Monday, March 9, 2009

NAZRI AZIZ BERLAKU JUJUR DALAM MENJUSTIFIKASI UMNO.

Dalam The Star, 8 Mac 2009 hari ini, Dato' Seri Nazri Aziz berucap secara jujur dan berterus terang bahawa beliau sudah hilang minat bertanding dalam Pemilihan UMNO. Pandangannya bahawa politik wang UMNO sudah terlalu parah hingga berakar umbi ke setiap ahli dan perwakilan. Beliau berterus terang menyatakan politik wang (rasuah) sudah terlalu berleluasa sehingga ahli UMNO hilang keyakinan kepada Badan Disiplin UMNO dan membawa semua kes rasuah UMNO ke SPRM. Namun jelasnya, sehingga kini SPRM masih gagal berfungsi sebagai badan yang diberikan kuasa untuk menebas segala aktiviti rasuah hingga ke akar umbi.

Saya agak kagum melihat pendirian tegas beliau yang tidak mahu bertanding kerana takut dianggap mempunyai kepentingan kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab membawa SPRM ke Parlimen untuk diluluskan. Menurutnya, beliau mempunyai integriti yang perlu dijaga memandangkan akan timbul syak dan prasangka peranan SPRM terhadap tuduhan terhadapnya jika ada.

Dalam ulasan seterusnya, Nazri turut membidas ahli-ahli UMNO dengan menyatakan mereka masuk UMNO kerana kepentingan diri dan peribadi. Ini kerana ramainya perwakilan yang memilih pemimpin bukan kerana kelayakan tetapi atas jumlah sogokan yang diterima.

Begitulah hasil temubual dengan Nazri Aziz di The Star hari ini. Menteri de' Facto Undang-Undang ini wajar dipuji atas keberanian dan kekuatan beliau melawan arus. Sejak dulu Nazri memang terkenal kerana keupayaan dan keberanian beliau berhadapan dengan pihak pembangkang. Dulu ketika tahun 2002 beliau pernah berdebat dengan Salahuddin Ayub berhubung isu Sekolah Agama Rakyat (SAR). Habis riuh ruang di Dewan Bahasa dan Pustaka dikuasai penyokong PAS. Salahuddin Ayub pula berkaedaan bola tanggung dalam isu tersebut. Namun beliau berlaku jujur dan sanggup berhadapan dengan khalayak rakyat membencinya.

Tidak ramai dalam UMNO yang berani dan setegas seperti Nazri. Selain beliau, beberapa nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Seri Dr Rais Yatim dan Dato' Shahrir Samad dianggap tokoh yang berani melawan arus. Mereka sanggup menyatakan tidak kepada sesuatu dasar atas dasar realiti dan kebenaran. Ambil contoh bagaimana ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah menempelak tindakan UMNO merampas kerajaan Negeri Perak. Rais Yatim dalam ucapan beliau baru-baru ini dengan sinis menyatakan kuasa Yang Di Pertuan Agung dalam melantik Perdana Menteri. Dengan maksud bukan semestinya Najib boleh ditabal sebegitu mudah andai tiada perkenan dari Yang Di Pertuan Agong.

Ada juga anak muda dalam UMNO yang berani. Contoh seperti Khairy Jamaluddin. Namun ramai melihat anak muda ini sekadar suka mencari publisiti yang kadang-kadangnya mengundang rasa meluat dengan tingkah lakunya yang 'over' terhadap sesuatu isu. Khairy berani 'turun' ke gelanggang PAS di Kelantan berdebat dengan Dato' Husam Musa beberapa bulan lepas. Angkaranya juga isu hudud diangkat kembali menjadi isu panas negara.

Apapun bicara Nazri wajar diambil perhatian. Beliau turut menghentam ahli dan pemimpin UMNO yang masih dalam sindrom 'penafian'. Menafikan hak rakyat dan kehendak rakyat yang telah menghukum mereka dalam PRu ke 12. UMNO masih tidak sedar bahawa rakyat sudah mula celik dan panjang akal dalam menentukan corak kepimpinan negara. Rakyat telah melihat banyak korupsi dan rakyat umumnya tidak boleh menerima pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan hidup yang melimpah kekayaan.

UMNO menganggap mereka masih superpower di Malaysia dan kuasa kemenangan akan kembali kepada mereka dalam sekelip mata. Inilah perangai UMNO sejak lama kerana dikuasai oleh kemudahan dan kesenangan. Selama 50 tahun berkuasa segala kemudahan akan datang dihujung jari. Mana ada tenaga ikhlas jentera UMNO yang turun berkempen di sesuatu Pilihanraya kecil tanpa mengharap habuan. Habis pula dikerah segenap Jabatan Kerajaan bagi menjayakan kempen Pilihanraya mereka. Kemudian diperkuadakan polis dan tentera untuk kepentingan kuasa mereka. Silap ada sedikit demonstrasi semua tenaga polis dan FRU digunakan buat mematah Himpunan pembangkang. Kalau ada pula sesuatu himpunan di pihak mereka, habis segala harta dan khazanah negara dipunggah bagi membiayai duit poket peserta mereka yang hadir. Ini kerja UMNO. Arahan di hujung jari. Keselesaan menjadi zon hidup mereka. UMNO tidak pernah diuji dengan kepayahan.

Saya kira hampir semua tahu bahawa UMNO dan rasuah adalah kembar siam seiras. Nazri Aziz belaku jujur dan senada dengan semua rakyat Malaysia yang melihat politik negara. UMNO tidak boleh hidup tanpa rasuah (politik wang bahasa mereka). Lihatlah pemimpin-pemimpin mereka yang naik di mana-mana peringkat, adakah yang menang tanpa 'korban' rasuah dibelakang mereka. Naib Presiden UMNO (Tan Sri Isa Samad) pernah digantung kerana rasuah. Kini beliau kembali ke lapangan politik dan bertanding di jawatan yang sama. Ramai lagi yang mengadu dan melaporkan kepada SPRM. Sebahagiannya diambil tindakan (tindakan politik semata), manakala lebih banyak lagi dipengap di bawah karpet. Lebih tinggi jawatan seseorang dalam UMNO, lebih banyak aduan dilaporkan. Beranikah SPRM mendakwa Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekiranya ada dakwaan rasuah pada mereka? Sudah tentu jawapannya semua sudah tahu.

Nazri Aziz dan orang sepertinya wajar diberikan tempat yang tinggi dalam UMNO. Hanya orang-orang sepertinya saja sebenarnya layak memimpin UMNO sekiranya UMNO bertekad melakukan reformasi. Sokongan rakyat tidak akan berubah dan terus membenci UMNO andai mereka masih di bawah paradigma biasa. Sia-sia saja mengadakan bengkel, simposium, kertas kerja, kursus dan pelbagai lagi bagi mewajah barukan UMNo. Yang hanya rakyat mahukan ialah perubahan total. Jauhkan rasuah dari pemimpin, dakwa pemimpin yang korup, jangan pilih bulu, jangan hidup bermewah, bersikap adil dan saksama, jangan mengongkong jabatan kerajaan, dan jangan nafikan tuntutan rakyat. Kalau ini dipenuhi, keputusan PRU ke 13 mungkin akan berubah arah!





No comments: