Saturday, April 11, 2009

APA YANG BARU PADA KABINET NAJIB?

Kabinet baru Najib yang diumumkannya tidaklah memeranjatkan banyak pihak. Seperti diduga, Kabinet baru yang disifatkan sebagai kabinet rakyat sebenarnya barisan yang telah ditolak oleh rakyat. Dan yang paling parah sebenarnya kabinet ini membenarkan desas-desus bahawa Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam mencaturkan kabinet baru Malaysia.

Pertama : Dapat dilihat apabila muka-muka lama yang telah ditolak oleh rakyat dikekalkan atau diangkat kembali. Nama seperti Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Awang Adek Hussin telah ditolak oleh rakyat dalam PRU ke 12 tahun lepas. Kini dikitar semula dan diangkat untuk menyertai kabinet Najib. Jelaslah mesej yang hendak disampaikan ialah kabinet ini bukan 'kabinet rakyat' tetapi kabinet Mahathir-Najib.

Kedua: Khairy seolah-olah menjadi badi dan tukun bagi Najib apabila namanya tidak disenaraikan menganggotai Kabinet baru. Sedangkan Naib Ketua Pemuda, Dato' Razali Ibrahim diangkat menjadi Timbalan Menteri. begitu juga dengan Ketua wanita dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rasyid Syirin yang masing-masing mempunyai habuan Menteri dan Timbalan apabila mereka menang dalam Pemilihan agung UMNO baru-baru ini.

Ketiga: Tidak semena-mena muncul tokoh yang ditolak oleh Pemuda UMNO sendiri, Dato' Mukhriz Mahathir. Apa jasa beliau selain anak bekas Perdana Menteri yang sekarang semakin kukuh mencengkam bahu Najib. Mukhriz diangkat sebagai Timbalan Menteri di bawah Dato' Mustapha Muhammad di kementeria MITI.

Agak hairan juga apabila Najib mengekalkan Nazri Aziz di Kementerian Jabatan Perdana Menteri sedangkan Nazri tidak bertanding pun dalam Pemilihan UMNO. Patutnya kalau pemilihanlah menjadi ukuran Kabinet Menteri, Nazri wajar digugurkan dan digantikan dengan MT UMNO yang lain.

Mungkin ada sedikit kejutan pada beberapa nama baru. Mukhriz, Razali dan Rosnah antara muka baru yang dilantik menganggotai kabinet kali ini.

Yang lain termasuklah ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi (timbalan menteri pelajaran); ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan (timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri), pengarah Kagat Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (menteri di JPM) dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (menteri wilayah persekutuan).

Nama Dato' Jamil Khir Baharom mungkin agak janggal didengari dalam kabinet kerana beliau tidak pernah dilihat aktif di dalam UMNO. Begitu juga Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang muncul kembali setelah lama hilang.

Kelima : Tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (menteri di JPM bagi undang-undang dan Parlimen), Datuk Ong Tee Keat (pengangkutan), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (pengajian tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (sains, teknologi dan inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (sumber asli dan alam sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (sumber manusia).

Kabinet ini dikekalkan sejak zaman pak Lah lagi. Mungkin Najib kali ini tidak punyai pilihan lain selain mengekalkan pemimpin-pemimpin parti komponen BN. Kalau tidak mungkin akan berlaku undi protes sekali lagi dalam PRU ke 13 akan datang.

Mungkin keberanian Najib kali ini wajar dipuji. beliau mengambil langkah kehadapan dengan mengetepikan segala sentiman dan menjaga perasaan pimpinan bawahannya dengan membuang nama-nama besar yang kalah dalam Pemilihan UMNO dan MCA baru-baru ini. Mereka ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar (menteri dalam negeri), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (menteri pembangunan luar bandar), Datuk Mohd Zin Mohamed (menteri kerja raya), Datuk Azalina Othman Said (menteri pelancongan) dan Datuk Ong Ka Chuan (menteri perumahan dan kerajaan tempatan).

Keenam: agak janggal apabila Kementerian Pelajaran diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Menteri Pelajaran sudah menjadi tradisi akan dipenuhi oleh pemimpin pelapis dan junior dalam kabinet. Mungkin agaknya Najib masih belum menaruh kepercayaan begitu tinggi kepada Muhyiddin. Hishamuddin pula diberikan Kementerian Dalam Negeri. Kementerian ini sememangnya sangat mencabar dan biasanya, Timbalan Perdana Menteri lah yang akan memikul beban tanggungjawab mencabar seperti ini. Saya boleh membariskan beberapa Kementerian yang sangat berkuasa dan penting, dianggap kanan seperti Kewangan, Pertahanan, Luar Negara dan Dalam Negeri yang layak disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, bukan Menteri Pelajaran seperti sekarang.

Kabinet Najib yang baru ini seakan tiada apa-apa pembaharuan. Selain nama-nama yang sudah dipinggirkan digilap kembali, nama-nama yang diragui rakyat dikekalkan, dan nama-nama baru yang bukan dijadualkan naik diangkat. Seakan serba tidak kena dengan kabinet Najib. Najib mungkin tidak membaca riak-riak keresahan ahli-ahli UMNO di bawah, dan tidak nampak bayang kemarahan rakyat yang berjaya menghukum BN selama ini. Dengan kabinet baru ini, seakan Najib gah di persada negara, hakikatnya rakyat sedang menyimpan amarah kebencian. UMNO pula mengumpul sisa-sisa kekuatan untuk memuntahkan dalam masa terdekat. Tunggulah!

No comments: