Akhirnya Zaid Ibrahim telah disingkirkan dari UMNO. Bekas de facto Menteri Undang-Undang ini dibuang kerana sikap 'biadap' nya terhadap parti UMNO. Beliau akhir-akhir kariernya sebelum meletak jawatan, lantang mengkritik dasar kerajaan. Antaranya ialah ISA.
Beliau juga dilihat sangat menjalin kemesraannya dengan program-program pembangkang. Yang terakhir dihadirinya ialah kongres PKR di Shah Alam serta pertemuan tertutup dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Mungkin faktor ini memedihkan hati Abdullah Ahmad Badawi.
Memang wajar Zaid Ibrahim dikenakan tindakan tatatertib kerana sikap berbaiknya dengan musuh politik. Dalam PAS pun, mana-mana pemimpin dan ahlinya yang tidak setia, bersikap curang, serta mengkhianat wajar dikenakan tindakan disiplin. Mana boleh PAS menerima seorang yang zahirnya setia, di luarnya 'berkasih' dengan parti-parti politik lainnya.
Tetapi malang Zaid bukan kerana ketelanjurannya dengan Pakatan Rakyat, lebih dari itu kerana keceluparannya terhadap isu-isu politik. Beliau vokal terhadap isu ISA, malah sanggup letak jawatan kerana mahu bersama dengan aspirasi rakyat. Berjuta rakyat menyatakan suara yang senada seirama, sehinggakan parti komponen BN pun bersuara yang sama. Bahawa ISA perlu dihapuskan. ISA adalah undang-undanga drakonian yang zalim. ISA tidak valid lagi dengan tuntutan zaman ini.
Malangnya UMNO tetap UMNO. Dungu dan sombong, tidak mahu belajar dari kesilapan kekalahan mereka dalam PRU 12. Disalahkan orang-orang seperti Zaid dan PPP sedangkan mereka tidak mahu langsung menjenguk apakah hasrat sebenar dari kehendak rakyat yang mahukan ISA ditutup. Atau mungkin UMNO ada masih ada agenda peribadi untuk diselesaikan atau untuk menyelamatkan nyawa mereka yang sudah tinggal di halkum? Mungkinkah ramai lagi yang mempunyai pendirian seperti Zaid Ibrahim yang sanggup dibuang atau semuanya sudah tinggal sisa-sisa sampah yang busuk dan menanti masa dijemput ajal.
Zaid kini bebas memilih parti politiknya. Maruahnya dijulang tinggi sebagai perwira rakyat. Nilainya sangat berharga. Buat Zaid, tunggu apa lagi, pintu perjuangan bersama Pakatan Rakyat sudah terbuka luas. Harungi bahtera perjuangan ini bersama-sama kami membadai di samudera luas. Selamat berjuang Zaid!
No comments:
Post a Comment