Sejak Pengerusi SPR yang penuh kontroversi dan berat sebelah, Tan Sri RAshid Abdul Rahman meletakkan jawatan dan digantikan dengan seorang yang dianggap bebas dan professional, Dato' Abdul Aziz bin Mohd Yusof, rakyat Malaysia mula menaruh harapan. Supaya SPR dilihat telus dan bebas dari pengaruh politik kepartian dan kepentingan individu tertentu.
Perdana Menteri turut cuba berusaha di akhir karier politiknya supaya dilihat bersih dari sebarang kongkongan terhadap jentera kerajaan. Janji beliau cuba dipenuhi dengan pencen wajib dikenakan terhadap Tan Sri Rashid. Umum melihat ia suatu berita gembira apabila dirasakan demokrasi semakin berjalan di atas padang yang sama rata.
Apabila Pilihanraya Kecil di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terenganganu berlangsung dengan keputusan yang baik buat Pakatan Rakyat, imej dan kredibiliti SPR semakin dijulang. Semakin terserlah telahan rakyat, kalaulah demokrasi seperti ini sudah lama berlaku, maka sudah pasti kerajaan Malaysia juga turut telah lama bertukar ganti.
Namun bukan setiap hari hujan rahmat akan turun membasahi bumi. Bukan semua kuku SPR mampu ditajamkan. Bukan semua sayap jentera kerajaan dilepaskan sebebasnya. Tiba-tiba negeri Perak diuji dengan ujian besar dan SPR benar-benar teruji ketrampilannya. Baru benar boleh dilihat bayang-bayang sebalik tabir SPR, siapakah yang memainkan peranannya.
Semua terkejut dengan pengumuman SPR yang langsung bercanggah dengan fungsi dan peranan penubuhannya. Belum pernah terjadi dalam sejarah SPR boleh menyanggah keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri. Ini telah terjadi dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Apabila melihat kecurangan dua ADUN yang telah berikrar taat setia dan sekiranya mereka melompat, maka dengan secara automatik bermakna mereka akan mengosongkan kerusi tersebut. Ini termaktub dalam surat janji setia kesemua Adun PKR dan DAP seusai PRU ke 12 lalu. Maka jalan penyelesaiannya ialah memulangkan kembali amanah ini kepada rakyat. Ini yang telah dilakukan oleh Speaker DUN Perak. Namun malangnya, SPR telah menolak kesaksian ini, lalu membenarkan kedua-dua ADUN ini terus berkhidmat hanya hasil dari surat penafian perletakan jawatan mereka berdua.
Kesannya berlakulah episod berantakan yang hebat. Meleret-leret sehingga ke pihak Istana Perak. Sultan pula menjadi mangsa kerakusan mainan politik UMNO-BN.
Tugas asasi SPR adalah menjalankan Pilihanraya. Ianya mestilah disahkan terlebih dahulu dari Speaker. SPR tidak berhak mempersoalkan kesahihan jawatan ADUN atau mana-mana Ahli Parlimen yang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker melalui surat rasmi. ADUN atau Ahli PArlimen berkenaan hanya boleh mencabar Speaker di mahkamah. SPR mesti menyambut surat pengisytiharan tersebut lalu melaksanakan sebuah pilihanraya tidak lebih dari 60 hari. Tugas ini semua tahu. Selama ini tidak pernah berlaku sebarang permasalahan antara tugas SPR dan Speaker.
Dalam hal ini, SPR cuba bermain wayang dengan rakyat. SPR tersepit antara keadilan yang didokong rakyat dan Pakatan Rakyat dengan kehendak selera pemimpin UMNO-BN. Lalu terserlah wajah sebenar kelakonan SPR. Sanggup diketepikan wibawa demi memenuhi kepuasan UMNO-BN.
Dalam keadaan apapun UMNO-BN cuba menjauhi Pilihanraya. Pelik kerana UMNO mendakwa merekalah gergasi di Malaysia. Parti lainnya adalah kerdil belaka. Tetapi tidak dalam Pilihanraya akhir-akhir ini. Pilihanraya Kecil bermakna UMNO-BN terpaksa berbelanja besar berjuta ringgit untuk membeli undi. Pilihanraya bermakna UMNO-BN terpaksa berperang dengan rakyat, jentera Pakatan Rakyat bahkan dengan jentera dalamannya sendiri. Pilihanraya bermakna tembelang jahat mereka akan terbuka dan dinilai oleh rakyat. Terutama dalam menghadapi gawat Pemilihan Agung UMNO bulan Mac ini. Inilah yang mereka geruni sekarang.
Dalam ekadaan begitu takdir Allah, berlaku juga Pilihanraya Kecil di dua Bukit. Antara Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mahu atau tidak UMNO-BN terpaksa berhadapan dengan PRK kedua-dua tempat ini. Ironisnya, kedua-duanya memberikan makna yang besar kepada semua pihak- sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Bukit Gantang penting bagi mengukur kehendak rakyat di Perak. Apakah rakyat bersama YAB Dato' Seri Nizar atau Zambry yang baru diangkat menjadi Menteri Besar kedua? Ia sangat penting adakah protes berlaku dari kalangan rakyat terhadap Istana atau sebaliknya. Manakala Bukit Selambau memberi makna yang besar terhadap sebuah kerajaan negeri. Kedah akan goyang andainya BN kembali memerintah Bukit tersebut.
Dalam keadaan begitu penantian terhadap jawapan SPR ditunggu, dan jawapannya sekali lagi sangat dipersoalkan. Kekosongan kedua-dua kerusi tersebut berlaku hari ini, tetapi Hari Penamaan Calon jatuh pada 29 Mac manakala Hari Mengundi pada 7 April. Berlaku serentak di dua kawasan.
Pengumuman Pengerusi SPR sekali lagi mengundang kontroversi. Adakah seakan dirancang dibelakang tabir, supaya jangan mengganggu gugat Jadual Pemilihan Agung UMNO pada 24-28 Mac nanti. Mengapa tarikh penamaan calon dipilih pada 29 Mac, iaitu sehari selepas pemilihan Agung UMNO? Adakah Pilihanraya berlangsung mengikut jadual dan tarikh mesyuarat Agung UMNO? Pilihanraya Kecil di DUN Kuala Berang tiga tahun lepas berlangsung dalam kecamuk PAS mengadakan Muktamar di Kota Bharu. tatkala itu tiada sesiapa mahu menentang keputusan SPR yang 'dianggap' tidak memihak.
Tetapi dalam urusan PRK di Dua Bukit SPR seakan menanti kata putus Pak Lah atau Najib bagi penentuan tarikhnya. Inilah keanehan yang wajar dipersoalkan. Dan kini ternyata bahawa SPR masih jentera UMNo dan peranannya masih sebagai sayap utama UMNO-BN. Cuma ia cuba disembunyikan lebih halus daripada dulu. Namun 'bau bangkai'nya telah mula dihidu. Duhai SPR... selama 50 tahun menjadi buruh paksa UMNO-BN, cukuplah. Biarkan sekali ini dan selepasnya rakyat pula menjadi kuasa menghakimi kezaliman UMNO-BN. Dan kami Pakatan Rakyat sedang datang untuk membebaskan kamu dan seluruh jentera kerajaan daripada pasungan kezaliman ini, menjadi bebas seadilnya untuk semua!
No comments:
Post a Comment