Tuesday, November 18, 2008

EZAM PELOPOR RASUAH DALAM UMNO?


Di suatu masa, ramai orang mengagumi Ezam Mohd Noor, seorang aktivis yang lantang bersuara menyatakan kebenaran. Beliau dijulang kerana menjadi wira rakyat mempertahankan keadilan dan kebebasan. Beliau menentang kezaliman, serta berjuang bermati-matian menentang rasuah. Sehingga saatnya beliau terperosok di tahan ISA selama dua tahun, akibat kelantangannya bersuara.

Ramai yang terpukau dengan idealisme anak muda ini. Beliau dikatakan pernah dianggap sebagai pengganti Anwar Ibrahim. Karismanya melonjak naik sebaris dengan tokoh negarawan yang lain. Sebut saja Ezam pasti orang tabik hormat. Pihak UMNO BN pula pasti kecut perut bila di cabar debat dengan beliau. Boleh dikatakan beliau adalah ikon anak muda.

Liku-liku perjuangannya yang paling jelas ialah menentang rasuah. Baginya, rasuah adalah musuh nombor satu negara, lebih dahsyat dari dadah. Semua profil tinggi yang terpalit dengan rasuah dibongkarnya, satu demi satu. Lihat saja Kes di Kementerian Pertanian, Kementerian Belia dan Sukan, sehingga Menteri Kewangan menjadi mangsa. Bahkan semua kes yang diketengahkan menjadi isu utama media sehingga Menteri-Menteri terpaksa respons segera. Inilah kehebatan Ezam. Dalam Gerak pun beliau masih komited menentang rasuah. Sesiapa saja beliau akan tentang, asal saja ada maklumat salah laku orang tersebut.

Kini beliau berpusing 360 darjah. UMNO yang dulu diludahnya, kini dijilatnya kembali. Konon masuk UMNO dengan slogan, berjuang menentang rasuah di dalam UMNO. Beliau telah kembali ke pangkuan UMNO. Dari UMNO beliau datang, kepada UMNO beliau kembali.

UMNO sejak dulu, kini dan selamanya adalah parti rasuah. Semenjak zaman Tun Dr Mahathir, UMNO dan rasuah tidak boleh dipisahkan. Ibarat kembar siam seiras, dimana-mana ada UMNO disitu ada rasuah. Atau dimana ada rasuah disitu ada UMNO. Kemuncak kegilaan UMNO pada rasuah, ialah pada pemilihan UMNO tahun ini. Ini pengakuan pemimpin mereka seperti Dato' Seri Adnan Yaakob, Dato' Seri Dr Rais Yatim dan lain-lain.

Dikatakan laporan mengenai rasuah dalam pemilihan UMNO tahun ini sebanyak 900 buah. Ini yang dilaporkan. Bagaimana rasuah yang dipendam dan dipengap dalam poket perwakilan-perwakilan? Berapa ramai yang menang di peringkat Bahagian dengan rasuah. Cuba selongkar, berapa habuan seorang perwakilan di cawangan, di bahagian atau diperingkat pusat nanti. Telah jelas lagi bersuluh, memang UMNO parti rasuah.

Berbalik pada kisah Ezam. Ezam kini dalam UMNO, dan UMNO sebuah parti perasuah. Kadang-kadang Allah menguji keikhlasan kita berbicara dengan amal dan tindakan kita secara tunai. Bersungguhkah kita dalam sesuatu ucapan kita, atau sekadar hanya slogan retorik politik.

Buat Ezam, kini pena dan kertas di tangan anda. Pentas dan mikrofon di depan anda. Kuasa dan tenaga milik anda. Kuku dan taring pada anda. Tunggu apa lagi? Rasuah yang dulu sembunyi disebalik kafeteria, projek mega, di luar negara baik di bawah meja dan karpet anda mampu jumpa, sekarang rasuah di depan mata tidak terlihat ! Kuman kecil di seberang lautan boleh jumpa, kenapa gajah depan mata tidak nampak.

Ezam, anda sebenarnya adalah manusia hipokrit dan 'retorik'. Ezam, kalau betul anak jantan, dedahkan segala kes rasuah dalam UMNO seperti mana beliau pernah dedahkan kes-kes berprofil tinggi suatu ketika dulu. Beranikah anda ke depan, tanpa apa-apa kepentingan untuk menegur dan menentang kaki rasuah. Mampukah beliau melenting dan membuat kenyataan media menghambat perwakilan UMNO yang terlibat dengan rasuah? Atau memanjat tangga Pejabat BPR dan Polis membuat laporan mengenai salah laku rasuah ketika Persidangan UMNO bahagian-bahagian.

Atau memang sebenarnya maruah Ezam telah hilang bersama lenyapnya maruah dan prinsip beliau ketika menyerahkan borang kemasukan ke UMNO dulu!

No comments: