Monday, December 1, 2008

KEM MOTIVASI SPIES SELANGOR BAKAL LONJAKKAN DR HALIMAH


Kelmarin saya menyertai Kem Motivasi SPIES anjuran kerajaan Negeri Selangor di sebuah Kem di hujung Selangor. Pengisiannya santai tetapi penuh makna, simple dan ada 'mesej' yang hendak disampaikan. Kini Selangor diserang dengan penangan SPIES di mana-mana. Setiap remaja, belia, siswa, pekerja kilang, dan sesiapa sahaja disasarkan. Hampir setiap waktu terluang, SPIES menjenguk peserta. Ibu bapa boleh merasa lega apabla dimaklumkan bahawa yuran ke kem SPIES ini adalah percuma.

Kalau beginilah remaja dan belia Selangor hendak dibentuk oleh Pakatan Rakyat, saya amat bersyukur. Kerana sebelumnya, sejak selepas Merdeka sehinggalah pada tanggal 8 Mac 2008, saya belum pernah diberikan peluang menyertai program seumpama ini, baik sebagai peserta mahupun sebagai jawatankuasa. Pernah dulu saya sertai pelbagai aktiviti perkemahan, kem motivasi yang berlambak-lambak, tetapi atas nama konsultan tertentu, menggunakan kaedah dan nama yang pelbagai. Saya juga biasa kendalikan kem-kem motivasi di kawasan dan di Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Ini semua inisiatif sendiri. Baik modulnya, berjayalah peserta tu. Gagal modul, gagallah peserta.

Yang hebatnya SPIES di Selangor kerana ia dirancang sebegitu rupa. Ada skuad yang merancang modul, ada team yang buat latihan kepada konsultan, ada taklimat, ada pemantauan, dan kesannya setiap konsultan memberikan persembahan yang terbaik kepada peserta. Setiap program diberikan pemarkahan, supaya peserta tidak pulang dengan sia-sia. Supaya tidak jadi seperti sebelum ini (PRU ke 12), yang kaya syarikat konsultan, yang rugi kerajaan negeri dan tidak mendapat apa-apa ialah peserta.

Kalau kerajaan dulu, agenda pendidikan bukanlah keutamaan. Program-program seperti ini adalah perniagaan yang sangat menguntungkan, inilah masanya konsultan memainkan peranan masing-masing. Tidak ada jenama yang direka supaya remaja mesra dengan kem pembentukan diri seperti ini. Semuanya bersepah mengikut cita rasa wakil rakyat masing-masing.

Saya difahamkan sebelum PRu 12, Program-program sebegini hanya diserahkan kepada 3 syarikat sahaja . Memang beruntung besar ketiga-tiga syarikat ini yang salah seorang darinya dimiliki oleh seorang personaliti terkenal. Tiga syarikat ini sahaja yang memonopoli kesemua program. Kemudiannya tidak ada pemantauan diberikan. Produk apa yang hendak dihasilkan, bukan menjadi persoalan. Yang penting 'fulus' masuk.

Kem SPIES Selangor ini dihasilkan oleh tenaga-tenaga professional sangat 'menyentuh' jiwa remaja dan belia. Dipentingkan solat, ibadah, perfikiran kreatif dan positif, mengutamakan kecemerlangan, menjadi anak yang soleh, berjihad, dan bersahabat. Mungkin ada persamaan dengan mana-mana kem yang pernah dianjurkan oleh mana-mana syarikat, tetapi yang saya nampak ialah segi keberkatan terhadap program. Produk SPIES dikongsi bersama oleh 33 syarikat. Tender terbuka dibuat dan hampir kesemuanya diberikan keadilan menjayakan program. Ada pemantauan, sekiranya pihak syarikat gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan, bermakna malaplah masa depan mereka di Selangor.

Apabila ia dianjurkan oleh sebuah kerajaan negeri, dengan kos ditanggung oleh kerajaan (bukan mencari untung seperti sebelum ini), dan niat untuk mendidik remaja dan belia dan diusahakan secara bersama oleh pendokong-pendokongnya tanpa mengharapkan kemewahan yang melampau (juga bukan seperti sebelum ini), sudah pasti yang tergambar di jiwa saya terhadap keberkatan program.

Bahawa SPIES ini hanya alat untuk mendidik remaja dan belia ke arah mengenali tuhannya, menjadi insan yang soleh dan solehah, dan berjaya di lapangan hidup. Bahawa SPIES ini dijadikan aset untuk mentarbiyah remaja, melalui agenda bersama sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan, bukan keuntungan. Bahawa program ini mampu menjadi ikon kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, supaya mencipta satu jenama yang dekat dan 'lekat' dengan remaja dan masyarakat. Bahawa keberkatan tetap terpancar apabila ia diusahakan bersama oleh semua pihak, tanpa sikap oportunis dan individualistik.

Saya melihat SPIES ini mampu menjadi jenama yang bakal melonjakkan Dr Halimah Ali sebagai ikon pendidikan di Selangor ini. Kita semua mengharapkan Pakatan Rakyat dikenang sebagai pihak yang membawa obor kebajikan yang kental dan ikhlas kepada rakyatnya, dan PAS lah menjadi pelopor utamanya!

No comments: