Pihak Polis telah bertindak zalim menyuraikan Ceramah tanpa permit di Padang MPAJ sebentar tadi. Beberapa orang pimpinan PAS seperti Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Sdr Sani Hamazan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Sdr Saripuddin Mohd Yatim, Ketua Unit Amal Wilayah Persekutuan bersama beberapa orang pimpinan PAS telah ditangkap polis.
Malang sungguh Polis Di Raja Malaysia yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat Malaysia, menjaga keamanan dan keselamatan rakyat. Dalam keadaan kes-kes jenayah yang terlalu banyak untuk ditangani, peningkatan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke hari, dari kes penculikan, dadah, ragut, bunuh, rompak dan lain-lain, tiba-tiba mereka ada hati untuk bekerja di luar batasan demokrasi.
Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, seharusnya prinsip keamanan dan kebebasan disanjung tinggi. Rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat dan penerangan oleh pemimpin parti pilihan mereka sudah tentu memilih suatu wadah yang boleh menerangkan pelbagai isu sensasi.
Ceramah umum yang diadakan adalah bagi menerangkan isu-isu semasa, khususnya ISA. ISA adalah akta zalim yang menindas rakyat. Dicipta khusus untuk menangani komunis, kini ISA adalah senjata utama kerajaan UMNO-BN mengekalkan rejim mereka. Beleklah sejarah, sepanjang tige dekad di negara ini, berapa banyakkah korban ISA, siapakah mereka, dan apakah dosa mereka. Kini akan dapati ramainya dari kalangan aktivis plitik, khususnya pembangkang.
Ceramah itu pula diadakan secara beradab. Di pohon permit polis secara tertib, meminta kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Mengapa dengan tiba-tiba polis bertindak agresif menyuraikan ceramah, dan mengangkap penganjur secara borong. Apa dosa penganjuran ceramah tersebut maka ia dianggap mengganggu keselamatan negara. Rakyat hadir ceramah tanpa senjata, bahkan membawa keluarga bersama. Tempat ceramah pula di padang awam, mana mungkin dikatakan mengganggu ketenteraman awam! Takkanlah polis tidak berfikir ceramah itu boleh menggugat keselamatan negara.
Pakatan Rakyat telah sekian lama menjadikan ceramah sebagai medium. Belum pernah terjadi sebarang keganasan dicipta oleh penceramah mahupun penonton, andainya tidak dari pihak provokator sendiri. Peristiwa Batu Burok tahun 2007, adalah hasil tembakan polis kepada penonton, bukan penonton sengaja menimbulkan kekecohan.
PAS bersama Pakatan Rakyat hidup dengan ceramah. Dengan ceramah maklumat sampai dari rumah ke rumah. Dengan ceramah pimpinannya hidup mencari makan. Dengan ceramah itu juga Pakatan Rakyat mampu bertahan. Dengan maklumat terkumpul itulah kini rakyat cerdik dan mampu membuat perubahan. Nak harapkan media rasmi kerajaan, bagaikan menanti hujan di tanah gersang.
Berbanding UMNO-BN, yang menggunakan seluruh ruang media menghentam pembangkang. Tidak cukup dengan itu, digunakan masjid, balai raya, sekolah, dan dewan orang ramai menjayakan aktivitinya. Tidak pernah polis bising biarpun UMNO-BN tidak mohon permit. Kalau mohon permit pun, tidak sampai 24 jam telah lulus. Siap beri perkhidmatan kawalan lalulintas pula.
Selangor menjadi pilihan untuk mengadakan tapak ceramah tersebut. Di pilih Selangor, kerana demokrasinya subur. Rakyat yang cerdik telah melakukan perubahan, dan kini negeri itu dipimpin oleh pemimpin yang dipilih rakyat. Menteri Besar telah beri keizinan, mengapa pula PDRM mengharamkan ceramah itu. Negeri yang dipimpin sendiri oleh Menteri Besar, dengan jaminan keselamatan dari Menteri besar sendiri, tiba-tiba polis bertindak dengan kesimpulan tiada jaminan keselamatan.
Sedarlah PDRM, Kerajaan UMNO-BN telah tinggal nyawa-nyawa ikan. Hayat mereka di hujung usia, menanti masa menunggu kematian. Jenayah UMNO-BN lebih besar untuk disiasat. Jangan pula PDRM jadi hamba dan barua pemimpin UMNO-BN demi survival kerjaya dan pangkat pemimpin mereka.
Biarlah isu politik diselesaikan cara politik. Parti politik menentang parti politik. Jangan pula digunakan jentera keselamatan untuk menyuraikan kebangkitan dan kesedaran rakyat. Kalau betul mahu berpencak politik, silakan memakai baju politik, dan terjunlah ke gelanggang politik bersama-sama. Baru kita tahun langit tinggi dan rendah. Jangan berselindung sebalik pakaian keselamatan, sampai menyalahgunakan amanah kerajaan dan rakyat ini!
Berkhidmatlah dengan jujur buat rakyat, dan laksanakan tugas dengan penuh amanah. Banyak lagi kerja yang harus diselesaikan, dari menyibuk kepada isu-isu politik yang remeh temeh seperti ini. Saya yakin, kalau diberi permit, ceramah tersebut berlangsung dengan aman tanpa gangguan. Buat PDRM, kembalikan kredibiliti anda sebagai petugas keselamatan negara, supaya rakyat merasa selamat dibawah naungan anda!
No comments:
Post a Comment