Friday, November 21, 2008

DISKAUN 10 PERATUS. PLUS AMAL DASAR KAPITALIS MODEN.

Inisiatif PLUS untuk memberikan diskuan 10 peratus dari jam 12 malam hingga 7 pagi kepada pengguna lebuh raya memberikan reaksi yang pelbagai. Ramai yang memuji PLUS kerana inisiatif tersebut. Ramai pengguna yang ditemubual menyatakan 'syukur' dengan diskaun tersebut. Satu permulaan baik kata mereka, daripada tidak mendapat apa-apa.

Bagi saya, PLUS memberikan satu insiatif yang baik dengan diskaun tersebut, tetapi belum mencukupi buat meringankan beban rakyat. Lebuh raya dibina buat memudahkan perjalanan pengguna, mengelakkan kesesakan serta kemalangan. Di mana-mana negara dalam dunia, tugas kerajaan adalah memudahkan rakyatnya. Kerana rakyat yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat yang menaikkan pemimpin kerajaan. Rakyat itu ialah kerajaan dan kerajaan itu ialah rakyat. Orangnya sama.

Terbalik pula yang berlaku di Malaysia. Lebuh raya dibina cantik dan elok, tetapi setiap jalannya ada tol. tidak dinafikan tol penting bagi membayar kembali kos operasi syarikat terbabit. Tetapi ia jadi melampau apabila hampir setiap lebuhraya ada tol. Bahkan dalam satu jalan yang sama, ada dua tol yang menunggu.

Bayangkan rakyat yang setiap hari terpaksa menempuh kesemua tol-tol tersebut untuk ke tempat kerja. Bukannya percuma. Baki tol itulah digunakan untuk ditanggung anak isteri. Hendak guna jalan lain, jauh dan tidak selamat. Sesak pula. Jalan pula berlubang, tiada lampu dan macam-macam masalah lagi timbul.

PLUS pula hanya beri diskaun pada waktu tengah malam. Siapa yang guna lebuh raya tengah malam, kalau hari bekerja? Adakah pengguna perlu merancang perjalannya setiap hari di waktu tengah malam semata-mata untuk mendapatkan potongan diskuan tersebut.

Syor saya, PLUS perlu turunkan harga tol, bukan diskaun. Diskaun ini adalah bahasa perniagaan. Waktunya pula adalah 24 jam, bukan masa terpilih sahaja. Paling tidak biar di waktu puncak, ketika ramai warga kota berpusu-pusu pulang dari kerja. PLUS perlu berikan khidmat sosial kepada pengguna lebih dari hendak berniaga semata-mata.

Saya yakin, kalau diberi potongan 10 peratus pada bila-bila masa dari kadar sekarang pun, PLUS tidak akan rugi. Kenderaan di jalan raya bertambah setiap bulan, jadi apa logiknya PLUS mengekalkan kadar tol yang lama. Sepatutnya, makin lama beroperasi, makin untunglah PLUS. Kos pembaikan dan pembinaan telah lama 'recover', maka sekarang adalah habuan mengaut keuntungan. Saya syor lagi, di musim perayaan tertentu, berilah kadar percuma sehari buat pengguna lebuh raya sebagai ucapan terima kasih. Inilah tanda ikhlas PLUS membantu rakyat.

Ibarat cerita purbakala, pembesar zalim yang mengutip cukai dari rakyat dikampung-kampung. Mereka tunggu di pintu masuk utama, atau menetuk pintu setiap rakyat. Rakyat yang enggan akan dizalimi, dibelasah dan di rampas harta benda. Isteri dan anak gadis di bawa lari, sebagai balasan cukai yang gagal dijelas. Di zaman ini, ugutannya hanya satu, tiada duit jangan guna lebuhraya, sedangkan lebuhraya adalah keperluan semua.

No comments: