Sunday, April 12, 2009

TRADISI PAK LAH DIKEKALKAN NAJIB : GUNAKAN ORANG AGAMA!

Cerita orang agama atau ulama' dalam parti politik bukan perkara baru dalam politik negara. PAS sejak lama memang sudah sinonim dengan orang agama. Dengan latar bekalang yang berteraskan perjuangan Islam, mudah bagi ulama' berjinak dan mendapat tempat dalam kepimpinan PAS. Tidah sah rasanya dalam kepimpinan PAS di mnana-mana peringkat tanpa kelibat ulama'. Cuma yang terkenal dan dikenali ramai- menyertai PAS secara berbondong-bondong sejak tahun 1998 lagi. Kita mengenali figur dihormati seperti Dato' Ismail Kamus, Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Ishak Baharom (almarhum) dan Dato' Dr Haron Din. Mereka ini mewarnai pentas PAS sejak itu hingga kini.

Memang PAS tidak kekeringan ulama'. Ia adalah sinonim dengan perjuangan Islam PAS sejak dahulu hingga kini. Kalau disebut lubuk ulama', Dewan Ulama' pembekal utama tenaga Ulama'. boleh dikatakan PAS mengangkat darjat para ulama' sehingga dijadikan rujukan dan pemimpin utamanya. PAS tidak bermain-main dalam soal ini. Majlis Syura Ulama' adalah pemandu utama PAS dalam menentukan hala tuju. ke kiri kata Majlis Syura, maka ke kirilah PAS. Ke kanan Majlis Syura kata, maka semua haluan PAS akan ke kanan. Inilah istimewanya PAS kerana meletakkan 'pewaris Nabi' sebagai rujukan utama.

UMNO sejak akhir ini sering kali pula menggunakan ulama' sebagai landasan mereka merapati golongan agama. Langkah ini dikesan sejak tahun 2004, apabila Pak Lah meletakkan beberapa nama yang dianggap ulama' sohor sebagai calonnya. Dato' Firdaus (bekas Imam besar Masjid negara) yang sering keluar masuk TV tiba-tiba menjadi bualan apabila dicalonkan melawan Datin Seri Wan Azizah di Permatang Pauh. Bekas orang kuat Dr Haron Din, Dr Amran Kasimin pula tiba-tiba menjadi calon UMNO di Bangi. Beliau menang di DUN Bangi sepenggal. Selain beliau, Dr Masyitah Ibrahim, bekas penceramah TV 1 juga tiba-tiba bertanding dan menang di Baling. Beliau digunakan untuk menentang ulama' juga iaitu Ustaz Taib Azzamuddin. Di Perak, Kapten Najmuddin Elias tanpa disangka adalah orang UMNO pula. Beliau bertanding dan menang di DUN Perak. Begitulah dua tiga orang yang agak dikenali, mulanya disangka 'neutral', tiba-tiba menyertai UMNO.

Kesemua mereka yang menyertai UMNO sekadar dijadikan perkakas dan hiasan semata. Lihatlah dimana mereka ditempatkan. Dr Masyitah diangkat sebagai Timbalan Menteri. Namun apa tugas yang diberikan kepada beliau kalau bukan sekadar pelengkap kabinet Pak Lah dan Najib kini. Tidak ada hukum yang dirujuk kepada mereka ini. Di mana kenyataan berkenaan Islam Hadhari yang dicipta akhir zaman ini dari mulut ulama' UMNO? Mana pula kenyataan keras menentang rasuah, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa dari mulut-mulut mereka? Tidak pula kedengaran amaran amar ma'aruf nahi mungkar lahir dari ulama' yang menyertai UMNO. Bagi mereka saat itu telah menjadi halal.

Kabinet baru Najib nampaknya ada seorang lagi ulama' yang menyertainya. Mej- Jeneral Dato' Jamil Khir tidak pernah dikesan aktif dalam UMNO. Akhirnya beliau muncul sebagai Menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri. Bertambah pula koleksi ulama' dalam UMNO. Peranannya tidak lain sebagai pelengkap kepada Kabinet Najib di samping untuk mempertaut kelompok masyarakat khususnya yang kuat beragama. Selainnya tidak pula kita ketahui ulama' dalam UMNO sebagai penasihat, tempat rujukan hukum, atau sebagai pengawal syariah UMNO.

Kita mengharapkan supaya ulama' dalam UMNO mampu setidak-tidaknya membuka ahli-ahlinya agar menjauhi rasuah, jenayah, serta sedar di mana kedudukan UMNO sekarang. Ataupun mereka ini sekadar menjauhkan lagi UMNO kepada Islam dengan pelbagai slogan retorik dan hukum yang sudah diubah menjadi halal mengikut suasana zaman yang sedang berputar. Harap-harapnya mereka kembali ke pangkal jalan.

No comments: