Setelah Pengerusi SPRM secara rasmi menyerang Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor untuk mengambil tindakan terhadap dakwaan kes lembu dan penyelenggaraan kenderaan rasmi beliau, kini beliau mendapat beberapa tugas baru lagi hari ini.
Pendedahan balas oleh Tan Sri Khalid membabitkan Dato' Seri Dr Khir Toyo berkaitan urusan hartanah di Mekah yang melibatkan RM17 juta penyelewengan yang berlaku sangat sensasi. Di tambah pula dengan dakwaan dua ADUN Pakatan Rakyat di Perak bahawa mereka pernah disogok oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak untuk melompat parti. Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen mendedahkan ada video dirakam pegawai SPRM untuk memerangkap pemimpin UMNO yang melakukan aktiviti 'jual beli' wakil rakyat PKR.
Pastinya kesemua pendedahan dan laporan ini menguji wibawa dan akauntabiliti SPRM khususnya Pengerusinya. Kalau mungkin selama ini Dato' Ahmad said berpendapat kes melibatkan pemimpin UMNO-BN ditutup kerana tiada bukti, adakah kali ini kes seperti ini turut menerima nasib yang sama. Adakah pula bukti yang tiada tiba-tiba menjadi kukuh untuk didakwa apabila ia melibatkan pemimpin pembangkang. Pengerusi SPRM kini sedang dinilai kejujurannya.
Najib pula, melatah dan mengancam untuk mengambil tindakan keras kalau laporan dua ADUN tersebut palsu. Kenyataannya berbaur gugatan kepada kredibiliti sebuah jabatan pencegahan rasuah ini. Seakan-akan Najib mahu menyatakan beliau pasti akan bertindak keras terhadap dua ADUN ini walau apapun keputusan SPRM. Juga hendak memberitahu SPRM jangan memandai-mandai menyiasat kes yang melibatkannya. Patutnya sebagai seorang yang dituduh dan disyak, beliau perlu terus menyerahkan kepada ketelusan siasatan. Jangan buat kenyataan berbaur ugutan.
SPRM pula diingatkan jangan terpengaruh dengan apa-apa juga kenyataan dari bosnya. SPRM perlu menyiasat siapa saja yang terlibat dengan rasuah, tanpa selektif dan bias. Biarlah yang bakal ditangkap nanti sama ada pembangkang ataupun majikannya sendiri. SPRM perlu bertegas. Kiranya ini mampu dilakukan, maka tinggilah penghormatan rakyat kepada SPRM.
Sebaliknya pula, kalau momentum siasatan dan dakwaan yang bersifat pilih kasih, selektif, dan berpihak seperti dulu, maka sia-sialah usaha reformasi Jabatan Kerajaan seperti SPRM ini. Tukarlah dengan apa nama sekalipun, lantiklah sesiapa pun Pengarahnya, kalau mentaliti dan cara kerja masih terikat dengan sekelompok individu tertentu yang berada di anjung kuasa maka tiada berguna cara tersebut. Dan kita nantikan skrip lama yang akan digunapakai, tokoh pembangkang akan terdakwa manakala tokoh UMNO bebas bermaharajalela. Alasannya : tidak cukup bukti! Walhal berlambak bukti jelas di depan mata.
No comments:
Post a Comment