Saturday, December 6, 2008

SALAM EIDUL ADHA

Saya dan keluarg ingin mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya di negara ini.

Peristiwa menyambut Eidul Adha mengingatkan kita pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang diabadikan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an. Juga kita mengenang detik perjuangan Nabi Muhammad saw sehingga Islam kembali gemilang. Perjuangan memerlukan pengorbanan yang tinggi yang menuntut keikhlasan. Ibadah korban yang menjadi mercu tanda kepada perayaan Eidul Adha adalah pencetus kepada jihad dan pengorbanan yang tinggi dari kita semua. Ingatlah, setiap titisan darah haiwan korban yang mengalir ke bumi adalah suatu pahala yang diangkat martabatnya oleh Allah, manakan pula darah dan keringat yang mengalir dari tubuh para mujahid yang mengejar syuhada!

Berhimpunnya umat Islam di pelusuk dunia di Padang Arafah adalah tanda kesamaan manusia di hadapan Allah kendatipun manusia itu datangnya dari pelbagai latar belakang, kedudukan, pengkat, harta dan nama. Kemuliaan ditentukan oleh darjat taqwa, bukan pada darjat Dato' dan Tan Sri shipnya. Pemakaian Ihramnya para hujjaj menandakan siapa pun diri kita, adalah kerdil dan hina di sisi Allah. Kita adalah sama, berasal dari rumpun dan anak Adam yang sama. Maka mengapa ada di antara kita yang memperbudakkan manusia yang dilahirkan merdeka?

Umat Islam dari pelusuk manapun, akan berhimpun dan bertawaf di hadapan Ka'abah. Tatkala itu, mengapa tiada slogan Hidup Melayu, atau hidup bangsa Arab berkumandang? Yang ada hanyalah slogan membesarkan Allah swt serta kesatuan umat Islam seluruhnya. Kita semua adalah bersaudara, tiada bangsa yang lebih dan yang kurang, asal saja bertaqwa kepada Allah swt. Tidak ada bezanya warna kulit, bangsa, keturunan, darjat dan pangkat- yang ada hanyalah umat Islam yang satu. Alangkah indahnya kalau intipati haji ini diterjemahkan dalam konteks kesatuan jamaah dan Islam keseluruhannya.

Semoga ibadah korban dan sambutan Eidul Adha meningkatkan ketaqwaan kita semua. Semoga pengorbanan kita adalah didasarkan kepada keikhlasan dan jihad pengorbanan kita di hadapan Allah.

Saya dan keluarga memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan kepada semua pembaca budiman. Terima kasih atas sokongan anda. Salam Eidul Adha.

No comments: