Inul Daratista seorang artis Indonesia yang kontroversi hadir sekali lagi ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya pada 29 November 2008 ini di Stadium Merdeka. Entah kenapa, permintaan penganjur mengadakan konsertnya di luluskan oleh DBKL. Suatu ketika, dengan linangan air mata beliau terpaksa melupakan hasrat memenuhi gejolak nafsu peminat-peminat beliau di Kuala Lumpur kerana pembatalan konsert awal tahun ini.
Saya dan beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang dikemudi oleh Ketuanya yang sedang 'sahamnya' meningkat naik, Sdr Kamaruzaman Mohamad naik pula Pejabat JAKIM. Dulu kami puas memanjat tangga dan lif DBKL, dan PUSPAL menyerahkan nota bantahan penganjuran konsert Inul. Kini Inul memaksa kami naik turun bangunan JAKIM bagi mendesak pembatalan konsert Inul.
Kami bagaikan pengemis meminta JAKIM meneliti kembali prosedur kelulusan konsert. Macam hendak mengajar pula Pejabat Agama Islam yang mempunyai kakitangan berpuluh dan beratus orang, sebahagian besarnya lulusan Timur Tengah (agama), tentang soal halal haram, dosa dan pahala. Sedangkan inilah tugas asasi Jabatan yang menjaga hal ehwal umat Islam di negara ini. Menjaga amar ma'aruf nahi mungkar sepatutnya menjadi agenda utama JAKIM.
Inul ini artis yang berimej lucah. Apa yang paling istimewa pada dirinya ialah 'goyang gerudi'. Nak kata popular kerana suara dan vokal, saya kira biasa saja. Ramai lagi artis Indonesia yang berimej baik boleh dijemput. Lelaki mana yang tahan nafsu melihat tarian 'gelek gerudi' (goyang pinggang) yang 'mengancam keselamatan negara'. Artis muda, ada rupa, cantik, suara lunak, badan cantik, seksi - pakej utama keghairahan lelaki. Semua terkumpul pada diri Inul.
Saya hairan institusi seperti JAKIM atau DBKL. Teraju utamanya orang Islam. Memang yang memohon permit itu mungkin bukan Islam, tetapi apa kerja mereka selaku manusia yang diamanahkan institusi penting negara. Saham dosa meluluskan permit program maksiat seperti ini sama besarnya dengan penganjur yang mengadakan konsert tersebut, sama juga dengan penontonnya. Takkan mereka tidak tahu!
Kalau betul mahu promosi Malaysia di arena antarabangsa, jemputlah artis yang sopan dan berakhlak. Saya kira tidak kurang artis-artis Indonesia dan Malaysia yang bersopan. Kumpulan yang menyanyikan lagu Ar Ruhul Jadid sebagai contoh mampu membawa dimensi baru dunia muzik. Mereka mampu menghalakan anak-anak muda kepada penghayatan jihad. Itu satu contoh dari ratusan lagi artis yang berimej baik boleh diketengahkan.
Bila jemput Inul, maka ramai penonton dari kalangan orang Indonesia. Kenapa pula penganjur nak menghiburkan penonton Indonesia lebih dari penonton Malaysia. Adakah majoriti penduduk Malaysia orang Indonesia? Patutnya pentingkanlah orang Malaysia lagi. Hiburkan rakyat Malaysia dengan artis tempatan, yang baik dan sopan berbanding menghiburkan orang 'seberang'.
Biasanya, bila tamat konsert, maka berduyunlah anak muda 'menghurung' pasangannya. Kalau datang berkumpulan, yang anak gadis pasti menjadi mangsa. Maka dicarilah tempat-tempat sunyi seperti taman-taman, hotel, pusat rekreasi sebagai tempat melepas syahwat. Lalu, akan lahirlah anak-anak yang tidak beribu ayah beberapa bulan akan datangnya.
Maklumlah yang hadir pakaiannya 'mengancam keselamatn negara' bagi yang melihat. Mana ada penonton yang hadir ke konsert pakai purdah, serban, jubah. Kalau yang datang berpakaian macam itu, kami lah orangnya. Datang nak edar risalah nak sedarkan anak muda. Seperti Konsert Avril Lavigne, Gwen Steffani tempohari.
Begitulah realitinya penganjuran konsert. saya membayangkan yang buruk kerana itulah yang terjadi setiap temasya diadakan. Baik Tahun Baru, Malam Kemerdekaan, Konsert-konsert pasti ada peristiwa seperti ini berlaku. Kami hanya mampu berdoa agar pihak yang memegang amanah besar negara seperti Ketua Pengarah DBKL Ketua Pengarah JAKIM, Pak-pak Menteri dapat berfikir dan melihat senario yang berlaku supaya tidaklah terngadah setelah terhantuk nanti. Jangan pula kami disalahkan apabila Allah swt menyergah perbuatan mereka di hari pembalasan nanti.
No comments:
Post a Comment