PAS dan Pakatan Rakyat kala ini sedang meraikan kegembiraan. Kegembiraan yang besar setelah menawan dua buah bukit. PRK kedua-dua kawasan, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat mampu untuk bertanding di mana-mana kawasan. Tidak ada lagi kawasan selamat buat UMNO-BN selepas ini, dan tidak ada kawasan yang hitam bagi PAS dan Pakatan Rakyat juga selepas ini.
Rakyat ternyata belum mampu melupakan dendam mereka kepada UMNO-BN dalam PRU ke 12 Mac tahun lepas. Kali ini, kedua-dua bukit menjadi mangsa amarah rakyat dihamburkan. Dan ternyata bukan faktor Pak Lah sebagai liabiliti kepada rakyat dan UMNO, tetapi memang rakyat menolak UMNO secara total.
Ramai berandaian faktor Permatang Pauh tidak boleh dijadikan sebab kemenangan Pakatan Rakyat mungkin kerana Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar. Kuala Terengganu adalah kubu kuat PAS dan UMNO, jadi ia bukan faktor penentu. Manakala Bukit Selambau di Kedah boleh dikatakan salah sebuah negeri kubu kuat PAS, bagaimana pula dengan Bukit Gantang? Sebelumnya PAS tidak pernah memenangi kerusi di sana. Ia adalah medan tradisi UMNO-BN. Hanya pada tahun 2008 rakyat mula berubah angin mengundi PAS. Itupun jurang undi yang tidak seberapa.
Tetapi PRK kali ini seakan-akan rakyat mengajar UMNO-BN semahunya. Undi majoriti semakin meningkat dari 1500 kepada 2700. Begitu juga dengan Bukit selambau. Rakyat juga seakan tidak peduli siapakah calon Pakatan Rakyat, asal sahaja lawannya UMNO-BN.
Mungkin faktor Nizar menjadi penentu di Bukit Gantang. Nizar menjadi suatu fenomena baru rakyat Perak. Nizar dijulang umpama wira yang baru menyelamatkan negara. tetapi faktor calon di Bukit selambau sukar diramal. Rata-rata pengundi tidak kenal pun calon Pakatan di Bukit selambau. Tambahan lagi dengan 13 orang calon bebas berentap menentu nasib. Akhirnya, calon PKR juga menang. Bukankah ia signal jelas, rakyat sudah mabuk benci BN dan sanggup mengundi sesiapa sahaja selain UMNO-BN.
Analisa awal juga membuktikan bahawa faktor Pak Lah bukan penyebab utama kekalahan UMNO-BN. Dalam 2 pilihanraya terdahulu, Najib mengetuai jentera BN. Kali ini, Najib sebagai Perdana Menteri. Keputusan terkini UMNO-BN masih kalah di kedua-dua tempat, sama seperti Najib mengemudi jentera BN. Apakah maksud tersirat yang boleh dibaca kalau bukan kerana rakyat sudah menolak UMNO-BN, walau siapapun pemimpin yang naik.
Memang sebenarnya rakyat bencikan keegoan dan kesombongan pemimpin UMNO-BN. Rakyat sudah muak dengan telatah pemimpin UMNO yang rakus berebut kuasa menjelang Perhimpunan agung baru-baru ini sehingga sanggup bermain duit secara terang-terangan. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan slogan retorik 'pembela rakyat' yang lahir dari ungkapan pemimpin UMNO-BN, sedangkan hakikatnya merekalah yang meruntuhkan rakyat. Rakyat bosan dengan gaya hidup pemimpin negara yang bermewah dan bersenang lenang di luar negara,s edangkan rakyat hidup terhimpit. Rakyat meluat melihat gaya hidup pemimpin negara yang bertukar kenderaan dan rumah selalu, sedangkan rakyat hidup merempat di rumah setinggan.
Rakyat menolak BN kerana kegagalan pemimpinnya memahami kehendak dan jeritan rakyat. Saat rakyat berpuluh kali merayu agar dimansuhkan ISA, bebaskan tahanan di dalamnya, mereka brsikap pekak badak. Bahkan rakyat diperbodohkan.
Ketika mana rakyat meminta dihapuskan PPSMI, pemimpin negara menyalahkan kembali rakyat. Dituduh rakyat tidak mahu bersyukur, anti establishment, bersikap 'mundur' ke belakang dan macam-macam lagi. Rakyat berhimpun di jalan raya dianggap pemberontak dan pembelot.
Waktu rakyat menangis kerana harga petrol dan diesel dinaikkan, pemimpin negara buat tidak tahu saja. Dianggap suara rakyat, suara nyamuk yang mengganggu kehidupan seharian. Rakyat dikepong dan disumbat ke penjara. Ini telatah mereka selama ini. Masihkah mereka ingat?
Tatkala rakyat memohon simpati agar tol tidak dinaikkan, dan kalau boleh dimansuhkan, pemimpin UMNO tidak pernah melayan. Bagi mereka, kenaikan tol tidak menjejaskan rakyat kerana kehidupan mereka selama ini tidak pernah terjejas. Mereka tidak pernah membayar tol dan merasakan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini.
Waktu rakyat menangis melihat perobohan rumah setinggan mereka, apakah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO? Hanya tergelak dan tersengih kerana projek bakal masuk berjuta-juta. Hal rakyat, biar mereka sendiri tanggung. Sudah nasib mereka begitu. Buat apa dipedulikan. Masihkah pemimpin UMNO ingat satu-persatu tindakan mereka sebegini suatu ketika dahulu?
Lantas, apabila rakyat menolak UMNO-BN, mengapa mereka pula terhenyak mahu mencari undi simpati? Bukankah selama ini peluang yang lama memerintah diberikan, dan rakyat pula selama ini menjadi mangsa. Adakah pemimpin UMNO insaf dengan kesombongan mereka terhadap rakyat.
Sekarang rasakanlah. rakyat sudah menolak kamu. Datanglah sesiapa sahaja yang hebat dari kalangan mereka, tidak akan memberi kesan kepada perubahan yang diimpikan rakyat. Kerana hati rakyat sudah tertutup buat BN. Sekali air bah, sekali pantai berubah.
No comments:
Post a Comment