Takziah diucapkan kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa semalam. Sebelum ini beberapa hari dan minggu yang lalu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Damansara dan di Hulu Yam yang mengorbankan dua nyawa. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.
Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit. Dua puluh tahun yang lalu negara digemparkan dengan kejadian kondominium runtuh di Bukit Antarabangsa. Kini kejadian sama berulang di kawasan yang sama. Apakah kita menunggu kejadian yang lebih dahsyat baru kerajaan dan mana-mana pihak yang berkaitan mengkaji kesan bahaya pembangunan di tanah tinggi?
Kita mengharapkan bantuan akan segera tiba. Mana-mana wakil rakyat di kawasan terbabit, harap dapat jengukkan muka bertanya khabar menghulur simpati. Jangan pula timbul isu tragedi seperti ini dipolitikkan demi kepentingan diri. Akhirnya kita akur, walau sehebat mana perancangan manusia tidak dapat elak dari ketentuan Allah. Luas kekuasaan Allah tidak ada batas sempadan berbanding kudrat manusia yang kerdil ini. Dari Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali.
Dipetik dari Bernama.
Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 4 maut
KUALA LUMPUR: Empat terkorban manakala lebih daripada lapan orang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh 4 pagi yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa dekat sini, tertimbus.
Empat mayat yang ditemui melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, demikian menurut jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian.Kirakira 15 orang pula dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.
Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.
Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.
No comments:
Post a Comment