Kelmarin Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris telah mengadakan demonstrasi menyokong pengekalan undang-undang zalim, ISA di Wisma Sejarah. Sekonyong-konyong yang menyokong tindakan tersebut ialah Setiausaha Agung PPIM, Dr Ma'amor Osman. PPIM menjadi salah sebuah NGO di bawah naungan Pewaris.
PPIM sejak sekian lama telah tersohor sebagai entiti yang memperjuangkan hak-hak pengguna Islam. Umat Islam merasa bangga adanya perisai ummah dalam mempertahankan isu-isu kepenggunaan seperti PPIM. Manakala Setiausaha Agungnya, Dato' Dr. Ma'amor Osman, menjadi individu yang popular. Vokalnya lantang seperti seorang pejuang Islam tulen. Dimana-mana pentas dinaikinya hatta dalam ceramah PAS sekalipun. Seakan-akan beliaulah orang yang sangat tegas dalam memperjuangkan jihad ekonomi dan kepenggunaan umat Islam.
Tiba-tiba terpancul wajah Dr Ma'amor di majlis yang sangat kontorversi itu. Saya kira hampir seluruh pelusuk negara, benci dan anti ISA. ISA memang dikenali akta drakonian yang membaham semua mangsa. Di akhir zaman ini, ISA sebagai peluru menembak aktivis politik pembangkang. Tak percaya, sila semak berapa ramai ahli UMNO menjadi mangsa ISA. Bahkan, parti-parti klomponen BN turut mengecam ISA. Dato' Zaid Ibrahim sanggup meletakkan jawatan kerana membantah kerajaan UMNO-BN mengekalkan ISA. UMNO-BN pula telah dihukum rakyat dalam PRU ke 12 angkara kesombongan mereka mengekalkan undang-undang zalim ini. ISA meruntuhkan kebahagiaan suami isteri, memisahkan hubungan kasih sayang ayah dan anak-anaknya, serta hubungan keluarga.
Ada mangsa ISA yang telah merengkok di dalam penjara selama 8 tahun tanpa ketahuan apa dosa mereka. Anak Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, iaitu Ust Nik Adli pernah menjadi mengsa ISA selama 5 tahun. Keluar ISA, tiada dakwaan apa pun terhadapnya. Ini beerti selama 5 tahun Ust Nik Adli tidak dibicarakan, sehingga dibebaskan tanpa apa-apa kesalahan. Dia ditangkap dalam keadaan tiada kesalahan!
Agaknya, mereka yang pro ISA ini kita patut uji, termasuk Dr Ma'amor Osman. Bayangkan, tak semena-mena, semasa mengadakan rapat umum kelmarin, mereka ditangkap oleh polis. Kemudian di heret ke balai dan kemudian sekiranya pihak Menteri berpuashati mereka mencetuskan masalah pada ketenteraman awam, mereka ditahan di bawah ISA. Dinafikan hak untuk dibela dan mendapatkan peguam. Selama dua tahun ditahan, kemudian sekiranya tidak berpuashati, dilanjutkan lagi tempoh tahanannya sehinggalah lapan tahun kemudian. Hati berdebar menanti detik pembebasan, isteri dan anak-anak menunggu di luar, tetapi di lanjutkan penahanan tanpa apa-apa penjelasan.
Realitinya itulah yang terjadi. Dan saya yakin, kalau imaginasi saya betul-betul terjadi gerombolan Pewaris dan Dr Ma'amor Osman antara yang kehadapan membantah ISA. Kadang-kadang biarkan anak-anak kita memanjat tinggi, jangan dilarang, kerana makin dilarang makin ditentang. Apabila jatuh nanti baru anak-anak kita tahu erti sakit dan betapa murninya tegahan ibu bapa mereka. Samalah dengan puak-puak Pewaris ni. Sudah merasa menjadi mangsa ISA baru tahu derita dan zalimnya akta ini.
No comments:
Post a Comment