Tuesday, March 24, 2009

ERA KEGELAPAN DEMOKRASI MALAYSIA BARU BERMULA

Belum sempat menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib sudah mula menunjukkan bengisnya. Habis semua dibantainya. Ibarat Jebat yang terluka, habis mengamuk satu kampung dilibas kerisnya. Kali ini tidak kira siapa. Sesiapa menyanggah, akan disergah.

Harakah dan Berita Keadilan menjadi mangsa paling baru. Digantung selama 3 bulan, maka terkial-kiallah Lembaga Pengurusan mencari rezeki menggaji pekerjanya. 3 bulan tanpa notis awal boleh dikira suatu kezaliman. Pulak tu tiada alasan kukuh penggantungan. Hanya kerana kedua-dua lidah rasmi parti PKR dan PAS di jual di tempat awam, maka gantung permit sebagai jalan keluar.

Semua orang tahu kedua-dua akhbar parti itu menjadi hak milik parti masing-masing. Harakah diterbitkan buat menyalurkan maklumat dan pandangan parti. Begitu juga dengan Suara Keadilan. Rakyat yang cerdik akan menilai sesuatu berita dan penyampaian maklumat. Kalaupun dijual di tempat terbuka, andainya rakyat menolak segala pandangan Harakah, mereka pasti tidak akan membeli. Jualan Harakah akan merosot, lama kelamaan ia akan mati. mengapa perlu KDN bertindak di luar batasan demokrasi (dalam hal kebebasan bersuara). Kalau ada unsur fitnah di dalam rencananya, samanlah. Bukankah berpuluh kali kes saman akhbar telah difailkan dimahkamah. Ada yang menang, ada kalanya Harakah kalah. Itu biasa. Akhbar bertanggungjawab di atas segala maklumat yang disebarkan.

UMNo-BN tidak pula menerbitkan akhbar rasmi mereka. Mungkin mereka tahu, kalau mereka terbitkan dan jual di tempat awam, berapa ramai yang membeli dan membaca. Lalu digunakanlah akhbar rasmi milik kerajaan. Di milik partikan harta kerajaan sesuka hati. Media arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times dan lain-lain sudah diketahui sebagai ejen UMNO-BN. Semua yang baik pada BN saja dipaparkan di media tersebut sepanjang masa. Sebaliknya, sedikit yang buruk kepada Pakatan Rakyat sudah menjadi isu sensasi berminggu lamanya! Sampai Liputan Perhimpunan Agung UMNO menjadi headline dan tajuk besar akhbar milik kerajaan. Seolah-olah semua rakyat adalah UMNO dan mahukan UMNO.

Dalam keadaan begini, tidak pula KDN bertindak. Pernahkah KDN keluarkan amaran serta menggantung akhbar-akhbar ini yang jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi? Tidak pernah terlintas KDN bertindak tegas ke atas mana-mana akhbar kerajaan ini.

Gambaran rakyat bahawa Najib akan bertindak lebih liar dari mentornya terbukti sudah. Dimulakan dengan rampasan kerajaan negeri Perak. Kemudian Harakah dan suara Keadilan. Ceramah di Kedah dengarnya ditembak dengan gas pemedih mata. Habis bercempera rakyat kampung yang mahu dengar ceramah dibom asap. Apa dosa mereka sehingga dianggap hadir ke program jenayah lagaknya. Konsert Jom heboh ada diperlakukan demikian? Dato' Seri Anwar Ibrahim terkenalah juga buah tangan jentera Najib. Apa hendak dikatakan.

Selepas ini bersedialah rakyat seluruhnya. Para blogger antara yang tersenarai utama diambil tindakan. Raja Petra perlu diselamatkan, takut-takut diculik dan dibom dalam senyap. para pemimpin pembangkang nantikan penangan dendam kesumat Najib. Dan bersedialah sepanjang masa dengan apa saja tindakan luar perikemanusiaan, kerana era kegelapan demokrasi telah bermula!

No comments: