Wednesday, April 29, 2009

KE MANA AKAN BERKHIRNYA EPISOD DRAMA DI PERAK

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan untuk menolak permohonan peguam Dr Zambry untuk mengiktiraf beliau sebagai MB yang sah. Mahkamah lalu memerintahkan kes ini di dengar di Mahkamah Tinggi. Kes ini sudah menjadi bola sepak yang ditendang ke sana sini tanpa ada apa-apa tujuan dan kesudahannya.

Terdahulu dari itu, Mahkamah Tinggi menerima hanya 2 daripada 8 permohonan Zambry untuk mengisytiharkan Speaker DUN Perak, Sivakumar yang memerintahkan beliau bersama 6 orang exco lantikannya digantung daripada sidang DUN sebagai tidak sah. Ini bermakna, dalam perkiraan perundangan, perisytiharan mahkamah hanya bersifat sebagai pandangan (opinion) dan bukannya keputusan yang boleh dijaja ke mana-mana. Akhirnya nanti, Speaker juga yang akan membuat keputusan layakkah Zamry dan gerombolannya masuk ke DUN Perak. Sudahlah mahkamah diperkaikan ramai sebagai mahkamah kangaru, kini Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menjadi bahan ketawa orang.

Zambry pula dalam keadaan tergesa-gesa mahu beliau diiktiraf sebagai MB dan mengejar masa supaya DUN tidak dibubarkan dengan sendirinya. Terpaksalah beliau naik turun Istana Perak bagi memohon restu diadakan sidang DUN. Dulu masa Speaker dan MB yang sah (Nizar Jamaluddin) mahu mengadakan sidang DUN tidak dibenarkan, dihalang dari masuk ke sidang DUN, sehingga mereka terpaksa bersidang bawah pokok. Kini beliau pula terhegeh-hegeh mahu sidang diadakan demi nak selamatkan karier politik dan kerajaan 'haram' nya dari terbubar dengan sendirinya. Alangkah tak malunya Zambry!

Bayangkan kalau kerajaan Pakatan Rakyat bertindak tegas dan pihak polis pun bertindak atas kebenaran. Notis panggilan sidang DUN tidak pun dalam pengetahuan Speaker, tiba-tiba Setiausaha DUN yang telah pun digantung boleh mengeluarkan notis mengarahkan sidang DUN diadakan tanpa kebenaran Speaker. Tidak ini suatu lawak jenaka paling kelakar abad ini. Taraf setiausaha DUN sama seperti penjawat awam lainnya yang mempunyai majikan atau pegawai atasannya. Beliau mesti bertindak atas arahan Speaker, bukan membuat kerja syok sendiri.

Saya tidak dapat gambarkan kalau betul-betul terjadi ke atas Kerajaan haram Zambry sebagaimana ia berlaku ke atas kerajaan Pakatan Rakyat tempohari. Hendak masuk ke DUN dihalang. Sedangkan disitu ada Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Masuk ke pejabat sendiri pun dihalang. Agak-agaknya kalau ia benar-benar berlaku kepada Zambry bagaimana riuh rendahnya negara ini. Pasti kerajaan UMNO-BN akan bertindak luar kebiasaan. Mungkin ISA dijadikan senjata. Mungkin juga darurat. Atau undang-undang sekatan. Atau mungkin juga polis akan bertindak luar kawarasan. FRU akan berkawal seperti zon kawalan perang.

Sudah dikatakan bahawa biarlah kuasa Speaker dan DUN menentukan segalanya, apa dikacau kuasanya. Sistem pemerintahan negara sudah dipecah-pecahkan, tidak perlulah eksekutif mencapur adukkan kuasa-kuasa tersebut. Sekarang badan perundangan (mahkamah), legislatif dan eksekutif sudah berserabut, akibat sikap tamakkan kuasa.

Sehingga bila dapat kita saksikan negeri Perak dapat diperintah dengan aman dan tenang. Hanya kerana mabuk kuasa, ditambah dengan kesombongan memangsakan beribu rakyat negeri itu. Tinggallah nanti beberapa tahun ini kedua-dua pihak bertelagah menentukan siapa punya mentadbir negeri itu. Kalau dibubarkan DUN dan adakan kembali PRK seluruh negeri Perak, bukankah mudah. Rakyatlah yang akan menentukan kerajaan mana mereka kehendaki. Tidak perlu kita pening menafsir undang-undang ikut kepala sendiri.

Saturday, April 25, 2009

SPR MENUNGGU ISYARAT DARI NAJIB UNTUK TERUSKAN PRK PENANTI

Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya menangguhkan pengumuman tarikh Pilihanraya Kecil DUN Penanti amat mengejutkan. SPR seakan-akan menunggu isyarat dari Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada hari Jumaat, 23 April untuk menentukan tarikh Pilihanraya kecil Penanti. Lebih melucukan apabila SPR berura-ura mahu mengkaji kesahihan surat perletakan jawatan Fairus sebagai ADUN. Bukankah sudah jauh SPR melangkaui tugas utamanya?

Sepatutnya SPR hanya memainkan peranannya selaku pengendali pilihanraya. SPR tidak perlu bertanya apakah sahih surat perletakan jawatan seseorang ADUN atau Ahli Parlimen. Tugas menentukan kesahihan surat perletakan jawatan terletak pada speaker DUN atau Parlimen.

Dalam keadaan begini masih SPR menunggu isyarat dari Najib. Jelaslah kepada kita di pihak mana SPR berada sekarang. Wajarlah Pengerusi dan seluruh pemimpin SPR dirombak dan digantikan dengan mereka yang benar-benar bebas dan telus. Rakyat sudah muak dengan mainan politik dan talam dua muka pemimpin UMNO yang tidak malu memperkudakan jabatan kerajaan.

Apabila Najib dan gerombolan UMNO bermesyuarat yang memutuskan untuk masuk bertanding dalam PRK Penanti barulah nampak SPR tergocoh mengumumkan akan menentukan tarikh PRK Penanti. Nampak sangat plot yang dirancang agar SPR bertindak mengikut skrip yang disediakan. Apapun tahniah Najib kerana mahu UMNO menyertai Pilihanraya. Barulah nampak kejantanan UMNO untuk bertemu dengan Pakatan Rakyat. Dan disitulah nanti kita menentukan siapa yang berjaya menambat hati rakyat.

Saturday, April 18, 2009

BEBAS ISA SEKADAR KOSMETIK: 3 LAGI DITAHAN ISA

Najib Tun Razak bermain wayang dengan rakyat Malaysia. Ura-ura kononnya beliau akan berlaku baik dan adil kepada rakyat sejurus selepas perlantikannya, tidak menjadi kenyataan. Awal dinasti pemerintahannya dibebaskan 13 orang ISA, dan beberapa hari selepas itu pula, ditahan 3 pula lagi. Ketiga-tiga mangsa terbaru ini dikaitkan dengan JI (Jemaah Islamiyyah), suatu pertubuhan yang sengaja direka-reka bagi menghalalkan tindakan UMNO-BN. Ia juga suatu natijah bahawa pemimpin Malaysia kini tunduk akur kepada kehendak naluri jahat kerajaan Amerika.

Najib memang tidak berani lakukan perubahan seperti yang diimpikan rakyat Malaysia. ISA sudah menjadi igauan buruk rakyat yang bencikan undang-undang drakonian itu dihapuskan. ISA menjadi benteng akhir paling ampuh Najib dan Kerajaan BN mempertahankan kuasanya. Undang-undang ini bakal digunakan pada bila-bila masa andainya kerajaan BN dalam keadaan bahaya. Nantikan pemimpin pembangkang yang meningkat naik untuk menjadi mangsa terbarunya kelak!

Apa lagi yang perlu diharapkan dari pemimpin UMNO-BN. Mereka memang tidak hiraukan jerit pekik rakyat yang mahu ISA dihapuskan. Naik sesiapa saja sebagai PM, asal namanya UMNO-BN, ISA akan terus dikekalkan. Dengan ISA mereka berkuasa, dan dengan ISA mereka terus mengganas membaham apa sahaja yang mereka mahukan. Apa boleh buat, bola di kaki mereka, kita rakyat sekadari menjadi gawang kosong tempat menjadi mangsa melepaskan rembatan padu..

Sunday, April 12, 2009

TRADISI PAK LAH DIKEKALKAN NAJIB : GUNAKAN ORANG AGAMA!

Cerita orang agama atau ulama' dalam parti politik bukan perkara baru dalam politik negara. PAS sejak lama memang sudah sinonim dengan orang agama. Dengan latar bekalang yang berteraskan perjuangan Islam, mudah bagi ulama' berjinak dan mendapat tempat dalam kepimpinan PAS. Tidah sah rasanya dalam kepimpinan PAS di mnana-mana peringkat tanpa kelibat ulama'. Cuma yang terkenal dan dikenali ramai- menyertai PAS secara berbondong-bondong sejak tahun 1998 lagi. Kita mengenali figur dihormati seperti Dato' Ismail Kamus, Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Ishak Baharom (almarhum) dan Dato' Dr Haron Din. Mereka ini mewarnai pentas PAS sejak itu hingga kini.

Memang PAS tidak kekeringan ulama'. Ia adalah sinonim dengan perjuangan Islam PAS sejak dahulu hingga kini. Kalau disebut lubuk ulama', Dewan Ulama' pembekal utama tenaga Ulama'. boleh dikatakan PAS mengangkat darjat para ulama' sehingga dijadikan rujukan dan pemimpin utamanya. PAS tidak bermain-main dalam soal ini. Majlis Syura Ulama' adalah pemandu utama PAS dalam menentukan hala tuju. ke kiri kata Majlis Syura, maka ke kirilah PAS. Ke kanan Majlis Syura kata, maka semua haluan PAS akan ke kanan. Inilah istimewanya PAS kerana meletakkan 'pewaris Nabi' sebagai rujukan utama.

UMNO sejak akhir ini sering kali pula menggunakan ulama' sebagai landasan mereka merapati golongan agama. Langkah ini dikesan sejak tahun 2004, apabila Pak Lah meletakkan beberapa nama yang dianggap ulama' sohor sebagai calonnya. Dato' Firdaus (bekas Imam besar Masjid negara) yang sering keluar masuk TV tiba-tiba menjadi bualan apabila dicalonkan melawan Datin Seri Wan Azizah di Permatang Pauh. Bekas orang kuat Dr Haron Din, Dr Amran Kasimin pula tiba-tiba menjadi calon UMNO di Bangi. Beliau menang di DUN Bangi sepenggal. Selain beliau, Dr Masyitah Ibrahim, bekas penceramah TV 1 juga tiba-tiba bertanding dan menang di Baling. Beliau digunakan untuk menentang ulama' juga iaitu Ustaz Taib Azzamuddin. Di Perak, Kapten Najmuddin Elias tanpa disangka adalah orang UMNO pula. Beliau bertanding dan menang di DUN Perak. Begitulah dua tiga orang yang agak dikenali, mulanya disangka 'neutral', tiba-tiba menyertai UMNO.

Kesemua mereka yang menyertai UMNO sekadar dijadikan perkakas dan hiasan semata. Lihatlah dimana mereka ditempatkan. Dr Masyitah diangkat sebagai Timbalan Menteri. Namun apa tugas yang diberikan kepada beliau kalau bukan sekadar pelengkap kabinet Pak Lah dan Najib kini. Tidak ada hukum yang dirujuk kepada mereka ini. Di mana kenyataan berkenaan Islam Hadhari yang dicipta akhir zaman ini dari mulut ulama' UMNO? Mana pula kenyataan keras menentang rasuah, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa dari mulut-mulut mereka? Tidak pula kedengaran amaran amar ma'aruf nahi mungkar lahir dari ulama' yang menyertai UMNO. Bagi mereka saat itu telah menjadi halal.

Kabinet baru Najib nampaknya ada seorang lagi ulama' yang menyertainya. Mej- Jeneral Dato' Jamil Khir tidak pernah dikesan aktif dalam UMNO. Akhirnya beliau muncul sebagai Menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri. Bertambah pula koleksi ulama' dalam UMNO. Peranannya tidak lain sebagai pelengkap kepada Kabinet Najib di samping untuk mempertaut kelompok masyarakat khususnya yang kuat beragama. Selainnya tidak pula kita ketahui ulama' dalam UMNO sebagai penasihat, tempat rujukan hukum, atau sebagai pengawal syariah UMNO.

Kita mengharapkan supaya ulama' dalam UMNO mampu setidak-tidaknya membuka ahli-ahlinya agar menjauhi rasuah, jenayah, serta sedar di mana kedudukan UMNO sekarang. Ataupun mereka ini sekadar menjauhkan lagi UMNO kepada Islam dengan pelbagai slogan retorik dan hukum yang sudah diubah menjadi halal mengikut suasana zaman yang sedang berputar. Harap-harapnya mereka kembali ke pangkal jalan.

Saturday, April 11, 2009

APA LAGI ISYARAT YANG MAHU DARI RAKYAT SELAIN MENOLAK BN SECARA TOTAL!

PAS dan Pakatan Rakyat kala ini sedang meraikan kegembiraan. Kegembiraan yang besar setelah menawan dua buah bukit. PRK kedua-dua kawasan, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat mampu untuk bertanding di mana-mana kawasan. Tidak ada lagi kawasan selamat buat UMNO-BN selepas ini, dan tidak ada kawasan yang hitam bagi PAS dan Pakatan Rakyat juga selepas ini.

Rakyat ternyata belum mampu melupakan dendam mereka kepada UMNO-BN dalam PRU ke 12 Mac tahun lepas. Kali ini, kedua-dua bukit menjadi mangsa amarah rakyat dihamburkan. Dan ternyata bukan faktor Pak Lah sebagai liabiliti kepada rakyat dan UMNO, tetapi memang rakyat menolak UMNO secara total.

Ramai berandaian faktor Permatang Pauh tidak boleh dijadikan sebab kemenangan Pakatan Rakyat mungkin kerana Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar. Kuala Terengganu adalah kubu kuat PAS dan UMNO, jadi ia bukan faktor penentu. Manakala Bukit Selambau di Kedah boleh dikatakan salah sebuah negeri kubu kuat PAS, bagaimana pula dengan Bukit Gantang? Sebelumnya PAS tidak pernah memenangi kerusi di sana. Ia adalah medan tradisi UMNO-BN. Hanya pada tahun 2008 rakyat mula berubah angin mengundi PAS. Itupun jurang undi yang tidak seberapa.

Tetapi PRK kali ini seakan-akan rakyat mengajar UMNO-BN semahunya. Undi majoriti semakin meningkat dari 1500 kepada 2700. Begitu juga dengan Bukit selambau. Rakyat juga seakan tidak peduli siapakah calon Pakatan Rakyat, asal sahaja lawannya UMNO-BN.

Mungkin faktor Nizar menjadi penentu di Bukit Gantang. Nizar menjadi suatu fenomena baru rakyat Perak. Nizar dijulang umpama wira yang baru menyelamatkan negara. tetapi faktor calon di Bukit selambau sukar diramal. Rata-rata pengundi tidak kenal pun calon Pakatan di Bukit selambau. Tambahan lagi dengan 13 orang calon bebas berentap menentu nasib. Akhirnya, calon PKR juga menang. Bukankah ia signal jelas, rakyat sudah mabuk benci BN dan sanggup mengundi sesiapa sahaja selain UMNO-BN.

Analisa awal juga membuktikan bahawa faktor Pak Lah bukan penyebab utama kekalahan UMNO-BN. Dalam 2 pilihanraya terdahulu, Najib mengetuai jentera BN. Kali ini, Najib sebagai Perdana Menteri. Keputusan terkini UMNO-BN masih kalah di kedua-dua tempat, sama seperti Najib mengemudi jentera BN. Apakah maksud tersirat yang boleh dibaca kalau bukan kerana rakyat sudah menolak UMNO-BN, walau siapapun pemimpin yang naik.

Memang sebenarnya rakyat bencikan keegoan dan kesombongan pemimpin UMNO-BN. Rakyat sudah muak dengan telatah pemimpin UMNO yang rakus berebut kuasa menjelang Perhimpunan agung baru-baru ini sehingga sanggup bermain duit secara terang-terangan. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan slogan retorik 'pembela rakyat' yang lahir dari ungkapan pemimpin UMNO-BN, sedangkan hakikatnya merekalah yang meruntuhkan rakyat. Rakyat bosan dengan gaya hidup pemimpin negara yang bermewah dan bersenang lenang di luar negara,s edangkan rakyat hidup terhimpit. Rakyat meluat melihat gaya hidup pemimpin negara yang bertukar kenderaan dan rumah selalu, sedangkan rakyat hidup merempat di rumah setinggan.

Rakyat menolak BN kerana kegagalan pemimpinnya memahami kehendak dan jeritan rakyat. Saat rakyat berpuluh kali merayu agar dimansuhkan ISA, bebaskan tahanan di dalamnya, mereka brsikap pekak badak. Bahkan rakyat diperbodohkan.

Ketika mana rakyat meminta dihapuskan PPSMI, pemimpin negara menyalahkan kembali rakyat. Dituduh rakyat tidak mahu bersyukur, anti establishment, bersikap 'mundur' ke belakang dan macam-macam lagi. Rakyat berhimpun di jalan raya dianggap pemberontak dan pembelot.

Waktu rakyat menangis kerana harga petrol dan diesel dinaikkan, pemimpin negara buat tidak tahu saja. Dianggap suara rakyat, suara nyamuk yang mengganggu kehidupan seharian. Rakyat dikepong dan disumbat ke penjara. Ini telatah mereka selama ini. Masihkah mereka ingat?

Tatkala rakyat memohon simpati agar tol tidak dinaikkan, dan kalau boleh dimansuhkan, pemimpin UMNO tidak pernah melayan. Bagi mereka, kenaikan tol tidak menjejaskan rakyat kerana kehidupan mereka selama ini tidak pernah terjejas. Mereka tidak pernah membayar tol dan merasakan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini.

Waktu rakyat menangis melihat perobohan rumah setinggan mereka, apakah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO? Hanya tergelak dan tersengih kerana projek bakal masuk berjuta-juta. Hal rakyat, biar mereka sendiri tanggung. Sudah nasib mereka begitu. Buat apa dipedulikan. Masihkah pemimpin UMNO ingat satu-persatu tindakan mereka sebegini suatu ketika dahulu?

Lantas, apabila rakyat menolak UMNO-BN, mengapa mereka pula terhenyak mahu mencari undi simpati? Bukankah selama ini peluang yang lama memerintah diberikan, dan rakyat pula selama ini menjadi mangsa. Adakah pemimpin UMNO insaf dengan kesombongan mereka terhadap rakyat.

Sekarang rasakanlah. rakyat sudah menolak kamu. Datanglah sesiapa sahaja yang hebat dari kalangan mereka, tidak akan memberi kesan kepada perubahan yang diimpikan rakyat. Kerana hati rakyat sudah tertutup buat BN. Sekali air bah, sekali pantai berubah.

APA YANG BARU PADA KABINET NAJIB?

Kabinet baru Najib yang diumumkannya tidaklah memeranjatkan banyak pihak. Seperti diduga, Kabinet baru yang disifatkan sebagai kabinet rakyat sebenarnya barisan yang telah ditolak oleh rakyat. Dan yang paling parah sebenarnya kabinet ini membenarkan desas-desus bahawa Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam mencaturkan kabinet baru Malaysia.

Pertama : Dapat dilihat apabila muka-muka lama yang telah ditolak oleh rakyat dikekalkan atau diangkat kembali. Nama seperti Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Awang Adek Hussin telah ditolak oleh rakyat dalam PRU ke 12 tahun lepas. Kini dikitar semula dan diangkat untuk menyertai kabinet Najib. Jelaslah mesej yang hendak disampaikan ialah kabinet ini bukan 'kabinet rakyat' tetapi kabinet Mahathir-Najib.

Kedua: Khairy seolah-olah menjadi badi dan tukun bagi Najib apabila namanya tidak disenaraikan menganggotai Kabinet baru. Sedangkan Naib Ketua Pemuda, Dato' Razali Ibrahim diangkat menjadi Timbalan Menteri. begitu juga dengan Ketua wanita dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rasyid Syirin yang masing-masing mempunyai habuan Menteri dan Timbalan apabila mereka menang dalam Pemilihan agung UMNO baru-baru ini.

Ketiga: Tidak semena-mena muncul tokoh yang ditolak oleh Pemuda UMNO sendiri, Dato' Mukhriz Mahathir. Apa jasa beliau selain anak bekas Perdana Menteri yang sekarang semakin kukuh mencengkam bahu Najib. Mukhriz diangkat sebagai Timbalan Menteri di bawah Dato' Mustapha Muhammad di kementeria MITI.

Agak hairan juga apabila Najib mengekalkan Nazri Aziz di Kementerian Jabatan Perdana Menteri sedangkan Nazri tidak bertanding pun dalam Pemilihan UMNO. Patutnya kalau pemilihanlah menjadi ukuran Kabinet Menteri, Nazri wajar digugurkan dan digantikan dengan MT UMNO yang lain.

Mungkin ada sedikit kejutan pada beberapa nama baru. Mukhriz, Razali dan Rosnah antara muka baru yang dilantik menganggotai kabinet kali ini.

Yang lain termasuklah ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi (timbalan menteri pelajaran); ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan (timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri), pengarah Kagat Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (menteri di JPM) dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (menteri wilayah persekutuan).

Nama Dato' Jamil Khir Baharom mungkin agak janggal didengari dalam kabinet kerana beliau tidak pernah dilihat aktif di dalam UMNO. Begitu juga Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang muncul kembali setelah lama hilang.

Kelima : Tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (menteri di JPM bagi undang-undang dan Parlimen), Datuk Ong Tee Keat (pengangkutan), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (pengajian tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (sains, teknologi dan inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (sumber asli dan alam sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (sumber manusia).

Kabinet ini dikekalkan sejak zaman pak Lah lagi. Mungkin Najib kali ini tidak punyai pilihan lain selain mengekalkan pemimpin-pemimpin parti komponen BN. Kalau tidak mungkin akan berlaku undi protes sekali lagi dalam PRU ke 13 akan datang.

Mungkin keberanian Najib kali ini wajar dipuji. beliau mengambil langkah kehadapan dengan mengetepikan segala sentiman dan menjaga perasaan pimpinan bawahannya dengan membuang nama-nama besar yang kalah dalam Pemilihan UMNO dan MCA baru-baru ini. Mereka ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar (menteri dalam negeri), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (menteri pembangunan luar bandar), Datuk Mohd Zin Mohamed (menteri kerja raya), Datuk Azalina Othman Said (menteri pelancongan) dan Datuk Ong Ka Chuan (menteri perumahan dan kerajaan tempatan).

Keenam: agak janggal apabila Kementerian Pelajaran diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Menteri Pelajaran sudah menjadi tradisi akan dipenuhi oleh pemimpin pelapis dan junior dalam kabinet. Mungkin agaknya Najib masih belum menaruh kepercayaan begitu tinggi kepada Muhyiddin. Hishamuddin pula diberikan Kementerian Dalam Negeri. Kementerian ini sememangnya sangat mencabar dan biasanya, Timbalan Perdana Menteri lah yang akan memikul beban tanggungjawab mencabar seperti ini. Saya boleh membariskan beberapa Kementerian yang sangat berkuasa dan penting, dianggap kanan seperti Kewangan, Pertahanan, Luar Negara dan Dalam Negeri yang layak disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, bukan Menteri Pelajaran seperti sekarang.

Kabinet Najib yang baru ini seakan tiada apa-apa pembaharuan. Selain nama-nama yang sudah dipinggirkan digilap kembali, nama-nama yang diragui rakyat dikekalkan, dan nama-nama baru yang bukan dijadualkan naik diangkat. Seakan serba tidak kena dengan kabinet Najib. Najib mungkin tidak membaca riak-riak keresahan ahli-ahli UMNO di bawah, dan tidak nampak bayang kemarahan rakyat yang berjaya menghukum BN selama ini. Dengan kabinet baru ini, seakan Najib gah di persada negara, hakikatnya rakyat sedang menyimpan amarah kebencian. UMNO pula mengumpul sisa-sisa kekuatan untuk memuntahkan dalam masa terdekat. Tunggulah!

Friday, April 3, 2009

AKHIRNYA PAK LAH PERGI JUA: KINI GILIRAN NAJIB.


Najib sah mengangkat sumpah pagi ini di Balairong Seri, Istana Negara. Pudarlah harapan dan suramlah hari-hari mendatang buat pencinta keadilan. Tindakan beliau selepas ini, faham-fahamlah, siapa yang akan menjadi mangsanya!

Pak Lah pergi juga mengikut jadual. Tidak ada sebarang peristiwa menarik dapat dilakar pembabitan beliau sepanjang meneraju PM. Benarlah telahan saya, Pak Lah bukan somebody, dia juga bukan 'special' - dia sama dengan anybody.

Harapan menggunug kepada Pak Lah kini tinggal habuk berterbangan. Pak Lah memang tidak mahu mencipta kontroversi. Graf hidupnya mendatar, tidak ada puncak klimaks. Memang Pak Lah bukan berani mencipta kejutan. Datanglah sesiapa saja, memberikan pandangan, nasihat dan teguran. Pertemua rahsia dengan Anwar di Hulu Langat menjadi kenangan. Perjumpaan tidak rasmi dengan Tengku Razaleigh juga tinggal memori. Rupanya sekadar pertemuan biasa. Tidak ada apa-apa perjanjian sulit. Memang Pak Lah lurus bendul. Akhirnya beliau pergi. Selainnya melopong menganga, terpinga-pinga. Apakah Pak Lah mahu melepaskan dendam amarahnya akibat penolakan rakyat terhadapnya. Nah, sekarang rasakan. Negara dipimpin seorang yang punya rekod yang sangat buruk. Pak Lah kini tersenyum puas menyaksikan porak peranda negara selain gelaran Tun yang diidamkannya.

Mulai hari ini Najib memimpin negara. Malangnya, rekod beliau belum dibersihkan. Baru beberapa hari lepas, imej beliau diangkat oleh media antarabangsa. Badi Altantuya masih melekat pada diri beliau. Bagaimana untuk menghapus keraguan masyarakat negara dan antarabangsa terhadap reputasi dan imej beliau. Namun itu bukan halangan untuk beliau menjadi PM. Imej tidak menjadi suatu masalah buatnya.

Inilah rekod Malaysia. Selain legasi kedua selepas almarhum ayahnya 30tahun lepas, beliau naik menjadi PM dalam keadaan namanya busuk di mata rakyat. Belum pernah terjadi sedemikian rupa, Najib dicebik oleh anak-anak muda. Kalau beliau berjalan sewaktu pilihanraya kecil ini di merata ceruk, pasti akan diejek.

Buat Pak Lah terima kasih kerana pernah meninggalkan sebingkis harapan. Harapan itu kini menjadi debu. Kepada Najib, Tahniah diucapkan. Kuasa kini di tangan anda, putarlah kemana sahaja, semua jentera negara akan tunduk patuh. Andalah pemandu negara. Haluan ke kanan, maka ke kananlah negara. Kalau anda terbabas, maka rakyat khalayak akan turut sama terbabas. Buatlah apa sahaja yang anda mahukan, ingat sahaja pada dosa pahala. Kami rakyat akan tuntut pada diri anda kalau ada secebis kezaliman tertimpa pada diri kami!

Wednesday, April 1, 2009

MARI KITA RAIKAN NAJIB SEBAGAI PM BARU

Disebalik perlantikan Najib sebagai PM baru Jumaat ini, sebenarnya adalah rahmat buat pembangkang. Walaupun kenyataan di atas agak pelik dan mungkin mengundang kemarahan rakyat, hakikat sebenarnya perlu kita lihat dalam aspek yang lebih jauh.

Ramai menggambarkan Najib bakal menjadi igauan buruk dan mimpi ngeri dalam sebuah demokrasi di Malaysia. Najib tidak seperti Pak Lah. Zaman Pak Lah memerintah lain. Segalanya longgar dan mudah. Mungkin kerana karakter Pak Lah yang lembut dan lembik menjadi belasahan pembangkang.

Siapa kata Najib kuku besi? Najib tidak berkuku besi. Jauh sekali beliau seorang diktator. Tidak pula bernafsu besar. Najib tidak sama macam Mahathir. Najib adalah Najib, bakal Perdana Menteri Malaysia yang jauh bezanya dengan mana-mana Perdana Menteri lainnya, walaupun ayahnya sendiri.

Beliau punya karakter unik tersendiri. Ada pendirian yang jelas. Bijak dan cerdik. Lihatlah pada kepalanya yang luas, menandakan banyaknya beliau berfikir.

Ramai yang tersalah anggap pada Najib. Kita sepatutnya meraikan hari Jumaat ini, 2 april sebagai sejarah baru negara kerana bakal Perdana Menteri ditabalkan pada tarikh itu. Mari kita meriahkan, lupakan segalanya, walaupun PRK sedang berlangsung. Ini majlis lebih besar, menantikan sang jagoan penyelamat bangsa!

Najib tidak akan bertindak zalim. Beliau kenal bangsanya sendiri. Ini bukan Mongolia, ini Malaysia, tempah tumpah tanah airnya sendiri. Masakan beliau tegar membunuh anak-anak gadis Malaysia dan meletupkannya. beliau tidak lakukan itu.

Ya, Najib bukan zalim tetapi kejam. Beliau bukan kuku besi tetapi bertaring besi. Beliau juga bukan diktator tetapi seorang drakula. Beliau bukan bernafsu besar, tetapi pemangsa yang membaham apa sahaja.

Mimpi indah beliau adalah igauan buruk kita. Beliau memang cerdik, dalam bab memusnahkan apa saja ruang pada pembangkang. Demokrasi selepas ini tinggal dalam kitab sejarah saja. Menjadi rujukan di arkib negara.

Di mana dia pejuang keadilan dan Islam? Sunyi sepi tanpa suara. Najib terbuka pada kritikan. Tetapi oh ya, kesemua pemimpin pembangkang telah memenuhi Kem Kamunting atau Penjara Sungai Buloh. Sebab itu tiada suara yang berani mengkritik. Najib bebas dan terbuka. Boleh menulis pada mana-mana media pembangkang untuk menghentamnya. Tetapi saat ini beberapa bulan mendatang akhbar alternatif pembangkang seperti Harakah dan Keadilan sudah tiada di pasaran. Diharamkan. Tetapi Najib tidak kisah, kritiklah, kutuklah.

Media Internet bebas menulis apa sahaja. Para bloggers tidak ditegah. Cuma mungkin beberapa ratus bloggers akan disumbat sama di Sungai Buloh atau Kamunting. Raja Petra bakal menjadi penghuni pertama dan akan lama di sana. 10 tahun barangkali.

Najib sangat geliga dan bijak. Semua orang akan memujinya. Tindakannya berani, cakapnya berapi-api dan bersemangat. Langkah dan tindakan menangani krisis ekonominya sangat cekap. Tetapi yang memuja-muji di hadapannya adalah penyokong dan pengampunya. Tepuk setiap kali naik suara. Semua puji, hebat dan bertenaga. Limpahan pujian itu di dalam Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Semua pakar ekonomi memujinya. Langkah drastik dan penuh perubahan. Tetapi semua professor itu adalah profesor kangkung. Jawapan semuanya standard, sebabnya nak jaga periuk nasi atau 'rice cooker' masing-masing.

Beliau tidak gamak membunuh warga Mongolia. Siapa kata beliau membunuh. Bukan Najib yang membunuh, pengawal keselamatannya yang bunuh. Beliau bersih. Orang tersalah sangka. Bukan Najib orangnya, tetapi Razak Baginda. Kebetulan saja nama ayahnya sama dengan Razak Baginda. Sebab itu Razak terlepas hukuman, sebab tersalah orang. Hakim pun tersilap.

Kita patut meraikan Najib sebagai PM. Beliau janjikan perubahan total dan drastik. Dengan perubahan ini pasti ramai akan menyokongnya, iaitu dengan menutup mulut dan mata rakyat. Dan yang paling lonjak gembira menyokong tindakan dan perubahan berani beliau tentulah mentornya sendiri yang lama bergelar mantan Perdana Menteri, juga gerombolan UMNO. Ternyata tindakan ini suatu ketika dulu mampu menggagahkan UMNO ke persada negara, dan rakyat akan hidup menggeletar ketakutan.