Saya kira ramai dari kalangan rakyat Malaysia pernah berpengalaman merasa rasuah dalam hidup mereka. Kadang-kadang bukan diminta tetapi terpaksa hadapi, kerana sudah menjadi budaya. Mungkin ada yang tidak percaya tetapi benar berlaku bahawa rasuah hampir berlaku di mana-mana. Di Pejabat kerajaan, di Bank, di mahkamah, di penjara, di dalam masjid, di bawah meja,di tepi jalan raya, dan dimana-mana.
Rasuah adalah perkataan yang cuba dijadikan ikon kebencian suatu ketika dulu tetapi tidak menjadi. Dulu macam-macam slogan dan kempen keluar bagi menyahkan rasuah di tengah masyarakat, tetapi akhirnya slogan itu kecundang jua. Tidak seperti mana dadah, sambutannya sangat baik dan hampir semua rakyat tahu dan mahu dadah dihapuskan. Tetapi rasuah gagal dijadikan musuh nombor dua selepas dadah.
Punca rasuah gagal dibendung ialah sikap manusia yang menggubal akta rasuah itu sendiri. Di ciptanya akta dan undang-undang rasuah, tetapi diri sendiri tidak diharamkan. Kalau rasuah kena pada orang lain dengan tegas dihukum, tetapi bila kena batang hidung sendiri didiamkan. Diciptanya organisasi anti rasuah, tapi ketuanya sendiri ada bau-bau bacang dengan gejala rasuah.
Saya ambil beberapa insiden yang biasanya orang terbabit akan terpalit dengan rasuah. Contohnya kepada seorang pemandu kenderaan. Kadang-kadang sifat manusia ada kelemahan. Memecut laju, terlupa tali pinggang keledar, lambat hidupkan cukai jalan, terlupa bawa kad pengenalan atau lesen, telefon sambil memandu, melanggar lampu isyarat dan lain-lain adalah kesalahan lazim buat pemandu. Saya bukan pembela pemandu lalai atau cuai. Tetapi saya ingin bangkitkan betapa ramai pemandu terperangkap dengan gejala rasuah apabila suasana tersepit seperti kes di atas. Bila disaman, untuk mengelakkan dari direkodkan seseorang terpaksa meyuap dulu pegawai polis atau JPJ. Pegawai Polis akan mengugut dulu untuk menaikkan kadar saman. Bila rasa-rasanya pemandu tadi boleh 'dimakan' dia pun akan menjual sahamnya, sampai tahap kemampuan pemandu terbabit. Akhirnya pemandu dalam keadaan terdesak terpaksa suap bagi elakkan saman. Maka kaya rayalah beberapa kerat pegawai polis dengan duit kopi pemandu-pemandu.
Situasi kedua, berlaku di Puspakom pula. Kadang-kadang kerenah dan giliran yang terlalu panjang untuk ditunggu maka sesetengah pengusaha kenderaan memberi duit kopi kepada pegawai Puspakom bagi melicinkan operasi pemeriksaan kereta mereka. Bukan sedikit kereta untuk dibayar, sampai beratus bahkan beribu ringgit sebulan pegawai tadi mendapat upah. Kesannya? Ada kereta potong yang lulus Puspakom, ada kereta curi lulus Puspakom dan lain-lain lagi.
Situasi ketiga. Masih berkisar tentang proses jual beli kenderaan. Pernah berlaku pada beberapa kawan yang ingin membeli kereta terpakai. Di tawarkan duit kopi bagi memudahkan proses jual beli kereta mereka. Habuan itu adalah milik pegawai-pegawai bank, yang meluluskan pinjaman mudah dengan segera. Sedangkan sepatutnya rasuah tidak perlu berlaku pun. Tugas pegawai bank adalah memberi pinjaman atau tidak. Tugas penjual kereta adalah menawarkan jualan kenderaan jualannya kepada pembeli. Apa perlu pembeli merasuah pegawai bank atau penjual kereta bagi meluluskan kenderaan yang hendak dibelinya. Memang proses jangka panjang dan penuh dengan birokrasi meletihkan. Sebahagian orang tidak sabar maka rasuahlah jalan penyelesaiannya.
Situasi keempat. Berlaku di pejabat-pejabat kerajaan. Yang makan banyak sudah tentu yang menjaga kelulusan projek. Tauke-Tauke projek segera hadiahkan sesuatu yang paling istimewa dengan 'ikhlas' kepada pegawai tersebut. Kononnya tiada niat apa-apa. Walhal di belakangnya penuh perasaan tamak agar projeknya diluluskan segera, meskipun kadang-kadang tanpa proses tender yang terbuka. Inilah yang berlaku sekitar 50 tahun yang lepas. Bahkan sehingga kini budaya ini berlaku dimana-mana ada pejabat kerajaan tersebut. Yang kaya pegawai terbabit, yang menjadi mangsa adalah pengusaha atau kontraktor Melayu yang ikhlas dan jujur.
Situasi kelima. Berlaku kepada ibu bapa yang miskin dan tidak tahu apa-apa. Anak yang perlu dan mahu ke universiti, kadang-kadang senarainya panjang. Perlu tunggu giliran. Adakalanya bernasib baik maka anaknya dapat masuk universiti. Sebaliknya ada juga kurang bernasib baik. Jadi untuk memungkinkan anaknya tersenari ke universiti maka mereka terpaksa memberi duit kopi supaya anaknya terselit masuk sebagai mereka yang bernasib baik. Ia benar-benar berlaku kepada penduduk kampung saya dulu. Rupanya ia bukan kes terpencil tetapi menjadi-jadi. Ramai insan tidak berdosa 'terkena' dan merana. Yang kaya pegawai-pegawai atasan terbabit.
Situasi keenam. Ia melibatkan kes-kes jenayah dan pembanterasan kongsi gelap, dadah, pelacuran, kelab malam. Pemain utama adalah pegawai polis. Pengarah filemnya adalah tauke-tauke judi dan kelab malam. Selalu bila kita lihat operasi kelab-kelab malam, tidak ramai yang diberkas polis. Pelacur-pelacur dan pengunjung adalah beberapa kerat mereka yang tidak berkepentingan akan ditahan. Dihebohkan dalam akhbar operasi telah berjaya. Walhal kebanyakan kelab malam apabila diserbu malam ini, esoknya operasi macam biasa. Jual Syabu, Ecstasy, kokain dan dadah seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa berlaku. Yang hairannya ramai kalangan mereka yang selamat dari diberkas, seakan-akan telah hidu kedatangan pihak polis. Agak-agaknya siapa yang beritahu kalau bukan ada urusan tidak rasmi di bawah meja antara beberapa orang dalaman.
Begitu juga kepada kumpulan kongsi-kongsi gelap. Pelbagai kes dibongkar dan jenayah dilakukan, polis kadang-kadang lambat bertindak, ditangkapnya seorang dua suspek kemudian dilepaskan kembali. Beberapa kes bunuh didiamkan saja dengan alasan tiada bukti. Inilah dilema kepada kes-kes jenayah di Malaysia. Hendak disalahkan siapa kalau pelakunya dibiarkan bebas didepan mata.
Situasi satu hingga ke lima adalah dilema kepada rakyat biasa. Berlaku kepaada sesiapa dan dimana-mana. Sebenarnya banyak lagi kes rasuah dan pelbagai cara ia boleh berlaku. Adapun kes keenam hanya melibatkan beberapa pegawai atasan saja. Namun kita belum berbicara kes-kes yang melibatkan individu berprofil lebih tinggi. Sudah tentu habuannya pun lebih banyak. Saya tidak mahu menyentuh isu rasuah pemimpin politik dan pegawai tertinggi negara, kerana ramai orang sudah tahu dan mungkin tidak melibatkan banyak pihak. Kes ini menguntungkan beberapa orang tetapi merugikan ramai pihak, sampai tahap menggadai sesebuah institusi.
Namun situasi-situasi di atas adalah kejadian yang benar-benar berlaku di negara ini. Menjadi dilema kepada kita bahawa adakah rasuah menjadi opsyen rakyat bagi memudahkan akses dan kemudahan diri mereka, atau menambah parah luka yang telah bernanah. Hendak diapakan rasuah kerana ia telah sebati di mana-mana. Hendak dipongah semuanya, ia melibatkan ramai orang. Hendak dibiarkan ia meruntuhkan negara. Akhirnya bagi saya, ia menjadi dilema yang berpanjangan...
No comments:
Post a Comment