Friday, December 5, 2008

PRK KUALA TERENGGANU: AKANKAH PAS DITERIMA SEMULA RAKYAT TERENGGANU?

Nampaknya bahang Pilihanraya bermula kembali. Setelah badan diperas akibat berperang sakan di Permatang Pauh, kini Parlimen Kuala Terengganu menggamit rakyat untuk datang berperang kembali.

Tarikh 17 Januari 2009 dirasakan cukup mendebarkan buat kedua-dua pihak menghadirkan episod baru buat rakyat Malaysia. Pencinta perubahan pastinya mengharap detik kemenangan. 50 tahun sudah cukup menguji kesabaran bahawa UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan perubahan. Perubahan yang diharapkan semakin meleset dan tinggal slogan retorik yang diungkapkan dalam majlis rasmi sahaja.

Selain dari itu, kemenangan adalah penawar luka kehilangan bayangan kuasa 16 September. Terbayang di benak rakyat, tarikh itu yang berlalu dengan hampa. Namun masih ramai menaruh harapan agar Pakatan Rakyat mampu memberi sesuatu. Paling tidak pun biarlah satu kemenangan sebagai saguhati penyedap rasa.

Bagi pencinta perjuangan bangsa pastinya mahu mengekalkan kuasa sang pemerintah agar negara 'tidak tergadai kepada kuasa penjajah'. Itulah mentaliti ahli dan pendokongnya. Seakan UMNO itu pejuang bangsa dan negara manakala parti lain petualang dan pengkhianat negara.

Apapun,Kuala Terengganu bakal memeriahkan negeri Moonsun Cup ini. Pastinya ramai yang berkampung dan melariskan apa juga perniagaan di sana buat sekelip mata. Debarannya semakin dirasai dimana-mana. Mampukah 'giant killer' Pakatan Rakyat sekali lagi menumpaskan gergasi tua bernama BN setelah membenamnya di Permatang Pauh dan PRU ke 12 yang lalu?

Kali ini PAS diamanahkan menggalas kerja sebesar ini. Pastinya tugas ini menuntut pengorbanan dan keikhlasan oleh semua ahli dan pimpinannya. Kuala Terengganu menjadi batu tanda benarkah PAS menumpang tuah kebangkitan Parti Keadilan Rakyat, atau memang PAS mempunyai taring kekuatannya sendiri tanpa mengharap ihsan parti sahabat. Rakyat Terengganu akan diuji sekali lagi, sama ada mereka mampu menerima semula kehadiran PAS atau menolaknya buat kesekian kalinya .

No comments: