Monday, March 16, 2009
UNITY GOVERNMENT : WAWASAN JAUH PRESIDEN PAS.
Idea Unity Government atau Kerajaan Perpaduan tercetus oleh minda Presiden PAS. Entah apa agaknya, dan siapa pula yang menasihatinya, idea ini dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat.
Belum pun habis reda isu rampasan kuasa (coup 'de etat) di Perak, belum pun habis reda kemarahan rakyat isu-isu negara seperti Himpunan PPSMI dan lain-lain, tiba-tiba YB Tuan Guru Presiden PAS meletupkan isu ini.
Seperti biasa, yang paling melenting adalah kelompok fundamentalis. Mungkin kerana latar belakang PAS yang serik didera UMNO bertahun lamanya mengajar erti 'bersahabat' dengan UMNO. Kalangan PAS sendiri berbeda pandangan diutarakan. Segelintir pemimpinan tertinggi pun banyak khilafnya, apatah lagi dengan ahli-ahli di peringkat cawangan dan kawasan.
Di kalangan UMNO pula, idea dan gagasan ini dipandang dengan berbelah bahagi. Setengahnya yang mahukan reformasi menganggap ini sebagai suatu pembaharuan demi memantapkan UMNO dan agenda Melayu. Manakala mereka yang dari ajaran fundamenatlisnya tetap konsisten menolak apa jua gabungan dengan Pakatan Rakyat. Dengan ego mendakwa UMNO-BN masih utuh dan tidak perlukan bantuan pembangkang. Inilah mentaliti sebahagian pemimpin UMNO.
Saya melihat ini dari sudut positif. Satu ketika ketika awal-awal idea muqabalah dan muzakarah hendak dijadikan agenda PAS, saya menolak. Alasannya kerana saat itu PAS dan Pakatan Rakyat sedang melonjak naik. Rakyat sedang memberikan harapan besar mengunung kepada PAS dan Pakatan Rakyat. UMNO-BN pula dilihat sebagai sebuah kapal yang sedang karam. Apa guna menyelamatkan kapal karam UMNO-BN sedangkan kalau dijadikan tukun ia lebih baik buat PAS. Itu pandangan saya lima atau enam bulan lalu. Sementelah lagi isu 16 September sedang hangat diperkatakan orang. Anwar Ibrahim sedang meluncur laju untuk memacu negara. Kenapa kita membantutkan usahanya sedangkan kita berada dalam kenderaan yang sama?
Kini isu negara sudah berubah. 16 September sudah gagal. Timbul pula kebahayaan negara akan dipimpin oleh pemimpin kuku besi Najib Tun Razak. Ketakutan rakyat dan saya sendiri timbul, bagaimana negara akan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai rekod buruk termasuk dikaitkan dengan pembunuhan! Adakah Malaysia akan dipimpin oleh seorang penjenayah? Kalau seorang gadis Mongolia boleh dibunuhnya, adakah selamat buat kita semua rakyat Malaysia? Ini persoalan yang bermain di fikiran rakyat jelata.
Seperkara lagi, Presiden PAS menawarkan kerajaan Perpaduan (Kerajaan Tanpa Pembangkang) adalah untuk membantu rakyat membangunkan negara. Kerana selama ini ramai yang bukan ahli politik termasuk dari kalangan jemaah Islam lain di Malaysia, yang bersikap sinis dengan sikap PAS yang hanya tahu bersilat politik tanpa memberikan sumbangan buat membangunkan negara. PAS hanya tahu mengkritik dan mengutuk. Inilah masanya PAS menghulurkan tangan perpaduan supaya Malaysia dapat diselamatkan dari pelbagai krisis dari ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain lagi. PAS bermentaliti bukan sekadar menjadi pembangkang tetapi juga menjadi pencetus kepada perpaduan. Juga bukti bahawa PAS bukan parti pendendam, tetapi sebagai penyelesai masalah. PAS tidak pernah lupakan kekejaman UMNO. Tetapi Tuan Guru Presiden menampilkan PAS sebagai pohon yang melontarkan buah yang manis meskipun dilontarkan dengan batu dan dijolok dengan galah yang tajam!
Saya kira pandangan Tuan Guru Presiden bahawa PAS belum bercita-cita pendek menjadi Menteri atau Perdana Menteri. PAS bukan tamak, bukan juga opportunis, jauh sekali menggadaikan maruahnya. Sekadar mahu membuktikan PAS bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja, demi Islam dan negara. Dahulu teruk PAS dibelasah oleh pemimpin ortodoks yang mencela tindakan PAS berbaik dengan DAP. Walhasilnya, setelah sepuluh tahun lamanya kini pemimpin DAP telah mula lunak kepada PAS dan Islam (kecuali Karpal Singh). Beberapa pemimpin DAP mampu membaca ayat suci Al -Quran dalam pentas ceramahnya. Dan Hudud bukan menjadi pertikaian yang hebat.
PAS pernah bekerjasama dengan Semangat 46. Bukan PAS yang memutuskan pertalian dengan S46, tetapi mereka sendiri yang menceraikan diri mereka lalu bergabung dengan UMNO. Sebelumnya, PAS pernah bergabung dengan UMNO. PAS setia, tetapi ditolak dengan penuh hina oleh UMNO dan BN tahun 1970an. Ini sejarahnya.
Tahun 1998 dan kini PAS masih setia dengan Pakatan Rakyat. Tatkala pemimpin dan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP melompat di Perak, ADUN dan MP PAS masih setia. Masih kekal bersama dengan Pakatan Rakyat. Bahkan rakyat pula yang sangsi dengan kesetiaan dan kesepakatan pemimpin PKR dan DAP.
Dalam keadaan begini, tiba-tiba secara kebetulan Anwar pula ditemukan dengan Pak Lah di Madrasah di Hulu Langat. Tiada pula suara bising dari akar umbi PAS dan PKR atau Pakatan sendiri yang menaruh curiga kepada Anwar. Kenapa idea Presiden PAS dianggap serong dan mengkhianati rakyat (atau Pakatan) sedangkan pertemuan enam biji mata Pak Lah dan Anwar dianggap biasa dan tiada makna apa-apa.
Saya melihat wawasan jauh Presiden PAS terbukti sudah. Kini adalah zaman untuk PAS keluar dari kepompong dan berminda pembangkang tanpa haluan. PAS perlu mengorak ke hadapan sebagai parti yang bakal menggantikan UMNO yang reput. PAS mampu menjadi 'check and balance' serta menjadi pewaris kepimpinan negara pada bila-bila masa dari sekarang. PAS mesti bersedia menangani isu-isu negara. PAS perlu lahirkan segera seberapa ramai negarawan yang mampu mencongak pelbagai isu dalam negara. PAS perlu dilihat mampu duduk semeja dengan mana-mana pihak. Demi negara, dimana sahaja, dan bagaimana sahaja PAS boleh bersemuka dengan sesiapa saja! Inilah mesej tersembunyi dari gagasan Presiden PAS.
PAS juga dilihat sebagai parti sahabat. Baik kawan mahupun musuh. Baik rakyat jelata sehingga kepada pimpinan. Dakwah PAS akan tersembul keluar sebagai cahaya yang menerangkan alam ini. PAS mesti dilihat sebagai jamaah dakwah yang boleh dibawa berbincang. PAS terbuka dan relevan dengan situasi zaman. PAS bukan sahaja raja demonstrasi bahkan raja dalam meja perundingan. Bukan sahaja ceramah dan debat politiknya hebat, hebat juga pemimpin PAS di dalam Parlimen dan dalam mengadakan perbincangan!
Sebenarnya banyak lagi perkara yang membawa kebaikan boleh dilihat dari cetusan Tuan Guru Presiden PAS. Mungkin ada yang menyanggah, tetapi yakinlah misi dan visi Presiden PAS ini bukan membawa perpecahan dan kehancuran buat PAS, malah menguatkan lagi jaluran dakwahnya ke tengah-tengah masyarakat. Silap-silap idea ini lah yang bekal menguburkan UMNO, siapa tahu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment