Sebenarnya isu di Perak telah menemui jalan buntu. Kekusutan yang dicipta UMNO semakin lama semakin berpintal tak tentu arah. Jalan yang diredah menemui jalan mati. Check mate, bahasa pemain Chess.
Puncanya mudah saja, kerana UMNO tidak menggunakan saluran undang-undang. Kalaulah sedari awal UMNO-BN menggunakan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, barangkali Pakatan Rakyat di Perak sudah tidak ada isu untuk diperjuangkan. Kerajaan BN-UMNO boleh memerintah secara aman.
Itulah yang dinamakan kegelojohan. Biasanya penjenayah yang terdesak akan lakukan kerja gelojoh seperti ini. Merompak dengan tidak berfikir risikonya. Akhirnya ditembak mati.
Penjenayah bernama UMNO macam itulah kerja mereka. Mula-mula menculik, kemudian dakwa sudah mencukupi bilangan dan seterusnya tubuh kerajaan. Tidak ada ribut dan angin, Menteri Besar sedia ada dicabut kuasanya dengan sewenang-wenangnya. Jumpa sultan untuk tubuh kerajaan. Kemudian kunci pintu pejabat, bangunan SUK, rumah dan kenderaan rasmi. Macam orang bernikah secara haram atau bernikah terlanjur (dah terlanjur mengandung baru menikah) terpaksa adakan majlis secara tertutup, sembunyi-sembunyi dan tergesa-gesa.
Hari ini hampir semua orang tahu bagaimana keadah pelucutan kuasa Menteri Besar yang patutnya berlaku. Daripada orang kampung yang tidak bersekolah sehinggalah kepada Professor dalam bidang perundangan tahu bagaimana letak duduknya kuasa Menteri Besar. Nak jatuhkan Menteri Besar bukan payah kalau kena caranya. Macam kisah seorang pendekar yang kebal. Tidak lut oleh senjata apapun, dan sukar hendak menewaskannya. Tetapi kalau seseornag tahu bagaimana hendak menewaskannya bukan payah sangat caranya. Ambil contoh cerita Laksamana Fa Sola Dalam Kisah Laksamana Do Re Mi yang hanya boleh dibunuh dengan mencucuk buluh pada tapak kakinya.
Menteri Besar perlu dijatuhkan melalui kuasa undi tidak percaya dalam Sidang DUN. Mudah sahaja bagi ADUN-ADUN BN yang mengaku mempunyai majoriti. Buat usul, angkat tangan dan berlakulah pertukaran kuasa paling aman. Nak suruh Menteri Besar sendiri letak jawatan memanglah payah. Mana ada senang-senang mandat yang diberikan rakyat terhadap Menteri Besar boleh digugat sebegitu mudah.
Tetapi malang bagi UMNO-BN yang gagal membaca Perlembagaan dengan elok. Kerja gopoh gapah begini akhirnya mengundang padah. Tanyalah mana-mana pakar perundangan, apakah kuasa speaker dan setakat mana kuasanya. Pakatan Rakyat di Perak sebolehnya menggunakan aspek undang-undang sebagai jalan penyelesaian. Kalau kata sidang DUN sebagai mandat meluluskan apa sahaja usul maka sidang telah dilaksanakan, walaupun dalam keadaan yang sangat melucukan.
Pastinya sejarah Sidang DUN di bawah pokok akan dikenang oleh generasi akan datang. Betapa zalim dan tidak demoktariknya UMNO dengan melarang Speaker dari memanggil Sidang DUN dan melarang pula ADUN memasuki Dewan Persidangan. UMNO macam keanakan apabila menggunakan kuasa Polis untuk menghalang majlis persidangan berlangsung (walhal, apakah hak polis menghalang ADUN daripada memasuki bangunan Dewan Persidangan DUN yang telah pun dinotiskan oleh Speaker sendiri). Polis wajar bersikap malu dengan sikap 'kerbau cucuk hidung' mereka yang terpaksa patuh pada kuasa 'haram' demi menyelamatkan survival UMNO-BN.
Dalam keadaan begitu PR masih berharap ada sisa keadilan di kamar mahkamah. YAB Menteri Besar Dato' Seri Nizar menggunakan pula saluran mahkamah bagi menjustifikasikan beliau sebagai MB yang sah. Biarlah mahkamah yang menentukan (bergantung setakat mana adilnya hakim mengendalikan kes ini).
Hakikatnya, UMNO-BN telah menempah suatu jalan gelap. Kalau ikut aspek perundangan yang sah dan adil, telah lama UMNO-BN kalah. Mereka hanya berselindung di sebalik tembok Istana. Habis sehingga Tuanku Sultan dipergunakan UMNO. Ditutup mulut, tangan dan kaki bagi membenarkan tindakan mereka. Sedangkan undang-undang yang digubal sendiri oleh UMNO, telah menghadkan kuasa raja dan Sultan. Sultan sudah tidak mempunyai hak lagi untuk melantik dan memecat seseorang Menteri Besar, apatah lagi menghalang Speaker dari melaksanakan tugasnya memangil sidang DUN.
Dalam keadaan Menteri Besar yang telah digulingkan secara tidak demokratik, tiba-tiba muncul Speaker sebagai penyelamat. Mereka lupa sepatutnya orang yang paling dahulu diculik ialah Speaker. Walhal Speaker mempunyai kuasa yang sangat besar dan istimewa. Siapa yang mencipta undnag-undang kekebalan Speaker kalau bukan UMNO-BN. Hari ini mereka merasakan pedasnya kekebalan Speaker. Speaker bertindak atas lunas undang-undang, bukan dengan jalan haram. Kuasa menggantung Ahli Dewan adalah kuasa mutlak Speaker. Tanyalah Tan Sri Pandikar Amin Mulia apakah haknya dalam menggantung keahlian seseorang ahli dewan. Berapa kerapkah Ahli Parlimen pembangkang yang telah digantung. Begitu juga hak memanggil sidang dewan, juga di bawah kuasa Speaker. Speaker tidak boleh dilucutkan jawatannya sesuka hati. Ia mesti dipersembahkan melalui dewan juga. Inilah undnag-undang yang sedia ada. Ada peruntukan dalam Perlembagaan.
Jadi dengan cara apa YB Dato' Zambry akan melaksanakan tugasnya. Beliau bebas keluar masuk Pejabat Kerajaan dan Jabatannya, namun beliau diharamkan masuk dewan selama 18 bulan. Perintah Speaker adalah sah. Bagaimana untuk meluluskan sesuatu usul dapat terlaksana dalam keadaan demikian? Sementara YAB Nizar diharamkan masuk ke Pejabat SUK, tetapi bebas keluar masuk Dewan DUN. Bagaimana operasi pemerintahan dapat terlaksana dalam keadaan dua Menteri Besar yang gagal memasuki salah satu pusat pentadbirannya?
Akhirnya nanti, Perak akan tercorot dari sudut kadar pembangunan ekonomi. Tidak ada pelabur yang berani datang ke negeri yang tidak menentu politiknya. Perak juga mundur dari kadar kesuburan demokrasinya. Ia akan dikenang sebagai negeri yang banyak mencetuskan kontorversi, dan pelanggaran undang-undang yang nyata. Lepas ini, buatlah apa sahaja kesalahan kerana tafsiran undang-undang boleh dipelbagaikan. dan lagi, institusi berajanya akan dipandang sinis oleh rakyat dan masyarakat awam. Golongan feudal bukan lagi golongan yang dihormati dan dirahmati tetapi akan menjadi ikon kebencian rakyat.
Hanyanya Tuanku Sultan membubarkan DUN akan mengembalikan kegemilangan Perak. Pulangkan balik mandat kepada rakyat akan berlaku adillah kepada semua pihak. Tatkala itu, baru UMNO tahu tinggi rendah langit itu. Dan ketika itu, baru UMNO kenal erti perjuangan rakyat yang bencikan kezaliman dan pendindasan sesuka hati.
No comments:
Post a Comment