Tuesday, March 3, 2009

SIVAKUMAR DISURUH BERSABAR: KENAPA PULA TIDAK DR ZAMBRY BERSABAR?

Saya jadi tergelak bila membaca pandangan seorang Perdana Menteri yang mengkritik Speaker DUN Perak V. Sivakumar. Sivakumar ini mahu mengadakan sidang DUN tergempar. Mengikut logiknya, tiada apa-apa kesalahan boleh berlaku. Ini hak dan kuasa seorang Speaker. Sama seperti speaker Dewan Rakyat yang memanggil mana-mana sidang Dewan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN yang mempertikaikan notis panggilan Speaker.

Sudahlah begitu, lebih melucukan apabila polis dikerah untuk menutup Bangunan SUK yang menempatkan Dewan DUN. Kesian polis diperalat dan diperkudakan sedemikian rupa.

Pak Lah pula mengkritik Sivakumar kerana tidak bersabar. Istilah 'bersabar' digunakan untuk membidas kuasa seorang speaker. Hairannya apabila kerajaan UMNO-BN merampas kerajan sah Pakatan Rakyat di Perak, tidak pernah pula terpacul perkataan sabar dari Pak Lah. Kenapa MB haram Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir tidak pernah diarah bersabar sehingga sidang DUN berlaku untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar. Pak Lah patut sabarkan sedikit Dr Zambry untuk adakan usul tidak percaya kepada Dato' Seri Nizar dalam sidang dewan. Kenapa pula Pak Lah tidak arahkan kerajaan baru 'haram' Perak bersabar sehingga mahkamah memutuskan keputusan terhadap dua ADUN yang dihadapkan ke mahkamah bersabit kekosongan kerusi tempohari. Ada pula ke Pak Lah minta Zambry dan Najib bersabar sehingga Pilihanraya Kecil seluruh negeri Perak berlangsung.

Apabila pihak polis bertindak kasar dan ganas di Masjid Ubudiyah tempohari, ada ke mana-mana pemimpin UMNO nasihat pihak polis supaya bersabar. Tatkala kegilaan Zambry memuncak dengan menutup ruang pejabat SUK, dan Pejabat Menteri Besar serta arahan memulangkan semula kunci pejabat, rumah dan kereta terhadap MB Perak Dato' Seri Nizar- 'toleransi dan bersabarkah' mereka dengan perangai ini?

Inilah sikap dualisme UMNO-BN. Apabila sesuatu berlaku kepada pihak lain, hujah akal, perundangan, perlembagaan, peraturan, pertimbangan, kemanusiaan semua digunakan. Tetapi jika ia berlaku di pihaknya, emosi dan nafsulah yang memandu UMNO. Tiada lagi peraturan dan perlembagaan diguna pakai. Semua nasihat ditolak tepi, hanya kerana kemaruk kuasa yang bersarang di kalbu UMNO-BN. Akhirnya mereka juga yang muncul berkuasa setelah habis segala kudrat dan jentera digunakan secara tidak sah. Tidak penting kritikan dan bantahan, tidak mustahak perundangan dan perlembagaan, apa kisah pada maruah - yang penting berkuasa semula!



Petikan dari MStar.


Speaker Perak sengaja ambil tindakan kontroversi - Abdullah

JAKARTA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar sengaja memilih mengambil tindakan yang kontroversi dalam perkembangan muktahir berkaitan persidangan DUN Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak faham kenapa Sivakumar tidak dapat bersabar sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Saya tidak faham kenapa seseorang mengambil keputusan berbuat sesuatu yang menimbulkan kontroversi.

"Beliau (Sivakumar) sepatutnya tunggu sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai perkara ini. Itulah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Bersabar dulu," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri hari ini yang memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Perdana Menteri berkata, tindakan Sivakumar memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan menggantung Menteri Besar dan enam Exco berkenaan yang dilantik secara sah oleh Sultan Perak, daripada menghadiri sidang DUN adalah salah.

No comments: