Seluruh dunia telah mengetahui bahawa Pak Lah akan menghabiskan usia politiknya sebagai Perdana Menteri hujung Mac 2009 ini. Dunia telah mencanang-canangkan bahawa pengganti Pak Lah adalah Najib sebagai Perdana Menteri ke 6. Najib juga telah menang dalam Pemilihan UMNO selaku Presiden. Menambahkan keseronokan buat kem Najib, Yang Di Pertuan Agong turut bertitah di Persidengan Parlimen semalam agar peralihan kuasa dapat berjalan dengan lancar.
Meskipun ada angin-angin yang inginkan agar Pak Lah mengekalkan kuasanya, tetapi arus itu sangat perlahan. Cadangan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz supaya Pak Lah terus kekal memimpin Malaysia bolehlah dianggap pandangan kecil daripada seorang pemimpin besar PAS. Beberapa gesaan menunjuk Pak Lah terus berkuasa ibarat menyalak bukit.
Rasa-rasanya tidak ada kuasa apa lagi yang dapat menghalang kemaraan Najib selaku Perdana Menteri ke enam. Hanya kuasa Allah swt dapat menyekat saat-saat akhir kemahuan besar Najib. Selain daripada itu adalah faktor sampingan yang mengecil. Saat ini seharusnya Najib sudah boleh menarik nafas lega. Liku-liku jalan ke seri Perdana semakin hampir. Beliau boleh menghitung hari dan juga mencatur orang-orang sekelilingnya. Seperti Barrack Obama ketika telah sah memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat. Tidak perlu gusar dan khuatir Bush bermain curang sebaliknya. Kerana masa telah menentukan beliau akan memasuki Rumah Putih.
Dalam keadaan semua berkeyakinan begitu, gerombolan pimpinan tertinggi UMNO merasa kurang yakin proses ini berjalan dengan baik. Tun Dr Mahathir dengan suara keras seperti biasanya menghentam habis-habisan Pak Lah. Beliau merasa curiga Pak Lah akan memberikan kerusi nombor satu negara dengan mudah kepada Najib. Digambarkan seolah-olah Pak Lah akan kekal berkuasa sebagai PM manakala Najib hanya berada sebagai Presiden UMNo semata-mata. Digambarkan sebagai sebuah khayalan bahawa orang 'tingkat empat' sedang menyusun strategi agar perencanaan lain berlaku, bukan peralihan kuasa.
Penyokong Najib juga merasa cemas dengan keadaan begini. Seolah-olah tidak yakin peralihan kuasa akan berlaku Mac ini. Sempat terdengar juga di telinga saya, pelbagai rumus menyatakan Pak Lah akan mengambil tindakan desperado dengan membubarkan UMNO. Lalu pembubaran ini memaksa Pak Lah untuk kekal memimpin negara. Ada juga teori liar menyatakan Najib akan tersungkur di mahkamah akibat pendedahan Sirul Azhar dan Azilah Hazri. Ini adalah andaian yang saya kira janggal untuk berlaku.
UMNO tidak akan mengheret Najib ke muka pengadilan. Beliau kini kebal dari sebarang tindakan. Kerana kalau Najib boleh diheret di mahkamah, maka reputasi UMNO akan jatuh berkecai. Maka tatkala itu UMNO hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah. Mana boleh Presiden UMNO terpalit dengan jenayah hitam. Tak mungkin seberani itu Pak Lah dan Khairy.
Di PWTC sehari dua ini tersebar risalah memburukkan Pak Lah dan mendesak Pak Lah meletak jawatan. Mengapa sebegitu terdesak proksi UMNO ini bertindak mendesak Pak Lah yang memang pasti akan meletak jawatan. Saya berandaian sekiranya Pak Lah terus kekal berkuasa, imejnya juga turut jatuh. Beliau akan dimusuhi oleh juak-juak UMNO. Apatalah lagi dengan pihak pembangkang.
Sebenarnya Najib lebih takut andainya terbongkar sedikit dari kisah sebenar pembunuhan Altantuya. Beliau amat cemas kalau-kalau Sirul terbuka mulut melafazkan namanya sebagai salah seorang pengarah utama di sebalik pembunuhan itu. Maka untuk mengaburi fokus rakyat, dihidangkan dengan isu derhaka, rampasan kuasa dan isu bogel Elizabeth Wong. Bahkan diaturnya proksi-proksi beliau agar mendesak tanpa pilihan Pak Lah supaya meletakkan jawatan. Dengan cara itu Najib akan naik ke puncak kuasa. apabila kuasa di tangan Najib, mahkamah manakah yang mampu bersuara benar? Polis manakah yang mampu menyiasat secara telus dan teliti? Tentera manakah yang mampu bersikap profesional tanpa arahan dari atas yang mampu mengubah sikap berkecuali mereka? Istana manakah yang tidak terpasung kaki dan tangan mereka? Nak harapkan SPR? SPRM? Peguam Negara? tatkala itu semuanya di hujung telunjuk Najib, dan Rosmah sutradara utamanya.
Di akhir episod ini, bermulalah awan hitam menyelubungi demokrasi Malaysia. Usah mengharapkan padang yang sama rata, kerana padang yang senget sebelah itupun digari tangan dan kaki rakyat. Itulah Najib sang penguasa. Dan beliau akan lakukan sapa sahaja terhadap sesiapa sahaja, meskipun membunuh sepuluh orang Altantuya yang dibom berkecai. Siapa peduli?
No comments:
Post a Comment