Monday, March 30, 2009

APAKAH RAKYAT PERAK MENDERHAKA

Ribuan rakyat turun ke Bukit Gantang menyokong calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Dijangkakan menurut pengamatan, tidak kurang 50 ribu orang hadir ke Majlis perarakan dan penamaan calon tadi. Di pihak BN pula, ada yang mengulas sekitar 1000 sahaja hadir mengiringi calon mereka, itupun ramainya dari kalangan budak-budak muda yang masih mentah.

Ramai mengulas kalau ini dijadikan ukuran, maka pusingan pertama lagi Pakatan Rakyat telah memenangi pertarungan ini. Entah dari mana datangnya, melaut dan membukit rakyat berpusu-pusu mengiringi calon PAS bagi Pakatan Rakyat, Nizar Jamaluddin. Tidak diupah dan tanpa ada imbuhan apa-apa, ramai yang hadir dari negeri Perak bahkan dari luar Perak membanjiri hari bersejarah ini. Separuh darinya akan berkampung selama sembilan hari di pelusuk kawasan Bukit Gantang, juga tanpa apa-apa imbuhan dan upah. Mereka hadir sebagai sukarelawan.

Ini yang payah hendak ditiru oleh UMNO. Petugas UMNO didatangkan dengan bas dan upah. Mungkin juga ugutan. Manakala petugas mereka menunggu imbuhan untuk bekerja sepanjang sembilan hari. Kalau tidak sampai peruntukan kepada mereka, maka pakat-pakat tutuplah bilik gerakan.

Itu cerita lain. Yang menjadi fokus saya ialah berkenaan Nizar Jamaluddin. UMNO-BN telah 'cop' nya sebagai penderhaka. Habis dijaja cerita bahawa Nizar dan PAS telah derhaka kepada Sultan. Puncanya kerana ada istilah 'sembah derhaka' tidak mahu meletakkan jawatan sebagai MB. Tiba-tiba kemudian sultan pula melantik Zambry Kadir sebagai MB baru tanpa ada perletakan jawatan MB oleh Nizar. Maka selepas itu imej Nizar diburukkan sebagai penderhaka raja.

Peristiwa demonstrasi di Kuala Kangsar menambahkan lagi kegawatan politik Perak. Beberapa minggu disiarkan dalam Berita Utama para demontstran yang berbaring di jalan raya, yang membaling batu ke kereta Raja Muda, dan yang menghalang kereta rombongan Sultan Perak. PAS dianggap petualang dan penderhaka yang layak dihukum bunuh lagaknya.

Kemudian dilagakan PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Nizar sebagai alat suruhan DAP semata-mata. sanggup bermusuh dengan istana semata-mata mahu memuaskan kehendak DAP. Imej hitam ini cuba disembur pada PAS - sebagai khianati Melayu, menderhaka raja, mengikut telunjuk Cina dan DAP, serta menjual prinsip perjuangan.

Hingga kini, modal utama BN ialah PAS sebagai penderhaka dan ikut telunjuk DAP. PAS dikatakan sanggup mencalonkan Nizar semata-mata mahu mengikut kemahuan DAP. Benarkah begitu? Apakah PAS bodoh sangat mahu ikut telunjuk DAP sahaja tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Saya difahamkan PAS telah membuat tinjauan kepada petugas pengundi. Hasilnya, memang Nizar mendapat pencalonan tertinggi dan diterima oleh rakyat!

Soalnya lagi, dalam ramai-ramai rakyat, pengundi, dan petugas PAS di Bukit Gantang, adakah mereka dianggap menderhaka? Kerana sanggup mereka turun beramai-ramai menyokong Nizar sebagai calon (Nizar dianggap penderhaka Sultan), bolehkah kita menyatakan rakyat Perak atau seluruh negara yang hadir sebagai penderhaka?

Kehadiran penyokong BN tidak sampai separuh dari keseluruhan penyokong PAS di penamaan calon. Adakah jumlah kecil ini dianggap setia kepada sultan? Merekakah yang sangat memperjuangkan Melayu, cakna rakyat, serta memperjuangkan istitusi istana? Kenapa kehadiran sangat sedikit. Majoriti rakyat bersuara secara senyap membelah di pihak mereka atau di pihak Pakatan Rakyat?

Di sebelah PAS, kehadiran tidak kira bangsa dan kaum. Sangat mengharukan PAS boleh diterima pada hari ini oleh semua lapisan kaum. Sedangkan PAS terang-terangan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. Pelbagai kaum ini- Cina dan India tidak silu dan kekok menyokong perjuangan PAS untuk menegakkan Islam.

Ini membuktikan secara tersiratnya, rakyat sebenarnya menganggap Nizar bukanlah penderhaka. Mereka menyebelahi Nizar kerana bersimpati dengan ketidakadilan yang berlaku ke atas kerajaan negeri beliau. Mereka bukan menentang raja, cuma mahu menyatakan bahawa BN-UMNO yang mempergunakan istitusi istana untuk kepentingan diri mereka. Mereka mahu menghukumi UMNO-BN yang angkuh dan merampas kerajaan negeri secara tidak sah. Mereka juga menyokong Nizar, PAS dan Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat, Nizar dan PAS sangat dekat dengan rakyat. Pakatan Rakyat hidup dengan rakyat, bersuara bagi pihak rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat. Rakyat yang hadir tidak meminta upah. Mereka hadir dengan sukarela untuk menyokong dan membantu.

Ini mesej tersiratnya dalam proses penamaan calon hari ini. Sepanjang 9 hari kempen nanti lihatlah secara realiti apakah kehendak rakyat sebenarnya. Pondok panas mana yang paling banyak dikunjungi, Bilik gerakan manakah yang paling panas, dan petugas serat penyokong manakah yang paling ramai. Mungkin bukan ukuran yang paling tepat untuk diberikan, kerana ukurannya adalah pengundi. Sekurang-kurangnya, kalau UMNO mahu melihat 'mood' rakyat lihatlah pada gerak kerja kempen kedua-dua parti utama yang bertanding.

Kita tidak tahu apakah strategi lain yang dimainkan oleh UMNO-BN. Adakah sama dengan Ijok melalui magik undi, pengundi hantu atau lain-lain. Sekiranya ini dijalankan ternyata benar UMNO sebuah parti yang tidak berubah dan akan berubah. Meskipun nakhodanya bersilih ganti, dasar rakus dan pekak padak pada kehendak rakyat tidak mahu dipenuhi. Samalah ia seperti 50 tahun kewujudannya, dan dengan mana-mana pemimpinnya sekalipun.

Tetapi kalau benar UMNO mahu berubah, lihatlah pada mood rakyat. Kemablikan hak rakyat, terutamanya di negeri Perak, dan turun padanglah sebagai menyelami kehidupan rakyat. Berubahlah, kalau nak berjaya!

No comments: