Sunday, March 29, 2009

DEBARAN PENAMAAN CALON

Pagi ini (Ahad, 29 Mac 2009) bermulalah secara rasmi perjuangan dan penentangan antara dua benua politik yang berbeza dalam pentas demokrasi ala-Malaysia. Penamaan calon akan bermula dengan perarakan jam 8.00 pagi, proses penamaan calon jam 9.00 pagi dan keputusannya akan diumumkan jam 11 pagi.

Selepas itu akan bergeraklah kedua-dua parti berkempen siang dan malam selama 9 hari yang penentuannya pada 7 April 2009. PAS mempertaruhkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai calonnya manakala UMNO mencalonkan Suffian Ismail.

Inilah ujian dan medan pertama bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO. Rakyat teringin juga melihat trend atau gaya kepimpinan beliau sebagai Pengarah Pilihanraya bagi ketiga-tiga kawasan ini. Mengikut agihan UMNO, Naib-Naib Presiden akan mengetuai ketiga-tiga kawasan PRK nanti. Zahid Hamidi akan mengetuai jentera di Bukit Gantang, Hishamuddin Tun Hussein di Bukit Selambau manakala Shafie Abdal di Batang Ai. Dalam ketiga-tiga medan, Bukit Gantang dikira sebagai medan tempur paling sengit kerana itulah maruah UMNO terletak. UMNO dan PAS akan diuji masing-masing sama ada rakyat di Perak menerima atau tidak kehadiran mereka selaku kerajaan (yang sah dan haram).

Semoga diberikan ketabahan buat Nizar Jamaluddin. Di atas bahu beliau tersandar seribu harapan rakyat yang dahagakan perubahan dan menidakkan Najib Tun Razak selaku PM. Mungkin rakyat tidak dapat menghalang kemaraan atau transisi Pak Lah ke Najib selaku PM, tetapi sekurang-kurangnya sebagai moral untuk menaikkan semangat perjuangan rakyat dan merendahkan maruah Najib. Inilah jalan yang terakhir mungkin sebelum tiba harinya 2hb April yang mana menurut maklumatnya Pak Lah akan berundur dan mempersembahkan kepada YDP Agong untuk menabalkan Najib selaku PM. Apalagi yang boleh diharapkan melainkan memenangi Bukit Gantang, Bukit selambau dan Batang Ai sebagai modal kita menghadapi kerakusan Najib nanti!

No comments: