Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan di Parlimen cadangan menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim digubal bagi meminda serta menambahbaik sistem organisasi yang berhubung kait dengan perundangan dan integriti negara.
Nampaknya Pak Lah di akhir hayat (karier) politik beliau cuba membersihkan nama dan reputasi beliau yang buruk itu. Betapa tidak, di era pemerintahan beliaulah rasuah di Malaysia menjunam ke paras yang paling buruk. Prestasi indeks rasuah Malaysia jatuh teruk berbanding negara 'seangkatan' dengannya. Kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu-individu penting di pengapkan begitu sahaja. Di era ini kita mendengar seorang peguam boleh 'bermesra' dengan hakim di luar negara. Dan kes itu merebak melibatkan perlantikan Ketua Hakim Negara yang boleh di jadualkan dan dirancang oleh seorang peguam biasa.
Di zaman Pak Lah juga kita mendengar rasuah berjuta-juta melibatkan pelbagai sektor kerajaan dan kementerian. Dari Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, termasuk berguni-guni laporan dan dokumen bukti rasuah melibatkan individu berprofil tinggi seperti Menteri Kewangan ke 2, Bekas Menteri Besar Pahang, Bekas Perdana Menteri, Bekas Menteri dari MCA, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen dan lain-lain.
Yang lebih mengaibkan, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah turut terkait dengan amalan rasuah. Sebuah badan yang sepatutnya menjunjung tinggi amalan pencegahan rasuah, ketuanya boleh terkait dengan rasuah. Bagaimana seluruh rakyat Malaysia boleh meletakkan kepercayaan bahawa kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang telus, bersih, amanah dan berwibawa.
Sejak itu, dan sebelum-sebelumnya, agensi penting kerajaan telah hilang wibawanya. PDRM sejak dulu dan kini kurang mendapat kepercayaan rakyat bahawa mereka bebas dari amalan rasuah. Kerana itu PDRM terpaksa melekatkan sticker di kereta-kereta peronda bahawa mereka anti rasuah. Rakyat akan menaruh syak apabila sebuah kereta peronda menahan sebuah kenderaan lainnya, benarkah pemandu kenderaan tersebut melalukan kesalahan dan apa-apa imbuhan tambahan diberikan sebagai membantu mengelakkan saman.
Keraguan ini turut sama dikongsi terhadap JPJ, PUSPAKOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, BPR serta lain-lainnya. Soalnya, sampai bilakah akan kembali kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan ini?
Abdullah Ahmad Badawi sekarang baru melihat rasuah di Malaysia di tahap yang paling parah. Sejak empat tahun lepas beliau tertidur dan lena diulit pujian melangit. Apabila digasak oleh Rakyat dalam PRu ke 12, barulah beliau tersedar. Namun untuk membaiki kerosakan bukan suatu kerja yang mudah. Ia telah membarah, membusuk dan telah mengalir di urat nadi masyarakat. Pak Lah sekiranya benar ikhlas memperjuangkan anti rasuah perlu berperang dengan anggota kabinetnya sendiri. Ini sarang rasuah paling besar. Beliau kena buktikan kemampuan beliau dengan mengheret pemuka rasuah yang mengaut laba paling besar. Betapa tidak, ramai dari kalangan Menteri yang sudah ada rekod dan laporan rasuah. Mahu bukti, sila semak ke BPR. Semua ini hanya menanti ketegasan beliau atau sekadar retorik Pak Lah terhadap rasuah ini.
Kemudian baru beralih ke agensi penting kerajaan. Pak Lah kena bersihkan semuanya, dari pucuk ke akarnya sekali. Sekali lagi kali ini tugas beliau perlu berperang dengan ahli-ahli partinya. Kerana yang menduduki kerusi strategik di Kementerian dan agensi adalah dari kalangan ahli UMNO/BN atau penyokongnya. Antaranya Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah SPR, Ketua Pengarah BPR, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Audit Negara dan lain-lain lagi. Sebahagian mereka ini pernah dilaporkan rasuah. Sanggupkah beliau menebalkan muka, memekakkan telinga mengharungi segala ranjau menentang rasuah. Ini adalah sebuah persoalan.
Kemudian beralih kepada Jawatan penting di agensi kerajaan. Antaranya Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha Politik, Pengarah-Pengarah Jabatan, Naib-Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan lain-lain. Kerja Pak Lah bukan mudah. Hasratnya baik dan tindakannya pun baik. Tetapi siapa yang akan menyokong beliau. Dr Mahathir awal-awal lagi mengisytiharkan perang ke atas beliau. Nak harapkan Najib, silap-silap Najib sendiri terperangkap dengan pelbagai aduan yang diserang ke atas beliau. Khairy Jamaluddin, takut-takut Naib Ketua Pemuda UMNO ini pun akan terjerat sama.
Saya melihat akhirnya usaha Pak Lah ini akan tinggal sekadar sejarah bersama Islam Hadhari ciptaannya. Seorang bernama Perdana Menteri meskipun kuasanya besar dan luas, tidak akan mampu membersihkan lumpur dosa rasuah yang pekat dan menebal. Rasuah telah sebati, dan berakar umbi ke dalam tubuh masyarakat. Anwar Ibrahim dulu pun pernah beriltizam yang sama, tetapi tong najisnya terlalu besar untuk dicuci. Beliau sendiri tercampak keluar. Hanya satu yang dirasakan Pak Lah boleh menebas rasuah, bubarkan UMNO atau keluar dari UMNO!
No comments:
Post a Comment