Berakhirlah debaran tentang siapa calon PAS di Parlimen Bukit Gantang menjelang PRK 7 April ini. Akhirnya tepat jam 10.47 malam, beliau diumumkan oleh Presiden PAS sebagai calon PAS. Keputusan ini hasil dari mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sebelah petangnya. Alhamdulillah, barangkali keberkatannya sudah disediakan oleh Allah swt hasil dari muafakat dan syura di kalangan pemimpin PAS.
Pemilihan Nizar tidaklah sangat mengejutkan sangat memandangkan beliau memang menduduki tempat utama senarai pencalonan. Selainnya, Ust Idris Ahmad dan Haji Mohamad Sabu juga menjadi taruhan. Mungkin atas kehendak orang tempatan yang mahukan Nizar sebagai calon.
Atas kertas, banyak kelebihan pada YAB DS Nizar. Beliau menjadi 'hangat' ekoran keberanian beliau mempertahankan jawatannya sehinggalah dirampas kuasa kerajaannya. Ramai dari khalayak warga Perak khususnya orang Tionghua dan India menaruh simpati terhadapnya. Bahkan, orang Melayu turut memberikan simpati atas pengorbanan beliau naik turun mahkamah mempertahankan kerajaannya. Ramai yang meminati ucapan beliau. Lagak beliau yang santai, mesra dan mudah didekati menambah popularitinya. Terlebih lagi beliau amat fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris. Saat ini, ramai yang menyokong beliau. Beliau sangat dikenali di mana-mana.
Itu di atas kertas. Namun perlu diingatkan era Najib selaku PM keadaan boleh berubah. Rekod atas kertas tidak boleh disamakan dengan segala perencanaan busuk UMNO-BN. Dengan mengerahkan segala jentera termasuk SPR, Polis, Mahkamah, dan lain-lain jabatan kerajaan keputusan mampu diubahnya. Jangan kita lupakan tragedi PRK di Ijok dua tahun lepas. UMNO-BN ternyata mampu membuat 'magik' dengan menukar dan membeli kertas undi. Juga UMNO berkebolehan mengimport pengundi luar untuk mengundi. Tidak kurang taktik lapuk dengan membawa bas berbondong-bondong untuk mengundi. Ataupun mengerah polis dan tentera untuk mengundi. Ini semua adalah sejarah dan fakta kejahatan UMNO yang tidak boleh kita lupakan.
Apapun pemilihan Nizar telah membawa seribu harapan beribu rakyat negeri Perak. Pengundi Bukit Gantang akan menguji sama ada Pakatan Rakyat diterima atau sebaliknya. Adakah rampasan kuasa kerajaan UMNO direstui oleh rakyat atau sebaliknya. Dan adakah rakyat menerima Najib sebagai Perdana Menteri ke 6.
Kepada Nizar juga kita sandarkan harapan. Sesungguhnya gelombang kebangkitan rakyat telah bermula di Kuala Kangsar. Dan pastinya Bukit Gantang adalah pencetusnya. Sama-sama kita bekerja keras bagi menjana kemenangan rakyat seluruhnya, yang dimulakan di Bukit Gantang.
1 comment:
salam, ana mek masuk dalam prk059. 10q
Post a Comment