Esok adalah hari besar dan bersejarah. Tanggal 7 Mac 2009, bakal menempa suatu lagi sejarah negarea. Seperti mana tarikh pada 11 November 2006 di mana Himpunan Bersih 100,000 rakyat ke jalan raya, yang menyebabkan 5 buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Apakah Himpunan 7 Mac 2009 nanti bakal meledakkan suatu lagi kejutan?
Sudah mangli dengan pelbagai kertas kerja, sudah lelah dengan semiinar dan forum, juga berpuluh tenaga pakar menyuarakan rasa, tidak kurang bermacam nota bantahan disampaikan. Semua sudah sampai ke tangan pemimpin UMNO-BN. Nampaknya usaha rakyat sudah sampai ke penghujung kesabaran. Mungkin jalan raya menjadi saksi mati rakyat tidak mampu menahan rasa disiksa selama 6 tahun puaka 'Inggeris' terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
Bukan rakyat dengkikan bahasa Inggeris. Tetapi mengapa dipilih subjek teras yang sangat kritikal itu sebagai bahan meranapkan masa depan anak bangsanya sendiri? Apakah hanya kerana lemahnya anak-anak Malaysia terhadap penguasaan Bahasa Inggeris menjadikan sains dan Matematik sebagai mangsa untuk memangsakan pendidikan sekolah terhadap anak-anak? Rakyat sangat khuatir Bahasa Melayu akan menurut jejak Pendidikan Islam yang menjadi kelas kedua dalam silibus pendidikan. Subjek agama Islam, bukan teras untuk mensyaratkan pelajar-pelajar masuk ke IPT. Dan kesannya boleh dilihat dengan lahirnya generasi yang jahil terhadap hukum, al Qur'an dan agamanya sendiri.
Dalam subjek utama di sekolah, hanya Bahasa Melayu sahaja tinggal satu untuk dimartabatkan. Selainnya, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik merupakan kor yang terlalu penting. Ketiga-tiga subjek ini telah dikorbankan dalam Bahasan Inggeris. Subjek lain seperti Sejarah, Fizik, Kimia, Agama Islam, Sastera, Geografi, dan lain-lain adalah pilihan tambahan kepada pelajar sekolah. Syarat kemasukan utama ke IPT perlu dilihat pada subjek utama yang empat tadi. Ertinya, hanya Bahasa Melayu sahaja subjek tunggal yang dilihat penting ke IPT. Makna yang mendalam ialah, Bahasa Melayu sudah dilihat ketinggalan dan tidak relevan lagi. Sudah sama seperti subjek Pendidikan Islam.
UMNO yang mendabik dada kononnya merekalah pejuang bangsa rupanya merekalah pengkhianat bangsa. Agak janggal dan pelik PAS memainkan peranan bersama pejuang bangsa Melayu memperjuangkan bahasa ibunda. PAS telah dilihat mengambil tempat sebagai pejuang bangsa selain daripada Islam yang menjadi nadi perjuangannya. Kalau begitu, apakah yang UMNO kini perjuangkan?
Kemuncak kemarahan rakyat sudah tidak tertahan lagi. Hampir seluruh pelusuk golongan masyarakat tampil memberikan sokongan terhadap usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI ini. Daripada Parti politik, pejuang bahasa, Sasterawan Negara, cendekiawan, Profesional, sehinggalah kepada pihak PIBG akan turut serta dalam rapat umum esok. Biarkan kali ini rakyat berbicara di jalan raya setelah pemimpin UMNO bersikap pekak badak dalam mendengar keluhan rakyat yang sudah tidak tertanggung. Buat rakyat yang jauh doakan kami manakala yang dekat, mari kita bersama ramaikan himpunan ini.
No comments:
Post a Comment