Saturday, February 21, 2009

SPRM SENGET SEBELAH

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato' Said Hamdan memaklumkan dalam sidang medianya semalam bahawa beliau cukup bukti untuk mendakwa Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim atas dakwaan rasuah pembelian lembu dan kereta rasmi beliau.

SPRM bertindak cepat dengan menjadi peguam cara dalam kes ini. Amat cekap Dato' Said Hamdan mengeluarkan kenyataan untuk mendakwa MB Selangor sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan dan belum difailkan lagi. Kalau dilihat dari neraca kasar ia tidak menjadi kesalahan bagi Ketua sebuah agensi penguatkuasaan rasuah bertindak demikian. Tetapi jika dilihat dari sudut mendalam, kenyataannya berbaur ugutan. Masakan seorang ketua agensi penguatkuasaan telah awal-awal isytihar untuk mendakwa seseorang sedangkan kesnya belum difailkan di mahkamah? Logiknya, tindakan ini memberi implikasi buruk kepada MB Selangor pada tanggapan masyarakat. Ini yang dimahukan UMNO dan SPRM bertindak sangat bijak. Kalau awal-awal tanpa tangkapan dan penguatkuasaan MB Selangor telah diisytiharkan untuk diambil tindakan, bukankah pelakunya boleh mengambil tindakan lain seperti melarikan diri, menyembunyikan fakta dan dokumen, saksi dan lain-lain? Bukankah penjenayah perlu dijerat dan dirahsiakan dahulu agar umpan benar-benar mengena. Amat lucunya proses perundangan negara akhir-akhir ini.

Dato' Seri Anwar Ibrahim pula meletupkan parlimen dengan pendedahan bagaimana ADUN Bukit Selambau telah diugut dan dipujuk. Telah 3 kali bekas ADUN ini melaporkan kepada pihak polis dan SPRM tetapi apakah tindakan SPRM? Kenapa lambat bertindak dan tidak membuat apa-apa kenyataan berkaitannya?

Di Perak pula, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bagaiman konspirasi yang dirancang di peringkat tertinggi untuk memujuk dan membeli wakil-wakil rakyat PKR untuk bersama BN bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat. Dalam Ucapan menjunjung Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agung, DSAI mendedahkan secara jelas, terperinci tanpa selindung menggunakan saksi hidup permainan kotor UMNO-BN melakukan rasuah...

"Dalam Surat Akuan bersumpah oleh Fauzi Muda [Ketua Bahagian PKR Ipoh Barat], beliau mengaku bahawa pada 11 Mac 2008, beliau telah dibawa bertemu untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di kediaman resminya di Putrajaya. Beliau mendedahkan, “Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Najib telah merayu kepada saya agar dapat membantu bagi memujuk sekurang-kurangnya dua orang ADUN Negeri Perak dari PKR agar lompat kepada UMNO atau menjadi sebagai wakil Bebas. Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM 50 juta bagi tujuan tersebut dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana ADUN PR yang mahu lompat.”..

Dalam akuan bersumpah Fauzi Muda, beliau mendedahkan lagi, “Usaha mereka memujuk saya bagi tujuan tersebut semakin kerap semenjak kes dua Exco PKR yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Mereka mensasarkan kedua-dua Exco tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari Tahun Baru Cina dimana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut bersetuju untuk melompat dari PKR, Dato’ Seri Najib bersedia membayar sebanyak RM 5 juta bagi setiap orang termasuk habuan untuk saya RM 5 juta.”

8. Percubaan menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memuncak sejurus Timbalan Perdana Menteri mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri Perak berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Mohd Tajul Rosli selepas ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar UMNO dan dengan rela hati menyertai PKR pada 25 Januari 2008.

9. Secara mendadak, Negeri Perak dikejutkan pula dengan kehilangan dua exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang. Begitu juga dengan kehilangan ADUN Jelapang dan ADUN Bota sehinggalah mereka muncul dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri pada 4 Februari 2009. Dalam sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengumumkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang dengan dakwaan BN kini mempunyai majoriti. Kesemua sandiwara ini berlaku dengan latarbelakang insiden ADUN-ADUN diculik, disembunyikan, diugut atau dirasuah."..

Dalam hal ini, dimanakah peranan SPRM? Mengapa tidak bertindak segera sebagaimana mereka bertindak terhadap pimpinan Pakatan Rakyat?

Di Kedah pula, dua orang ADUN dari PKR cuba dibeli. Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di parlimen yang saya petik berikut....

"Saya mendapat laporan bahawa pada 11 April 2008 ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee dari PKR, telah dihubungi untuk oleh seorang ejen BN yang mewakili Datuk Seri Mahazir Khalid (Pengerusi BN Kedah dan bekas MB) untuk memujuk supaya YB Lim lompat parti daripada PKR ke BN dengan tawaran RM 4 juta. Tawaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM 5 juta. Perjumpaan juga boleh diatur untuk menemukan YB Lim dengan Datuk Seri Mahazir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim ini diganggu dengan tawaran dan pujukan melompat parti sepanjang bulan April, Mei, Jun dan Julai 2008.

3. Apa yang mengejutkan saya, ADUN Lunas YB Lim telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah berhubung hal percubaan ejen-ejen BN untuk membeli beliau. BPR bersetuju mengatur strategi dan menjadikan YB Lim sebagai “umpan”. Pertemuan demi pertemuan diatur oleh ejen-ejen BN dengan YB Lim dan kesemuanya ada dalam makluman dan pemantauan BPR.

4. Kemuncak pemantauan ini ialah pertemuan di antara bekas MB Kedah dengan YB Lim di sebuah botel di Seberang Jaya pada akhir 2008. Pertemuan ini dirakam melalui CCTV yang diatur dengan pengetahuan BPR. Tiada tindakan susulan diambil, sebaliknya saya difahamkan pegawai BPR yang bertanggungjawab dalam operasi ini kemudiannya ditukar.

5. Dalam kes bekas Exco Kedah Arumugam A/L Vengatarakoo yang meletak jawatan baru-baru ini, saya telah diberitahu pelbagai ancaman dan ugutan telah dilakukan terhadap beliau. Tiga repot polis telah dibuat mengenai ancaman tersebut.

6. Pada 1 April 2008, pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/005907/08] bahawa beliau menerima panggilan telefon yang mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan terlalu aktif dalam politik dan sekiranya ingkar akan berlaku perkara yang tidak baik seperti mendiang Joe Fernandez [ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu].

7. Pada 18 Oktober 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/020426/08] bahawa beliau bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya apabila didatangi oleh dua lelaki yang mempunyai niat serong terhadap Arumugam."

Soalnya, apakah tindakan yang telah dibuat SPRM? Telah sah sejak sekian lama SPRM berlagak seperti parti komponen Barisan Nasional dengan menafikan apa juga dakwaan dan bukti daripada mana juga sumber oleh Pakatan Rakyat. Tetapi sekiranya ia melibatkan dakwaan daripada pemimpin Barisan Nasional cepat-cepat mereka melompat bertindak.

Cuba lihat, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan maklumat tersebut dituduhnya Penasihat PKR ini cuba membantutkan kerja mereka. Inilah sikap hipokrit SPRM yang telah diketahui umum.

Oleh kerana itulah wajar rakyat meragui kewibawaan SPRM. Kita bukan melindungi mana-mana pesalah rasuah. Sekiranya benar bersalah silakanlah mengambil tindakan sewajarnya. Tetapi mengapa tindakan SPRM hanya sebelah pihak sahaja. Mengapa dosa-dosa Khir Toyo, Najib Tun Razak, Pak Lah sendiri dan ramai lagi menteri disapu di bawah karpet sedangkan tuduhan rasuah melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat ditelanjangkan sehabisnya?

Dato' Said Hamdan wajar meletakkan jawatannya demi memelihara integriti SPRM. Beliau tidak layak menerajui agensi ini dengan sikap berat sebelahnya.Rakyat kini telah hilang hormat dan percaya pada PDRM, Mahkamah, SPR, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan SPRM telah lama menjadi koleksi kebencian rakyat Malaysia.

No comments: