Disebalik perlantikan Najib sebagai PM baru Jumaat ini, sebenarnya adalah rahmat buat pembangkang. Walaupun kenyataan di atas agak pelik dan mungkin mengundang kemarahan rakyat, hakikat sebenarnya perlu kita lihat dalam aspek yang lebih jauh.
Ramai menggambarkan Najib bakal menjadi igauan buruk dan mimpi ngeri dalam sebuah demokrasi di Malaysia. Najib tidak seperti Pak Lah. Zaman Pak Lah memerintah lain. Segalanya longgar dan mudah. Mungkin kerana karakter Pak Lah yang lembut dan lembik menjadi belasahan pembangkang.
Siapa kata Najib kuku besi? Najib tidak berkuku besi. Jauh sekali beliau seorang diktator. Tidak pula bernafsu besar. Najib tidak sama macam Mahathir. Najib adalah Najib, bakal Perdana Menteri Malaysia yang jauh bezanya dengan mana-mana Perdana Menteri lainnya, walaupun ayahnya sendiri.
Beliau punya karakter unik tersendiri. Ada pendirian yang jelas. Bijak dan cerdik. Lihatlah pada kepalanya yang luas, menandakan banyaknya beliau berfikir.
Ramai yang tersalah anggap pada Najib. Kita sepatutnya meraikan hari Jumaat ini, 2 april sebagai sejarah baru negara kerana bakal Perdana Menteri ditabalkan pada tarikh itu. Mari kita meriahkan, lupakan segalanya, walaupun PRK sedang berlangsung. Ini majlis lebih besar, menantikan sang jagoan penyelamat bangsa!
Najib tidak akan bertindak zalim. Beliau kenal bangsanya sendiri. Ini bukan Mongolia, ini Malaysia, tempah tumpah tanah airnya sendiri. Masakan beliau tegar membunuh anak-anak gadis Malaysia dan meletupkannya. beliau tidak lakukan itu.
Ya, Najib bukan zalim tetapi kejam. Beliau bukan kuku besi tetapi bertaring besi. Beliau juga bukan diktator tetapi seorang drakula. Beliau bukan bernafsu besar, tetapi pemangsa yang membaham apa sahaja.
Mimpi indah beliau adalah igauan buruk kita. Beliau memang cerdik, dalam bab memusnahkan apa saja ruang pada pembangkang. Demokrasi selepas ini tinggal dalam kitab sejarah saja. Menjadi rujukan di arkib negara.
Di mana dia pejuang keadilan dan Islam? Sunyi sepi tanpa suara. Najib terbuka pada kritikan. Tetapi oh ya, kesemua pemimpin pembangkang telah memenuhi Kem Kamunting atau Penjara Sungai Buloh. Sebab itu tiada suara yang berani mengkritik. Najib bebas dan terbuka. Boleh menulis pada mana-mana media pembangkang untuk menghentamnya. Tetapi saat ini beberapa bulan mendatang akhbar alternatif pembangkang seperti Harakah dan Keadilan sudah tiada di pasaran. Diharamkan. Tetapi Najib tidak kisah, kritiklah, kutuklah.
Media Internet bebas menulis apa sahaja. Para bloggers tidak ditegah. Cuma mungkin beberapa ratus bloggers akan disumbat sama di Sungai Buloh atau Kamunting. Raja Petra bakal menjadi penghuni pertama dan akan lama di sana. 10 tahun barangkali.
Najib sangat geliga dan bijak. Semua orang akan memujinya. Tindakannya berani, cakapnya berapi-api dan bersemangat. Langkah dan tindakan menangani krisis ekonominya sangat cekap. Tetapi yang memuja-muji di hadapannya adalah penyokong dan pengampunya. Tepuk setiap kali naik suara. Semua puji, hebat dan bertenaga. Limpahan pujian itu di dalam Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Semua pakar ekonomi memujinya. Langkah drastik dan penuh perubahan. Tetapi semua professor itu adalah profesor kangkung. Jawapan semuanya standard, sebabnya nak jaga periuk nasi atau 'rice cooker' masing-masing.
Beliau tidak gamak membunuh warga Mongolia. Siapa kata beliau membunuh. Bukan Najib yang membunuh, pengawal keselamatannya yang bunuh. Beliau bersih. Orang tersalah sangka. Bukan Najib orangnya, tetapi Razak Baginda. Kebetulan saja nama ayahnya sama dengan Razak Baginda. Sebab itu Razak terlepas hukuman, sebab tersalah orang. Hakim pun tersilap.
Kita patut meraikan Najib sebagai PM. Beliau janjikan perubahan total dan drastik. Dengan perubahan ini pasti ramai akan menyokongnya, iaitu dengan menutup mulut dan mata rakyat. Dan yang paling lonjak gembira menyokong tindakan dan perubahan berani beliau tentulah mentornya sendiri yang lama bergelar mantan Perdana Menteri, juga gerombolan UMNO. Ternyata tindakan ini suatu ketika dulu mampu menggagahkan UMNO ke persada negara, dan rakyat akan hidup menggeletar ketakutan.
No comments:
Post a Comment