Friday, February 27, 2009

BAYANGKAN KALAU INSIDEN DI PARLIMEN SEMALAM DILAKUKAN OLEH ORANG PAS...

Kecoh ruang Parlimen pada hari Khamis, 26 Februari 2009 apabila sekumpulan pemuda UMNO Selangor bertindak menghalang YB Karpal Singh daripada memasuki ruang Parlimen. Mereka bertindak menghalang Karpal dan mendesak supaya beliau mengulangi ucapan beliau ketika dalam parlimen hari Selasa lepas. "Celaka", adalah tuduhan Karpal terhadap Pemuda UMNO yang telah mengirimkan dua butir peluru sebagai ugutan terhadap keceluparannya.


Akibat ucapan beliau yang telah pun ditarik balik, pemuda MNO Selangor naik berang dan menahannya. Dua orang Ahli Parlimen PKR dan DAP cuba membantu Karpal lalu terjadilah insiden tarik menarik, tolak menolak. Di Parlimen pun boleh jadi medan pergaduhan.

Yang musykilnya ialah parlimen adalah kawasan di bawah kawalan sekuriti yang ketat. Penuh dengan protokol dan keseragaman. Ada mesin pengimbas untuk menjaga keselamatan. Penuh dengan UTK yang sedia berkhidmat bila-bila masa untuk 2 orang pemimpin tertinggi negara, PM dan TPM. Ramai juga polis dan pengawal peribadi. Tetapi masih ada juga ruang untuk pencerobohan dan provokasi. Kalau ia berlaku sesama ahli Parlimen munasabahlah sedikit. kerana Parlimen adalah medan mereka bergasak. Tetapi apabila melibatkan orang luar yang mencetuskan pertelingkahan dan menahan Ahli Parlimen di dalam kawasan Parlimen, ia dianggap pelik dan berbahaya.

Adakah Parlimen sudah tidak selamat lagi buat Ahli Parlimen? Saya masih teringat sekitar setahun beberapa bulan yang lepas, ketika sibuk dengan gelombang Himpunan Bersih. Apabila ura-ura hendak diadakan himpunan di kawasan Parlimen, maka sibuklah gerombolan polis, tentera, unit FRU, SB dan lain-lain berkawal dan berkubu di depan pintu masuk Parlimen. macam nak halang serangan Israel lagaknya. Apabila beberapa orang aktivis dan pemimpin Bersih berjalan ke arah Parlimen belum apa-apa lagi telah ditangkap. Begitu juga berlaku terhadap Dato' Mustafa Ali yang sudah pun berada dalam Parlimen. Apabila beliau membuat sidang akhbar, sejurus selepas itu beliau ditangkap bersama Tan Sri Khalid Ibrahim. Gaya menangkap penjenayah besar lagak mereka. Sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa. Sekadar menyerahkan memorandum dan kemudiannya mengadakan sidang akhbar. Ditangkap sedemikian rupa.

Tetapi apabila kejadian lebih buruk berlaku di dalam ruang legar Parlimen yang melibatkan UMNO, maka Polis seakan menikus. Tiada tangkapan, tiada serbuan, tiada kawalan ketat. Malahan jeritan Karpal meminta bantuan polis juga tidak diendahkan. Mereka seakan membalas dendam dan hanya menurut perintah UMNO semata. Bezanya darjat UMNO dan Pakatan Rakyat. Kalau ini terjadi kepada mana-mana wakil rakyat BN yang diserbu oleh ahli PAS dan penyokongnya maka hebohlah seantero dunia. Tujuh hari tujuh malam menjadi tajuk berita utama. Pasti ISA atau apa-apa tindakan keras dikenakan. Beruntungnya UMNO menjadi 'bapa angkat' polis.

Ini bukan sebuah imaginasi saya semata. Tetapi menjadi kenyataan dan realiti semasa. Cuba lihat kepada demonstrasi di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar beberapa minggu lepas. Apakah tindakan polis dan FRU dalam menangani demo tersebut? Berpuluh gas dilepaskan. Mangsa tak kira siapa. Kanak-kanak, warga emas, OKU semua kena. Berapa ramai kena tangkap? lebih kurang 9 orang. Bandingkan pula demonstrasi anjuran UMNO baru-baru ini. Demonstrasi menyokong Sultan kononnya (padahal merekalah yang meruntuhkan institusi istana). Berapa ramai polis bertugas mengawal demonstrasi mereka? Kenapa polis menjadi pasif apabila ia dianjurkan UMNO? Berapa ramai tertangkap? Berapa gas pemedih mata dilepaskan?

Walaupun ada demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat tiada tindakan ganas diambil polis, tetapi bandingkan ia dengan anjuran UMNO. Kalau UMNO pasti tidak pernah ada apa-apa tangkapan. Alahai "anak emas" UMNO. Dan kaum sebegini masih dianggap pejuang, wira rakyat, pemberani dalam keadaan tidak pernah diuji dengan apa pun.

Dan lagi, mereka masih dianggap mempunyai kesantunan dan tahap profesional yang tinggi meskipun sanggup mencemar Parlimen dengan insiden seperti ini dan lain-lain yang memalukan. Mereka masih dianggap pembela Sultan walaupun menghina Agung dengan bahasa 'natang' tahun sudah. Hebat UMNO kerana memiliki tukang "putar alamnya" yang hebat. Buatlah apa pun UMNO akan ditulis sebagai spesis yang berbudi bahasa, bersopan santun, dan bertimbang rasa.

No comments: