UMNO dalam BN kerana memang perangai UMNO sebagai pembuli besar dalam BN. Bila disentuh soal UMNO, seolah-olah MCA atau parti komponen lainnya berperang dengan seluruh umat Melayu.

Ketuanan bangsa telah tiba pada ajalnya. Kini selayaknya kita berjuang atas dasar ketuanan Islam. Islam adalah agama sarwajagat. Seluruh dunia ada umat Islam, tetapi hanya Malaysia ada umat Melayu. Yang utama ialah kesatuan dari sudut Islam. Maka saya yakin, kalau UMNO menukar slogan perjuangannya, maka sokongan kepada mereka akan meningkat. Inilah yang kami (PAS) perjuangkan. Kami rela kalau bangsa kami mati, asal jangan Islam mati. Dan kami rela mati untuk Islam yang kami daulatkan selama ini.

PETROL TURUN 10 SEN LAGI MULAI ESOK

Telah diumumkan oleh kerajaan BN esok harga Petrol akan turun 10 sen lagi menjadikan minyak RON 97 berharga RM 1.90 sen, sama macam harga sebelum kenaikan tahun 2007 yang lalu. Manakala RON 92 dan Diesel akan bernilai RM 1.80 sen. Alhamdulillah, dalam kepayahan rakyat ada kelapangan.

Lepas ini kita tengok pula apa kata peniaga. Berani kah mereka menurunkan harga barang yang sekian lama meingkat. Beranikah kerajaan bertindak tegas kepada peniaga-peniaga yang masih 'cekik darah' mengekalkan harga lama. Pengusaha-pengusaha bas persiaran dan teksi, apa alasan mereka hendak berikan.

Kita semua mengharapkan semua pihak mengambil kesempatan ini untuk berlumba menurunkan harga barang. Mungkin juga peranan Pakatan Rakyat yang berterusan mendesak kerajaan, menyebabkan mereka tunduk kepada tekanan rakyat, berkebetulan pula harga minyak turun mendadak. Gamaknya kalau kerajaan BN masih kekal dengan kuasa majoriti dua pertiga besar seperti tahun 2004 adakah mereka mahu menurunkan harga minyak seperti hari ini?

Monday, December 1, 2008

KEM MOTIVASI SPIES SELANGOR BAKAL LONJAKKAN DR HALIMAH


Kelmarin saya menyertai Kem Motivasi SPIES anjuran kerajaan Negeri Selangor di sebuah Kem di hujung Selangor. Pengisiannya santai tetapi penuh makna, simple dan ada 'mesej' yang hendak disampaikan. Kini Selangor diserang dengan penangan SPIES di mana-mana. Setiap remaja, belia, siswa, pekerja kilang, dan sesiapa sahaja disasarkan. Hampir setiap waktu terluang, SPIES menjenguk peserta. Ibu bapa boleh merasa lega apabla dimaklumkan bahawa yuran ke kem SPIES ini adalah percuma.

Kalau beginilah remaja dan belia Selangor hendak dibentuk oleh Pakatan Rakyat, saya amat bersyukur. Kerana sebelumnya, sejak selepas Merdeka sehinggalah pada tanggal 8 Mac 2008, saya belum pernah diberikan peluang menyertai program seumpama ini, baik sebagai peserta mahupun sebagai jawatankuasa. Pernah dulu saya sertai pelbagai aktiviti perkemahan, kem motivasi yang berlambak-lambak, tetapi atas nama konsultan tertentu, menggunakan kaedah dan nama yang pelbagai. Saya juga biasa kendalikan kem-kem motivasi di kawasan dan di Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Ini semua inisiatif sendiri. Baik modulnya, berjayalah peserta tu. Gagal modul, gagallah peserta.

Yang hebatnya SPIES di Selangor kerana ia dirancang sebegitu rupa. Ada skuad yang merancang modul, ada team yang buat latihan kepada konsultan, ada taklimat, ada pemantauan, dan kesannya setiap konsultan memberikan persembahan yang terbaik kepada peserta. Setiap program diberikan pemarkahan, supaya peserta tidak pulang dengan sia-sia. Supaya tidak jadi seperti sebelum ini (PRU ke 12), yang kaya syarikat konsultan, yang rugi kerajaan negeri dan tidak mendapat apa-apa ialah peserta.

Kalau kerajaan dulu, agenda pendidikan bukanlah keutamaan. Program-program seperti ini adalah perniagaan yang sangat menguntungkan, inilah masanya konsultan memainkan peranan masing-masing. Tidak ada jenama yang direka supaya remaja mesra dengan kem pembentukan diri seperti ini. Semuanya bersepah mengikut cita rasa wakil rakyat masing-masing.

Saya difahamkan sebelum PRu 12, Program-program sebegini hanya diserahkan kepada 3 syarikat sahaja . Memang beruntung besar ketiga-tiga syarikat ini yang salah seorang darinya dimiliki oleh seorang personaliti terkenal. Tiga syarikat ini sahaja yang memonopoli kesemua program. Kemudiannya tidak ada pemantauan diberikan. Produk apa yang hendak dihasilkan, bukan menjadi persoalan. Yang penting 'fulus' masuk.

Kem SPIES Selangor ini dihasilkan oleh tenaga-tenaga professional sangat 'menyentuh' jiwa remaja dan belia. Dipentingkan solat, ibadah, perfikiran kreatif dan positif, mengutamakan kecemerlangan, menjadi anak yang soleh, berjihad, dan bersahabat. Mungkin ada persamaan dengan mana-mana kem yang pernah dianjurkan oleh mana-mana syarikat, tetapi yang saya nampak ialah segi keberkatan terhadap program. Produk SPIES dikongsi bersama oleh 33 syarikat. Tender terbuka dibuat dan hampir kesemuanya diberikan keadilan menjayakan program. Ada pemantauan, sekiranya pihak syarikat gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan, bermakna malaplah masa depan mereka di Selangor.

Apabila ia dianjurkan oleh sebuah kerajaan negeri, dengan kos ditanggung oleh kerajaan (bukan mencari untung seperti sebelum ini), dan niat untuk mendidik remaja dan belia dan diusahakan secara bersama oleh pendokong-pendokongnya tanpa mengharapkan kemewahan yang melampau (juga bukan seperti sebelum ini), sudah pasti yang tergambar di jiwa saya terhadap keberkatan program.

Bahawa SPIES ini hanya alat untuk mendidik remaja dan belia ke arah mengenali tuhannya, menjadi insan yang soleh dan solehah, dan berjaya di lapangan hidup. Bahawa SPIES ini dijadikan aset untuk mentarbiyah remaja, melalui agenda bersama sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan, bukan keuntungan. Bahawa program ini mampu menjadi ikon kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, supaya mencipta satu jenama yang dekat dan 'lekat' dengan remaja dan masyarakat. Bahawa keberkatan tetap terpancar apabila ia diusahakan bersama oleh semua pihak, tanpa sikap oportunis dan individualistik.

Saya melihat SPIES ini mampu menjadi jenama yang bakal melonjakkan Dr Halimah Ali sebagai ikon pendidikan di Selangor ini. Kita semua mengharapkan Pakatan Rakyat dikenang sebagai pihak yang membawa obor kebajikan yang kental dan ikhlas kepada rakyatnya, dan PAS lah menjadi pelopor utamanya!

Thursday, November 27, 2008

ELOK EZAM MASUK PAS KALAU RASA PAS TERBAIK TERAJU SELANGOR

Apabila Ezam mencadangkan Menteri Besar Negeri Selangor di tukar kepada teraju kepimpinan PAS, ramai yang mempersoalkan beliau. Saya turut tertanya-tanya kenapa beria-ia sangat dia hendak mendedahkan kepincangan di Selangor sedangkan berlambak aduan rasuah dalam UMNO didamkan saja.

Ke mana pergi keberanian beliau untuk mendedahkan kepincangan rasuah dalam UMNO sepertimana Tun Dr Mahathir buat. Kenapa beliau tidak sanggup bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir untuk sama-sama 'membogelkan' penama-penama rasuah dalam UMNO. Kerja itu lebih awla dari sibuk memberi pandangan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Saya kira rakyat Selangor sudah mangli dengan sikap hipokrit dan oportunis pemuda UMNO ini.

Memang nada dan pandangannya nampak baik, tetapi itu juga membawa implikasi dan maksud untuk mencerai-beraikan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Kerajaan Selangor baru berusia 8 bulan, belum dewasa dan sedang bertatih mengendalikan kerajaan, UMNO yang telah lama berkarat di Malaysia tidak pula berani dicuitnya.

Saya nasihatkan beliau supaya kiranya benar PAS lebih baik dari PKR dalam meneraju kerajaan di Selangor seperti pandangannya, buatlah perubahan, tinggalkan UMNO dan masuk PAS. Tunggu apa lagi kalau UMNO yang beliau anuti kini telah jelas dengan kerosakannya, manakala PKR yang beliau tuduh tidak bersih, maka pilihan utama yang ada hanyalah PAS. Dalam PAS beliau mempunyai pilihan untuk membetulkan kepincangan, memperjuangkan kerajaan yang adil dan bersih, jauh dari rasuah, demokrasinya hidup, syuranya subur, dan perpaduan ahlinya makmur. Inilah masanya kalau betul-betul beliau ikhlas pada rakyat dan negara.

Wednesday, November 26, 2008

INUL DARATISTA HADIR BAGI MEMENUHI SELERA PEMUJA NAFSU!

Inul Daratista seorang artis Indonesia yang kontroversi hadir sekali lagi ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya pada 29 November 2008 ini di Stadium Merdeka. Entah kenapa, permintaan penganjur mengadakan konsertnya di luluskan oleh DBKL. Suatu ketika, dengan linangan air mata beliau terpaksa melupakan hasrat memenuhi gejolak nafsu peminat-peminat beliau di Kuala Lumpur kerana pembatalan konsert awal tahun ini.

Saya dan beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang dikemudi oleh Ketuanya yang sedang 'sahamnya' meningkat naik, Sdr Kamaruzaman Mohamad naik pula Pejabat JAKIM. Dulu kami puas memanjat tangga dan lif DBKL, dan PUSPAL menyerahkan nota bantahan penganjuran konsert Inul. Kini Inul memaksa kami naik turun bangunan JAKIM bagi mendesak pembatalan konsert Inul.

Kami bagaikan pengemis meminta JAKIM meneliti kembali prosedur kelulusan konsert. Macam hendak mengajar pula Pejabat Agama Islam yang mempunyai kakitangan berpuluh dan beratus orang, sebahagian besarnya lulusan Timur Tengah (agama), tentang soal halal haram, dosa dan pahala. Sedangkan inilah tugas asasi Jabatan yang menjaga hal ehwal umat Islam di negara ini. Menjaga amar ma'aruf nahi mungkar sepatutnya menjadi agenda utama JAKIM.

Inul ini artis yang berimej lucah. Apa yang paling istimewa pada dirinya ialah 'goyang gerudi'. Nak kata popular kerana suara dan vokal, saya kira biasa saja. Ramai lagi artis Indonesia yang berimej baik boleh dijemput. Lelaki mana yang tahan nafsu melihat tarian 'gelek gerudi' (goyang pinggang) yang 'mengancam keselamatan negara'. Artis muda, ada rupa, cantik, suara lunak, badan cantik, seksi - pakej utama keghairahan lelaki. Semua terkumpul pada diri Inul.

Saya hairan institusi seperti JAKIM atau DBKL. Teraju utamanya orang Islam. Memang yang memohon permit itu mungkin bukan Islam, tetapi apa kerja mereka selaku manusia yang diamanahkan institusi penting negara. Saham dosa meluluskan permit program maksiat seperti ini sama besarnya dengan penganjur yang mengadakan konsert tersebut, sama juga dengan penontonnya. Takkan mereka tidak tahu!

Kalau betul mahu promosi Malaysia di arena antarabangsa, jemputlah artis yang sopan dan berakhlak. Saya kira tidak kurang artis-artis Indonesia dan Malaysia yang bersopan. Kumpulan yang menyanyikan lagu Ar Ruhul Jadid sebagai contoh mampu membawa dimensi baru dunia muzik. Mereka mampu menghalakan anak-anak muda kepada penghayatan jihad. Itu satu contoh dari ratusan lagi artis yang berimej baik boleh diketengahkan.

Bila jemput Inul, maka ramai penonton dari kalangan orang Indonesia. Kenapa pula penganjur nak menghiburkan penonton Indonesia lebih dari penonton Malaysia. Adakah majoriti penduduk Malaysia orang Indonesia? Patutnya pentingkanlah orang Malaysia lagi. Hiburkan rakyat Malaysia dengan artis tempatan, yang baik dan sopan berbanding menghiburkan orang 'seberang'.

Biasanya, bila tamat konsert, maka berduyunlah anak muda 'menghurung' pasangannya. Kalau datang berkumpulan, yang anak gadis pasti menjadi mangsa. Maka dicarilah tempat-tempat sunyi seperti taman-taman, hotel, pusat rekreasi sebagai tempat melepas syahwat. Lalu, akan lahirlah anak-anak yang tidak beribu ayah beberapa bulan akan datangnya.

Maklumlah yang hadir pakaiannya 'mengancam keselamatn negara' bagi yang melihat. Mana ada penonton yang hadir ke konsert pakai purdah, serban, jubah. Kalau yang datang berpakaian macam itu, kami lah orangnya. Datang nak edar risalah nak sedarkan anak muda. Seperti Konsert Avril Lavigne, Gwen Steffani tempohari.

Begitulah realitinya penganjuran konsert. saya membayangkan yang buruk kerana itulah yang terjadi setiap temasya diadakan. Baik Tahun Baru, Malam Kemerdekaan, Konsert-konsert pasti ada peristiwa seperti ini berlaku. Kami hanya mampu berdoa agar pihak yang memegang amanah besar negara seperti Ketua Pengarah DBKL Ketua Pengarah JAKIM, Pak-pak Menteri dapat berfikir dan melihat senario yang berlaku supaya tidaklah terngadah setelah terhantuk nanti. Jangan pula kami disalahkan apabila Allah swt menyergah perbuatan mereka di hari pembalasan nanti.

Tuesday, November 25, 2008

DATO' DR MA'AMOR OSMAN DAN PEWARIS PEJUANG KEZALIMAN?

Kelmarin Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris telah mengadakan demonstrasi menyokong pengekalan undang-undang zalim, ISA di Wisma Sejarah. Sekonyong-konyong yang menyokong tindakan tersebut ialah Setiausaha Agung PPIM, Dr Ma'amor Osman. PPIM menjadi salah sebuah NGO di bawah naungan Pewaris.

PPIM sejak sekian lama telah tersohor sebagai entiti yang memperjuangkan hak-hak pengguna Islam. Umat Islam merasa bangga adanya perisai ummah dalam mempertahankan isu-isu kepenggunaan seperti PPIM. Manakala Setiausaha Agungnya, Dato' Dr. Ma'amor Osman, menjadi individu yang popular. Vokalnya lantang seperti seorang pejuang Islam tulen. Dimana-mana pentas dinaikinya hatta dalam ceramah PAS sekalipun. Seakan-akan beliaulah orang yang sangat tegas dalam memperjuangkan jihad ekonomi dan kepenggunaan umat Islam.

Tiba-tiba terpancul wajah Dr Ma'amor di majlis yang sangat kontorversi itu. Saya kira hampir seluruh pelusuk negara, benci dan anti ISA. ISA memang dikenali akta drakonian yang membaham semua mangsa. Di akhir zaman ini, ISA sebagai peluru menembak aktivis politik pembangkang. Tak percaya, sila semak berapa ramai ahli UMNO menjadi mangsa ISA. Bahkan, parti-parti klomponen BN turut mengecam ISA. Dato' Zaid Ibrahim sanggup meletakkan jawatan kerana membantah kerajaan UMNO-BN mengekalkan ISA. UMNO-BN pula telah dihukum rakyat dalam PRU ke 12 angkara kesombongan mereka mengekalkan undang-undang zalim ini. ISA meruntuhkan kebahagiaan suami isteri, memisahkan hubungan kasih sayang ayah dan anak-anaknya, serta hubungan keluarga.

Ada mangsa ISA yang telah merengkok di dalam penjara selama 8 tahun tanpa ketahuan apa dosa mereka. Anak Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, iaitu Ust Nik Adli pernah menjadi mengsa ISA selama 5 tahun. Keluar ISA, tiada dakwaan apa pun terhadapnya. Ini beerti selama 5 tahun Ust Nik Adli tidak dibicarakan, sehingga dibebaskan tanpa apa-apa kesalahan. Dia ditangkap dalam keadaan tiada kesalahan!

Agaknya, mereka yang pro ISA ini kita patut uji, termasuk Dr Ma'amor Osman. Bayangkan, tak semena-mena, semasa mengadakan rapat umum kelmarin, mereka ditangkap oleh polis. Kemudian di heret ke balai dan kemudian sekiranya pihak Menteri berpuashati mereka mencetuskan masalah pada ketenteraman awam, mereka ditahan di bawah ISA. Dinafikan hak untuk dibela dan mendapatkan peguam. Selama dua tahun ditahan, kemudian sekiranya tidak berpuashati, dilanjutkan lagi tempoh tahanannya sehinggalah lapan tahun kemudian. Hati berdebar menanti detik pembebasan, isteri dan anak-anak menunggu di luar, tetapi di lanjutkan penahanan tanpa apa-apa penjelasan.

Realitinya itulah yang terjadi. Dan saya yakin, kalau imaginasi saya betul-betul terjadi gerombolan Pewaris dan Dr Ma'amor Osman antara yang kehadapan membantah ISA. Kadang-kadang biarkan anak-anak kita memanjat tinggi, jangan dilarang, kerana makin dilarang makin ditentang. Apabila jatuh nanti baru anak-anak kita tahu erti sakit dan betapa murninya tegahan ibu bapa mereka. Samalah dengan puak-puak Pewaris ni. Sudah merasa menjadi mangsa ISA baru tahu derita dan zalimnya akta ini.

Monday, November 24, 2008

YOGA HARAM: MAJLIS FATWA BARU MEMULAKAN TUGASAN PERTAMANYA

Majlis Fatwa telah laksanakan tugasnya yang dinanti-nantikan rakyat. Inilah kerja yang sepatutnya bagi golongan yang menjaga akidah umat Islam di negara ini. Saya menyambut baik fatwa ini dengan harapan akidah dan syakhsiyah umat Islam terpelihara.

Banyak lagi perkara yang berkaitan dengan syariah dan akidah umat Islam perlu dikaji dan difatwakan. Antaranya kita masih dibelenggu dengan cukai arak dan judi yang menjadi sebahagian dari pendapatan negara, lesen-lesen premis arak dan judi di merata-rata tempat, riba di sektor perbankan, kuasa kapitalis di sudut ekonomi, pemisahan antara politik dengan agama (sekularisme), penularan Islam Liberal, serta kezaliman akta ISA. Kita semua berharap demi Islam, Majlis Fatwa akan mempertahankan kesuciannya tanpa mengenal batasan politik dan fahaman. Sabda Nabi Muhammad saw : "Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan yang hak di hadapan pemimpin yang zalim".



Dipetik dari berita:-
PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. - Seterusnya-

Sunday, November 23, 2008

PDRM JANGAN TERUS MENJADI BARUA KERAJAAN UMNO-BN

Pihak Polis telah bertindak zalim menyuraikan Ceramah tanpa permit di Padang MPAJ sebentar tadi. Beberapa orang pimpinan PAS seperti Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Sdr Sani Hamazan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Sdr Saripuddin Mohd Yatim, Ketua Unit Amal Wilayah Persekutuan bersama beberapa orang pimpinan PAS telah ditangkap polis.

Malang sungguh Polis Di Raja Malaysia yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat Malaysia, menjaga keamanan dan keselamatan rakyat. Dalam keadaan kes-kes jenayah yang terlalu banyak untuk ditangani, peningkatan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke hari, dari kes penculikan, dadah, ragut, bunuh, rompak dan lain-lain, tiba-tiba mereka ada hati untuk bekerja di luar batasan demokrasi.

Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, seharusnya prinsip keamanan dan kebebasan disanjung tinggi. Rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat dan penerangan oleh pemimpin parti pilihan mereka sudah tentu memilih suatu wadah yang boleh menerangkan pelbagai isu sensasi.

Ceramah umum yang diadakan adalah bagi menerangkan isu-isu semasa, khususnya ISA. ISA adalah akta zalim yang menindas rakyat. Dicipta khusus untuk menangani komunis, kini ISA adalah senjata utama kerajaan UMNO-BN mengekalkan rejim mereka. Beleklah sejarah, sepanjang tige dekad di negara ini, berapa banyakkah korban ISA, siapakah mereka, dan apakah dosa mereka. Kini akan dapati ramainya dari kalangan aktivis plitik, khususnya pembangkang.

Ceramah itu pula diadakan secara beradab. Di pohon permit polis secara tertib, meminta kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Mengapa dengan tiba-tiba polis bertindak agresif menyuraikan ceramah, dan mengangkap penganjur secara borong. Apa dosa penganjuran ceramah tersebut maka ia dianggap mengganggu keselamatan negara. Rakyat hadir ceramah tanpa senjata, bahkan membawa keluarga bersama. Tempat ceramah pula di padang awam, mana mungkin dikatakan mengganggu ketenteraman awam! Takkanlah polis tidak berfikir ceramah itu boleh menggugat keselamatan negara.

Pakatan Rakyat telah sekian lama menjadikan ceramah sebagai medium. Belum pernah terjadi sebarang keganasan dicipta oleh penceramah mahupun penonton, andainya tidak dari pihak provokator sendiri. Peristiwa Batu Burok tahun 2007, adalah hasil tembakan polis kepada penonton, bukan penonton sengaja menimbulkan kekecohan.

PAS bersama Pakatan Rakyat hidup dengan ceramah. Dengan ceramah maklumat sampai dari rumah ke rumah. Dengan ceramah pimpinannya hidup mencari makan. Dengan ceramah itu juga Pakatan Rakyat mampu bertahan. Dengan maklumat terkumpul itulah kini rakyat cerdik dan mampu membuat perubahan. Nak harapkan media rasmi kerajaan, bagaikan menanti hujan di tanah gersang.

Berbanding UMNO-BN, yang menggunakan seluruh ruang media menghentam pembangkang. Tidak cukup dengan itu, digunakan masjid, balai raya, sekolah, dan dewan orang ramai menjayakan aktivitinya. Tidak pernah polis bising biarpun UMNO-BN tidak mohon permit. Kalau mohon permit pun, tidak sampai 24 jam telah lulus. Siap beri perkhidmatan kawalan lalulintas pula.

Selangor menjadi pilihan untuk mengadakan tapak ceramah tersebut. Di pilih Selangor, kerana demokrasinya subur. Rakyat yang cerdik telah melakukan perubahan, dan kini negeri itu dipimpin oleh pemimpin yang dipilih rakyat. Menteri Besar telah beri keizinan, mengapa pula PDRM mengharamkan ceramah itu. Negeri yang dipimpin sendiri oleh Menteri Besar, dengan jaminan keselamatan dari Menteri besar sendiri, tiba-tiba polis bertindak dengan kesimpulan tiada jaminan keselamatan.

Sedarlah PDRM, Kerajaan UMNO-BN telah tinggal nyawa-nyawa ikan. Hayat mereka di hujung usia, menanti masa menunggu kematian. Jenayah UMNO-BN lebih besar untuk disiasat. Jangan pula PDRM jadi hamba dan barua pemimpin UMNO-BN demi survival kerjaya dan pangkat pemimpin mereka.

Biarlah isu politik diselesaikan cara politik. Parti politik menentang parti politik. Jangan pula digunakan jentera keselamatan untuk menyuraikan kebangkitan dan kesedaran rakyat. Kalau betul mahu berpencak politik, silakan memakai baju politik, dan terjunlah ke gelanggang politik bersama-sama. Baru kita tahun langit tinggi dan rendah. Jangan berselindung sebalik pakaian keselamatan, sampai menyalahgunakan amanah kerajaan dan rakyat ini!

Berkhidmatlah dengan jujur buat rakyat, dan laksanakan tugas dengan penuh amanah. Banyak lagi kerja yang harus diselesaikan, dari menyibuk kepada isu-isu politik yang remeh temeh seperti ini. Saya yakin, kalau diberi permit, ceramah tersebut berlangsung dengan aman tanpa gangguan. Buat PDRM, kembalikan kredibiliti anda sebagai petugas keselamatan negara, supaya rakyat merasa selamat dibawah naungan anda!

Friday, November 21, 2008

DISKAUN 10 PERATUS. PLUS AMAL DASAR KAPITALIS MODEN.

Inisiatif PLUS untuk memberikan diskuan 10 peratus dari jam 12 malam hingga 7 pagi kepada pengguna lebuh raya memberikan reaksi yang pelbagai. Ramai yang memuji PLUS kerana inisiatif tersebut. Ramai pengguna yang ditemubual menyatakan 'syukur' dengan diskaun tersebut. Satu permulaan baik kata mereka, daripada tidak mendapat apa-apa.

Bagi saya, PLUS memberikan satu insiatif yang baik dengan diskaun tersebut, tetapi belum mencukupi buat meringankan beban rakyat. Lebuh raya dibina buat memudahkan perjalanan pengguna, mengelakkan kesesakan serta kemalangan. Di mana-mana negara dalam dunia, tugas kerajaan adalah memudahkan rakyatnya. Kerana rakyat yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat yang menaikkan pemimpin kerajaan. Rakyat itu ialah kerajaan dan kerajaan itu ialah rakyat. Orangnya sama.

Terbalik pula yang berlaku di Malaysia. Lebuh raya dibina cantik dan elok, tetapi setiap jalannya ada tol. tidak dinafikan tol penting bagi membayar kembali kos operasi syarikat terbabit. Tetapi ia jadi melampau apabila hampir setiap lebuhraya ada tol. Bahkan dalam satu jalan yang sama, ada dua tol yang menunggu.

Bayangkan rakyat yang setiap hari terpaksa menempuh kesemua tol-tol tersebut untuk ke tempat kerja. Bukannya percuma. Baki tol itulah digunakan untuk ditanggung anak isteri. Hendak guna jalan lain, jauh dan tidak selamat. Sesak pula. Jalan pula berlubang, tiada lampu dan macam-macam masalah lagi timbul.

PLUS pula hanya beri diskaun pada waktu tengah malam. Siapa yang guna lebuh raya tengah malam, kalau hari bekerja? Adakah pengguna perlu merancang perjalannya setiap hari di waktu tengah malam semata-mata untuk mendapatkan potongan diskuan tersebut.

Syor saya, PLUS perlu turunkan harga tol, bukan diskaun. Diskaun ini adalah bahasa perniagaan. Waktunya pula adalah 24 jam, bukan masa terpilih sahaja. Paling tidak biar di waktu puncak, ketika ramai warga kota berpusu-pusu pulang dari kerja. PLUS perlu berikan khidmat sosial kepada pengguna lebih dari hendak berniaga semata-mata.

Saya yakin, kalau diberi potongan 10 peratus pada bila-bila masa dari kadar sekarang pun, PLUS tidak akan rugi. Kenderaan di jalan raya bertambah setiap bulan, jadi apa logiknya PLUS mengekalkan kadar tol yang lama. Sepatutnya, makin lama beroperasi, makin untunglah PLUS. Kos pembaikan dan pembinaan telah lama 'recover', maka sekarang adalah habuan mengaut keuntungan. Saya syor lagi, di musim perayaan tertentu, berilah kadar percuma sehari buat pengguna lebuh raya sebagai ucapan terima kasih. Inilah tanda ikhlas PLUS membantu rakyat.

Ibarat cerita purbakala, pembesar zalim yang mengutip cukai dari rakyat dikampung-kampung. Mereka tunggu di pintu masuk utama, atau menetuk pintu setiap rakyat. Rakyat yang enggan akan dizalimi, dibelasah dan di rampas harta benda. Isteri dan anak gadis di bawa lari, sebagai balasan cukai yang gagal dijelas. Di zaman ini, ugutannya hanya satu, tiada duit jangan guna lebuhraya, sedangkan lebuhraya adalah keperluan semua.

Thursday, November 20, 2008

TUGAS PERTAMA RAZAK SELEPAS BEBAS, BEBASKAN NAJIB.


Dalam sidang medianya semalam, Razak Baginda berkeras menafikan sebarang hubungannya dengan Altantuya. Beliau turut menafikan sebarang pembabitan Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya Rosmah Mansor dengan Altantuya. Sambil merayu-rayu wartawan mempercayainya, beliau merasa kesal kerana bekas bosnya telah difitnah sebegitu rupa.

Saya kira rakyat Malaysia pun tidak menolak hakikat bahawa Razak Abdullah Baginda mungkin tidak ada hubungan dengan Altantuya, secara bukti dan fakta. Rakyat Malaysia boleh menerima dalih dan alasan beliau. Berilah seribu alasan, asalkan beliau selamat. Altantuya pun bukan boleh bangkit menjawab kekusutan yang timbul. Yang ada di tempat kejadian, hanyalah malaikat Raqib dan Atib yang mencatat segala kejadian.

Cuma agak pelik sedikit. Macam mana Razak berkali-kali menafikan Najib tidak mengenali Altantuya, dan tidak terlibat sama sekali. Macam mana dia boleh begitu yakin Najib tidak kenal wanita ini. Kalau begitu mesti Razak Baginda kenal Altantuya dan tahu serba sedikit peribadi wanita ini. Masakan beliau boleh kenal ini orang yang Najib kenal, dan ada orang yang Najib tidak kenal. Razak tahu ke semua perkara berkaitan dengan Najib, termasuk kehidupan personal beliau? Razak kenal ke semua kenalan Najib, termasuk keluarga dan sanak saudara beliau.

Pelik juga. Razak kata Najib tidak terlibat. Tetapi bagaimana beliau begitu yakin Najib tidak terlibat. Kenapa pula dia beria-ia menafikan Najib. Bagaimana beliau boleh tahu Najib tidak terlibat langsung. Apakah Razak berada di sisi Najib sepanjang masa sebagaimana Rosmah. Hairan bin ajaib. Razak kawal ke semua aliran keluar masuk SMS, emel dan apa sahaja akses perhubungan Najib. Macam tahu bahawa Altantuya dibunuh oleh orang lain dan yang terlibat ialah orang lain yang tidak ada kaitan dengan Najib.

Kalau Dato' Seri Najib tidak terlibat, soalnya, siapakah yang terlibat? Saja-saja ke dua orang UTK ni nak membunuh. Mereka bukan penjenayah, perompak, perogol bersiri seperti yang lainnya. Mereka adalah pengawal keselamatan khas, komando, pegawai polis, menjaga orang-orang kenamaan. Mereka ada latihan, ada pengawasan, ada laporan, ada majikan. Mereka adalah pegawai kerajaan.

Bukan rakyat nak nafikan pihak polis bersifat maksum tanpa sebarang dosa. Tapi mengapa dengan tiba-tiba dua orang UTK ini membunuh seorang pelancong asing yang dikatakan ada kaitan dengan Razak. Rakyat pasti curiga. Pasti ada yang arahkan bunuh. Siapa yang arahkan bunuh. Dua orang ini penjaga Najib atau Rosmah. Pasti Najib kenal kedua-dua orang ini. Jadi kenapa sampai payah sangat pendakwa raya atau peguambela untuk memanggil Najib sebagai saksi di mahkmah. Macam hendak sembunyikan sesuatu sahaja.

Pelik lagi bila kaitkan dengan P. Balasumbramaniam. Bala yang pernah menggemparkan negara dengan pengakuan sumpahnya, kemudian menarik balik sumpahnya sehari kemudian, dan hilang dengan secara misteri. Mengapa pendakwa raya tidak meminta mahkamah memanggil Bala sebagai saksi, memandangkan dialah orang yang pernah bersumpah bahawa Najib pernah ada hubungan dengan Altantuya. Peliknya, sikap polis biasa sahaja. Seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pendakwa raya telah menambahkan satu lagi kepelikan. Dengan keputusan mahkamah begitu kontroversi, kes itu tidak langsung dirayu. Maka bebas lah Razak Baginda sebebas-bebasnya. Belum pernah terjadi, pendakwa raya melepaskan begitu sahaja kes sebesar dan seberat ini tanpa sebarang prosiding rayuan. Baru sekali keputusan mahkamah diumumkan, telah selesai semuanya. Tetapi ini telah terjadi, benar-benar terjadi. Beruntunglah seorang yang bernama Razak Baginda.

Razak Baginda bebas menafikan apa sahaja. Bukan manusia lainnya nampak. Yang penting bekas bosnya selamat dan bebas. Keadilan di Malaysia telah tertutup. Tetapi sedikit ruang di peringkat mahkamah antarabangsa baru terbuka. Biarkan keadilan antarabangsa berbicara. Tatkala itu baru kenal siapa benar, siapa dusta.