Sunday, March 29, 2009

LAYAKKAH UMNO MEMIMPIN RAKYAT?

Bila melihat proses pemilihan UMNO di PWTC sangat menghiburkan. Rasa macam berada di pasar lelongan yang akan menghabiskan stok dalam beberapa waktu terdekat. Begitu gayanya bila melihat ejen dan proksi seakan terdesak untuk memancing undi perwakilan saat akhir sebelum pengundian ditutup.

Bagi PAS, kita melihat senario itu tatkala menjelang masa pengundian di Pilihanraya. Saat yang kritis menjelang hari pengundian memang menjelmakan tekanan kepada petugas. Mereka berkejaran mencari pengundi meraih simpati. Tujuannya supaya menang dalam Pilihanraya. Biar sanggup berlapar, kehabisan wang dan tidak tidur malam, asalkan sahaja calon pilihanraya menang dalam pertarungan nanti.

Namun Pilihanraya jauh bezanya dengan Muktamar atau Perhimpunan Agung UMNO. Pilihanraya adalah pertarungan antara dua parti yang sangat jauh bezanya, zahir dan batin. PAS sebagai Parti Islam manakala UMNO sebagai parti nasionalis Melayu. ataupun Pakatan Rakyat sebagai gabungan parti yang bertunjangkan keadilan, dan kesejahteraan rakyat menentang BN yang berteraskan perkauman dan kepentingan sendiri.

PAS bersebut untuk menang supaya dapat kuasa atau kalau tidak kuasa mutlak pun sebagai wakil yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Bagi PAS, politik adalah medan dakwah manakala Pilihanraya adalah medan jihad. Jihad konteks akhir zaman seperti sekarang, pilihanraya sebagai salah satu jalannya di negara demokrasi dengan tujuan untuk kembalikan kedaulatan Islam. Calon PAS adalah dakwah kepada masyarakat. Siang malam bertandang ziarah ke rumah orang. Berceramah dan kuliah, memberi sumbangan fakir miskin, menjenguk rakyat dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan buat mendakwah umat. Menang calon sebagai Wakil Rakyat menjadi dakwah buat beliau ketika di sidang DUN atau Parlimen. Di Dewan itulah wakil rakyat PAS akan berhujah dan bertazkirah menerangkan Islam kepada wakil-wakil rakyat yang lain. Selama bertahun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen membacakan ayat Quran kepada wakil rakyat.

Sebab itu petugas PAS sanggup bergolok bergadai. Tidak mendapat upah apa-apa memanjat pokok kelapa pasang bendera dan poster. Ramai juga yang bersengkang mata tanpa apa-apa imbuhan dijanjikan. Bahkan petugas dan pimpinan PAS yang banyak berbelanja.

PAS sanggup berkempen pilihanraya untuk menang. Tidak apa menebalkan pipi bertemu rumah ke rumah berkempen untuk memenangkan calon. Kadang-kadang petugas sendiri tidak mengenali calon. Puncanya sebab PAS mengerti matlamat dan tujuannya, untuk Islam!

Dalam Muktamar PAS, belum ada seorang pimpinan di mana-mana peringkat pun berkempen mahu jadi calon atau pemimpin. Kalau ada berlaku pun itu hanyalah kes tertentu atau yang bersifat individu. Di Peringkat Pusat, negeri, kawasan dan cawangan, saya belum pernah bertemu pemimpin PAS yang sanggup menjual diri mencalonkan diri sendiri atau berkempen dengan menggunakan ejen untuk memenangi pemilihan Muktamar.

Mungkin sebabnya PAS tidak ada kuasa. Belum ada ujian kemenangan sebagai kerajaan yang sebabkan ahli dan pemimpin tidak 'kebulok' untuk jadi pemimpin. Masing-masing dengan sikap 'tawadduk' tidak beriya-iya berkempen mahukan jawatan. Di sesetengah tempat ada pimpinan masing-masing menolak jawatan yang ditawarkan. Sanggup melobi pula nak naikkan orang lain, asalkan jangan diri dicalonkan.

Berbeza dengan UMNO dalam Pemilihan Agungnya. Di mana-mana peringkat, apabila tahun itu berlaku pertandingan, maka berlumba-lumbalah mereka melobi dan berkempen. Pasang ejen dan memberi upah untuk turun ke bahagian dan cawangan. Semata-mata supaya diri secalonkan dan dimenangkan. Puncanya kerana satu, kuasa! Azimat 'kuasa' UMNO sanggup bercekau bergaduh. Biar putus sahabat, saudara asalkan menjadi pemenang.

Saya tidak nampak ada keikhlasan perjuangan dalam wadah UMNO. Agaknya kalaulah menang Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan mana-mana jawatan dalam bahagian tanpa dijanjikan apa-apa imbuhan di belakangnya, siapa dari kalangan UMNO yang mahu bertanding? Kalaulah menjadi Ketua Bahagian tidak ada apa-apa jawatan, atau kuasa macam Ketua Kampung, JKKK, atau Pengerusi mana-mana GLC, atau kuasa meluluskan projek di daerah Bahagiannya, siapalah yang sudi memegang jawatan Ketua Bahagian.

Di peringkat MT habuan lebih ganas. Dijanjikan Menteri Kabinet! Tidak pun Menteri Besar, atau mana-mana syarikat gergasi negara. Sebab itulah pemimpin UMNO boleh jadikan Persidangannya macam pasar lelongan. Mereka tidak hirau dan segan silu lagi ada kritikan dan sindiran di mana-mana. Tidak peduli ada mata yang melihat kemungkaran mereka. Kerana janjinya Menteri mereka sanggup untuk melobi diri menang dalam pemilihan. Walaupun sebenarnya ramai yang tidak layak pun menjadi pemimpin.

Apabila tersungkur, ramai dari kalangan mereka terus hilang membawa diri. Kerana sudah tahu selepas ini pasti tidak akan dipedulikan lagi. Tiada lagi jawatan Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, ADUN dan lain-lain lagi. Maka jadilah daun teratai yang hanyut di tengah tasik. Sampai masanya nanti mereka tenggalam, kalau tidak pun membuat 'come back'.

Dalam PAS, jawatan bukan syarat untuk bekerja. Ramai juga yang telah lepaskan jawatan semakin ligat bekerja. Bahkan keikhlasan mereka semakin tinggi dengan aktiviti yang rancak tanpa apa-apa jawatan. Rata-rata ahli dan pimpinan PAS hidup dalam semangat ukhwah yang cintakan persaudaraan lebih dari perpecahan. Inilah beza besar PAS dengan UMNO.

Tatkala UMNO berperang dan kalut dalam meilih pemimpin melalui lobi dan berkempen sebegitu, masih adakah lagi niat dan harat hati mereka bekerja ikhlas untuk rakyat? Masihkah ada tersimpan dalam sanubari bahawa amanah sebagai pemimpin negara (Menteri dan lain-lain) adalah sebagai ujian dari Allah dan wajib ditunaikan sebaik mungkin. Wajarkah mereka diberikan harapan buat memimpin umat dalam keadaan parti dan diri mereka bermain dengan politik wang. Ternyata pemimpin UMNO hanya bermain wayang memanis mulut menjanjikan perjuangan buat rakyat, walhal mereka mengutamakan diri sendiri. Dan sebagai bukti bahawa mereka sanggup bermusuh dengan sesiapa sahaja termasuk rakyat, kerana bersama sahabat dalam separti pun mereka sanggup bertelagah dan memijak kepala satu sama lain. Inikah wajah mereka yang memimpin negara kita sekarang?

No comments: