Thursday, November 20, 2008

TUGAS PERTAMA RAZAK SELEPAS BEBAS, BEBASKAN NAJIB.


Dalam sidang medianya semalam, Razak Baginda berkeras menafikan sebarang hubungannya dengan Altantuya. Beliau turut menafikan sebarang pembabitan Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya Rosmah Mansor dengan Altantuya. Sambil merayu-rayu wartawan mempercayainya, beliau merasa kesal kerana bekas bosnya telah difitnah sebegitu rupa.

Saya kira rakyat Malaysia pun tidak menolak hakikat bahawa Razak Abdullah Baginda mungkin tidak ada hubungan dengan Altantuya, secara bukti dan fakta. Rakyat Malaysia boleh menerima dalih dan alasan beliau. Berilah seribu alasan, asalkan beliau selamat. Altantuya pun bukan boleh bangkit menjawab kekusutan yang timbul. Yang ada di tempat kejadian, hanyalah malaikat Raqib dan Atib yang mencatat segala kejadian.

Cuma agak pelik sedikit. Macam mana Razak berkali-kali menafikan Najib tidak mengenali Altantuya, dan tidak terlibat sama sekali. Macam mana dia boleh begitu yakin Najib tidak kenal wanita ini. Kalau begitu mesti Razak Baginda kenal Altantuya dan tahu serba sedikit peribadi wanita ini. Masakan beliau boleh kenal ini orang yang Najib kenal, dan ada orang yang Najib tidak kenal. Razak tahu ke semua perkara berkaitan dengan Najib, termasuk kehidupan personal beliau? Razak kenal ke semua kenalan Najib, termasuk keluarga dan sanak saudara beliau.

Pelik juga. Razak kata Najib tidak terlibat. Tetapi bagaimana beliau begitu yakin Najib tidak terlibat. Kenapa pula dia beria-ia menafikan Najib. Bagaimana beliau boleh tahu Najib tidak terlibat langsung. Apakah Razak berada di sisi Najib sepanjang masa sebagaimana Rosmah. Hairan bin ajaib. Razak kawal ke semua aliran keluar masuk SMS, emel dan apa sahaja akses perhubungan Najib. Macam tahu bahawa Altantuya dibunuh oleh orang lain dan yang terlibat ialah orang lain yang tidak ada kaitan dengan Najib.

Kalau Dato' Seri Najib tidak terlibat, soalnya, siapakah yang terlibat? Saja-saja ke dua orang UTK ni nak membunuh. Mereka bukan penjenayah, perompak, perogol bersiri seperti yang lainnya. Mereka adalah pengawal keselamatan khas, komando, pegawai polis, menjaga orang-orang kenamaan. Mereka ada latihan, ada pengawasan, ada laporan, ada majikan. Mereka adalah pegawai kerajaan.

Bukan rakyat nak nafikan pihak polis bersifat maksum tanpa sebarang dosa. Tapi mengapa dengan tiba-tiba dua orang UTK ini membunuh seorang pelancong asing yang dikatakan ada kaitan dengan Razak. Rakyat pasti curiga. Pasti ada yang arahkan bunuh. Siapa yang arahkan bunuh. Dua orang ini penjaga Najib atau Rosmah. Pasti Najib kenal kedua-dua orang ini. Jadi kenapa sampai payah sangat pendakwa raya atau peguambela untuk memanggil Najib sebagai saksi di mahkmah. Macam hendak sembunyikan sesuatu sahaja.

Pelik lagi bila kaitkan dengan P. Balasumbramaniam. Bala yang pernah menggemparkan negara dengan pengakuan sumpahnya, kemudian menarik balik sumpahnya sehari kemudian, dan hilang dengan secara misteri. Mengapa pendakwa raya tidak meminta mahkamah memanggil Bala sebagai saksi, memandangkan dialah orang yang pernah bersumpah bahawa Najib pernah ada hubungan dengan Altantuya. Peliknya, sikap polis biasa sahaja. Seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pendakwa raya telah menambahkan satu lagi kepelikan. Dengan keputusan mahkamah begitu kontroversi, kes itu tidak langsung dirayu. Maka bebas lah Razak Baginda sebebas-bebasnya. Belum pernah terjadi, pendakwa raya melepaskan begitu sahaja kes sebesar dan seberat ini tanpa sebarang prosiding rayuan. Baru sekali keputusan mahkamah diumumkan, telah selesai semuanya. Tetapi ini telah terjadi, benar-benar terjadi. Beruntunglah seorang yang bernama Razak Baginda.

Razak Baginda bebas menafikan apa sahaja. Bukan manusia lainnya nampak. Yang penting bekas bosnya selamat dan bebas. Keadilan di Malaysia telah tertutup. Tetapi sedikit ruang di peringkat mahkamah antarabangsa baru terbuka. Biarkan keadilan antarabangsa berbicara. Tatkala itu baru kenal siapa benar, siapa dusta.


No comments: