Friday, February 27, 2009
BAYANGKAN KALAU INSIDEN DI PARLIMEN SEMALAM DILAKUKAN OLEH ORANG PAS...
Akibat ucapan beliau yang telah pun ditarik balik, pemuda MNO Selangor naik berang dan menahannya. Dua orang Ahli Parlimen PKR dan DAP cuba membantu Karpal lalu terjadilah insiden tarik menarik, tolak menolak. Di Parlimen pun boleh jadi medan pergaduhan.
Yang musykilnya ialah parlimen adalah kawasan di bawah kawalan sekuriti yang ketat. Penuh dengan protokol dan keseragaman. Ada mesin pengimbas untuk menjaga keselamatan. Penuh dengan UTK yang sedia berkhidmat bila-bila masa untuk 2 orang pemimpin tertinggi negara, PM dan TPM. Ramai juga polis dan pengawal peribadi. Tetapi masih ada juga ruang untuk pencerobohan dan provokasi. Kalau ia berlaku sesama ahli Parlimen munasabahlah sedikit. kerana Parlimen adalah medan mereka bergasak. Tetapi apabila melibatkan orang luar yang mencetuskan pertelingkahan dan menahan Ahli Parlimen di dalam kawasan Parlimen, ia dianggap pelik dan berbahaya.
Adakah Parlimen sudah tidak selamat lagi buat Ahli Parlimen? Saya masih teringat sekitar setahun beberapa bulan yang lepas, ketika sibuk dengan gelombang Himpunan Bersih. Apabila ura-ura hendak diadakan himpunan di kawasan Parlimen, maka sibuklah gerombolan polis, tentera, unit FRU, SB dan lain-lain berkawal dan berkubu di depan pintu masuk Parlimen. macam nak halang serangan Israel lagaknya. Apabila beberapa orang aktivis dan pemimpin Bersih berjalan ke arah Parlimen belum apa-apa lagi telah ditangkap. Begitu juga berlaku terhadap Dato' Mustafa Ali yang sudah pun berada dalam Parlimen. Apabila beliau membuat sidang akhbar, sejurus selepas itu beliau ditangkap bersama Tan Sri Khalid Ibrahim. Gaya menangkap penjenayah besar lagak mereka. Sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa. Sekadar menyerahkan memorandum dan kemudiannya mengadakan sidang akhbar. Ditangkap sedemikian rupa.
Tetapi apabila kejadian lebih buruk berlaku di dalam ruang legar Parlimen yang melibatkan UMNO, maka Polis seakan menikus. Tiada tangkapan, tiada serbuan, tiada kawalan ketat. Malahan jeritan Karpal meminta bantuan polis juga tidak diendahkan. Mereka seakan membalas dendam dan hanya menurut perintah UMNO semata. Bezanya darjat UMNO dan Pakatan Rakyat. Kalau ini terjadi kepada mana-mana wakil rakyat BN yang diserbu oleh ahli PAS dan penyokongnya maka hebohlah seantero dunia. Tujuh hari tujuh malam menjadi tajuk berita utama. Pasti ISA atau apa-apa tindakan keras dikenakan. Beruntungnya UMNO menjadi 'bapa angkat' polis.
Ini bukan sebuah imaginasi saya semata. Tetapi menjadi kenyataan dan realiti semasa. Cuba lihat kepada demonstrasi di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar beberapa minggu lepas. Apakah tindakan polis dan FRU dalam menangani demo tersebut? Berpuluh gas dilepaskan. Mangsa tak kira siapa. Kanak-kanak, warga emas, OKU semua kena. Berapa ramai kena tangkap? lebih kurang 9 orang. Bandingkan pula demonstrasi anjuran UMNO baru-baru ini. Demonstrasi menyokong Sultan kononnya (padahal merekalah yang meruntuhkan institusi istana). Berapa ramai polis bertugas mengawal demonstrasi mereka? Kenapa polis menjadi pasif apabila ia dianjurkan UMNO? Berapa ramai tertangkap? Berapa gas pemedih mata dilepaskan?
Walaupun ada demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat tiada tindakan ganas diambil polis, tetapi bandingkan ia dengan anjuran UMNO. Kalau UMNO pasti tidak pernah ada apa-apa tangkapan. Alahai "anak emas" UMNO. Dan kaum sebegini masih dianggap pejuang, wira rakyat, pemberani dalam keadaan tidak pernah diuji dengan apa pun.
Dan lagi, mereka masih dianggap mempunyai kesantunan dan tahap profesional yang tinggi meskipun sanggup mencemar Parlimen dengan insiden seperti ini dan lain-lain yang memalukan. Mereka masih dianggap pembela Sultan walaupun menghina Agung dengan bahasa 'natang' tahun sudah. Hebat UMNO kerana memiliki tukang "putar alamnya" yang hebat. Buatlah apa pun UMNO akan ditulis sebagai spesis yang berbudi bahasa, bersopan santun, dan bertimbang rasa.
SEJAUH MANA KUDRAT SPRM BERTINDAK ATAS DAKWAAN PEMBANGKANG?
Pendedahan balas oleh Tan Sri Khalid membabitkan Dato' Seri Dr Khir Toyo berkaitan urusan hartanah di Mekah yang melibatkan RM17 juta penyelewengan yang berlaku sangat sensasi. Di tambah pula dengan dakwaan dua ADUN Pakatan Rakyat di Perak bahawa mereka pernah disogok oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak untuk melompat parti. Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen mendedahkan ada video dirakam pegawai SPRM untuk memerangkap pemimpin UMNO yang melakukan aktiviti 'jual beli' wakil rakyat PKR.
Pastinya kesemua pendedahan dan laporan ini menguji wibawa dan akauntabiliti SPRM khususnya Pengerusinya. Kalau mungkin selama ini Dato' Ahmad said berpendapat kes melibatkan pemimpin UMNO-BN ditutup kerana tiada bukti, adakah kali ini kes seperti ini turut menerima nasib yang sama. Adakah pula bukti yang tiada tiba-tiba menjadi kukuh untuk didakwa apabila ia melibatkan pemimpin pembangkang. Pengerusi SPRM kini sedang dinilai kejujurannya.
Najib pula, melatah dan mengancam untuk mengambil tindakan keras kalau laporan dua ADUN tersebut palsu. Kenyataannya berbaur gugatan kepada kredibiliti sebuah jabatan pencegahan rasuah ini. Seakan-akan Najib mahu menyatakan beliau pasti akan bertindak keras terhadap dua ADUN ini walau apapun keputusan SPRM. Juga hendak memberitahu SPRM jangan memandai-mandai menyiasat kes yang melibatkannya. Patutnya sebagai seorang yang dituduh dan disyak, beliau perlu terus menyerahkan kepada ketelusan siasatan. Jangan buat kenyataan berbaur ugutan.
SPRM pula diingatkan jangan terpengaruh dengan apa-apa juga kenyataan dari bosnya. SPRM perlu menyiasat siapa saja yang terlibat dengan rasuah, tanpa selektif dan bias. Biarlah yang bakal ditangkap nanti sama ada pembangkang ataupun majikannya sendiri. SPRM perlu bertegas. Kiranya ini mampu dilakukan, maka tinggilah penghormatan rakyat kepada SPRM.
Sebaliknya pula, kalau momentum siasatan dan dakwaan yang bersifat pilih kasih, selektif, dan berpihak seperti dulu, maka sia-sialah usaha reformasi Jabatan Kerajaan seperti SPRM ini. Tukarlah dengan apa nama sekalipun, lantiklah sesiapa pun Pengarahnya, kalau mentaliti dan cara kerja masih terikat dengan sekelompok individu tertentu yang berada di anjung kuasa maka tiada berguna cara tersebut. Dan kita nantikan skrip lama yang akan digunapakai, tokoh pembangkang akan terdakwa manakala tokoh UMNO bebas bermaharajalela. Alasannya : tidak cukup bukti! Walhal berlambak bukti jelas di depan mata.
KEMUNCAK KEMARAHAN RAKYAT PADA PPSMI
Mujur Pemuda UMNO diselamatkan oleh Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang sudi terima surat pelawaan debat YB Salahuddin Ayub. Surat itu diterimanya di Parlimen bagi mewakili UMNO. Paling tidak, seorang anak muda bernama Khairy ini berjiwa terbuka. Yang lain-lain semuanya enggan terima, dengan risiko takut bertentang dengan polisi dan dasar tertutup UMNO.
Memang itulah budaya UMNO. Suka menafikan dan menyalahkan orang lain. Bila kalah Pilihanraya Umum disalahkan pengundi. Apabila pengundi muda menolak UMNO dikatakan anak-anak muda ini tidak berjiwa patriotik, tidak ada semangat kebangsaan, tidak bersyukur. Apabila sesuatu dasar ditentang maka dihalakan kesalahan itu kepada rakyat. Apabila gagalnya suatu dasar kerajaan, maka dituding kepada rakyat sebagai punca. Inilah perangai UMNO.
Seperti PPSMI ini, berpuluh memorandum, rapat umum, ceramah penerangan, surat bantahan, sidang media, dialog dan pertemuan diadakan. Sudah acap kali suara kritis bergema mengumandangkan bantahan pada PPSMI. Sehinggakan Sasterawan Negara, A. Samad Said terpaksa turun padang mencemar duli membasah jiwa kontang kemarahan rakyat. Pun tiada layanan. Akhirnya bersuara pula puak PIBG seluruh negara menyokong pemansuhan PPSMI. Mereka menggertak untuk turun sama ke jalan raya berdemosntrasi andai kerajaan masih bebal mengekalkan PPSMI.
Sudah enam tahun dasar PPSMI ini dididik diperingkat sekolah. Penafian UMNO menyatakan ia berjaya melahirkan pelajar cemerlang. Hakikatnya di kampung-kampung, pelajar-pelajar cenderung menjawab soalan periksa dalam bahasa ibunda mereka. ramai juga merasa pelik apabila keputusan PMR dan SPM diumumkan mereka lulus dengan baik. Walhal di peringkat percubaan sekolah tidak pernah lulus pun. Adakah sesuatu rahsia telah disimpan oleh kerajaan, dengan menurunkan gred lulus kepada suatu tahap yang ramai pelajar lemah mampu mencapainya? Ini suatu misteri.
Kemarahan rakyat kini sudah di kemuncaknya. Percubaan enam tahun memburukkan keadaan. Pelajar seakan mengeja dan menterjemah bahasa dahulu baru boleh menjawwab soalan periksa. Semua pihak berganding bahu dan bersetuju GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) patut berarak ke jalan raya. Nama Dato' Dr Hassan Ahmad menjadi terbilang sebagai pejuang bahasa. A. Samad Said akan dikenang seberani Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, dan Dr Burhanuddin al Helmi yang kental menentang penjajah. Manakala tokoh-tokoh besar PPSMi yang sanggup bergelumang beberapa tahun ini turut harum sebagai pelopor kebangkitan perjuangan bahasa. UMNO telah lama ketinggalan, dan tiada lagi cop mohor sebagai pejuang Melayu. Mungkin telah menjadi petualang Melayu.
Apapun, nantikan 7 Mac 2009 ini di Istana Negara. Rakyat Malaysia yang cintakan pendidikan dan Bahasa Ibunda akan berarak merafak sembah ke Yang Di Pertuan Agong memohon restu campurtangan agar mengajar kerajaan sombong BN. Ayuh, kita menghukum kebiadapan pemimpin retorik Melayu ini. jadikan tarikh itu sebagai keramat pembuka sejarah lembaran baru di Malaysia.
Saturday, February 21, 2009
SPRM SENGET SEBELAH
SPRM bertindak cepat dengan menjadi peguam cara dalam kes ini. Amat cekap Dato' Said Hamdan mengeluarkan kenyataan untuk mendakwa MB Selangor sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan dan belum difailkan lagi. Kalau dilihat dari neraca kasar ia tidak menjadi kesalahan bagi Ketua sebuah agensi penguatkuasaan rasuah bertindak demikian. Tetapi jika dilihat dari sudut mendalam, kenyataannya berbaur ugutan. Masakan seorang ketua agensi penguatkuasaan telah awal-awal isytihar untuk mendakwa seseorang sedangkan kesnya belum difailkan di mahkamah? Logiknya, tindakan ini memberi implikasi buruk kepada MB Selangor pada tanggapan masyarakat. Ini yang dimahukan UMNO dan SPRM bertindak sangat bijak. Kalau awal-awal tanpa tangkapan dan penguatkuasaan MB Selangor telah diisytiharkan untuk diambil tindakan, bukankah pelakunya boleh mengambil tindakan lain seperti melarikan diri, menyembunyikan fakta dan dokumen, saksi dan lain-lain? Bukankah penjenayah perlu dijerat dan dirahsiakan dahulu agar umpan benar-benar mengena. Amat lucunya proses perundangan negara akhir-akhir ini.
Dato' Seri Anwar Ibrahim pula meletupkan parlimen dengan pendedahan bagaimana ADUN Bukit Selambau telah diugut dan dipujuk. Telah 3 kali bekas ADUN ini melaporkan kepada pihak polis dan SPRM tetapi apakah tindakan SPRM? Kenapa lambat bertindak dan tidak membuat apa-apa kenyataan berkaitannya?
Di Perak pula, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bagaiman konspirasi yang dirancang di peringkat tertinggi untuk memujuk dan membeli wakil-wakil rakyat PKR untuk bersama BN bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat. Dalam Ucapan menjunjung Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agung, DSAI mendedahkan secara jelas, terperinci tanpa selindung menggunakan saksi hidup permainan kotor UMNO-BN melakukan rasuah...
"Dalam Surat Akuan bersumpah oleh Fauzi Muda [Ketua Bahagian PKR Ipoh Barat], beliau mengaku bahawa pada 11 Mac 2008, beliau telah dibawa bertemu untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di kediaman resminya di Putrajaya. Beliau mendedahkan, “Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Najib telah merayu kepada saya agar dapat membantu bagi memujuk sekurang-kurangnya dua orang ADUN Negeri Perak dari PKR agar lompat kepada UMNO atau menjadi sebagai wakil Bebas. Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM 50 juta bagi tujuan tersebut dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana ADUN PR yang mahu lompat.”..
Dalam akuan bersumpah Fauzi Muda, beliau mendedahkan lagi, “Usaha mereka memujuk saya bagi tujuan tersebut semakin kerap semenjak kes dua Exco PKR yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Mereka mensasarkan kedua-dua Exco tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari Tahun Baru Cina dimana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut bersetuju untuk melompat dari PKR, Dato’ Seri Najib bersedia membayar sebanyak RM 5 juta bagi setiap orang termasuk habuan untuk saya RM 5 juta.”
8. Percubaan menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memuncak sejurus Timbalan Perdana Menteri mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri Perak berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Mohd Tajul Rosli selepas ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar UMNO dan dengan rela hati menyertai PKR pada 25 Januari 2008.
9. Secara mendadak, Negeri Perak dikejutkan pula dengan kehilangan dua exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang. Begitu juga dengan kehilangan ADUN Jelapang dan ADUN Bota sehinggalah mereka muncul dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri pada 4 Februari 2009. Dalam sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengumumkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang dengan dakwaan BN kini mempunyai majoriti. Kesemua sandiwara ini berlaku dengan latarbelakang insiden ADUN-ADUN diculik, disembunyikan, diugut atau dirasuah."..
Dalam hal ini, dimanakah peranan SPRM? Mengapa tidak bertindak segera sebagaimana mereka bertindak terhadap pimpinan Pakatan Rakyat?
Di Kedah pula, dua orang ADUN dari PKR cuba dibeli. Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di parlimen yang saya petik berikut....
"Saya mendapat laporan bahawa pada 11 April 2008 ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee dari PKR, telah dihubungi untuk oleh seorang ejen BN yang mewakili Datuk Seri Mahazir Khalid (Pengerusi BN Kedah dan bekas MB) untuk memujuk supaya YB Lim lompat parti daripada PKR ke BN dengan tawaran RM 4 juta. Tawaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM 5 juta. Perjumpaan juga boleh diatur untuk menemukan YB Lim dengan Datuk Seri Mahazir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim ini diganggu dengan tawaran dan pujukan melompat parti sepanjang bulan April, Mei, Jun dan Julai 2008.3. Apa yang mengejutkan saya, ADUN Lunas YB Lim telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah berhubung hal percubaan ejen-ejen BN untuk membeli beliau. BPR bersetuju mengatur strategi dan menjadikan YB Lim sebagai “umpan”. Pertemuan demi pertemuan diatur oleh ejen-ejen BN dengan YB Lim dan kesemuanya ada dalam makluman dan pemantauan BPR.
4. Kemuncak pemantauan ini ialah pertemuan di antara bekas MB Kedah dengan YB Lim di sebuah botel di Seberang Jaya pada akhir 2008. Pertemuan ini dirakam melalui CCTV yang diatur dengan pengetahuan BPR. Tiada tindakan susulan diambil, sebaliknya saya difahamkan pegawai BPR yang bertanggungjawab dalam operasi ini kemudiannya ditukar.
5. Dalam kes bekas Exco Kedah Arumugam A/L Vengatarakoo yang meletak jawatan baru-baru ini, saya telah diberitahu pelbagai ancaman dan ugutan telah dilakukan terhadap beliau. Tiga repot polis telah dibuat mengenai ancaman tersebut.
6. Pada 1 April 2008, pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/005907/08] bahawa beliau menerima panggilan telefon yang mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan terlalu aktif dalam politik dan sekiranya ingkar akan berlaku perkara yang tidak baik seperti mendiang Joe Fernandez [ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu].
7. Pada 18 Oktober 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/020426/08] bahawa beliau bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya apabila didatangi oleh dua lelaki yang mempunyai niat serong terhadap Arumugam."
Soalnya, apakah tindakan yang telah dibuat SPRM? Telah sah sejak sekian lama SPRM berlagak seperti parti komponen Barisan Nasional dengan menafikan apa juga dakwaan dan bukti daripada mana juga sumber oleh Pakatan Rakyat. Tetapi sekiranya ia melibatkan dakwaan daripada pemimpin Barisan Nasional cepat-cepat mereka melompat bertindak.
Cuba lihat, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan maklumat tersebut dituduhnya Penasihat PKR ini cuba membantutkan kerja mereka. Inilah sikap hipokrit SPRM yang telah diketahui umum.
Oleh kerana itulah wajar rakyat meragui kewibawaan SPRM. Kita bukan melindungi mana-mana pesalah rasuah. Sekiranya benar bersalah silakanlah mengambil tindakan sewajarnya. Tetapi mengapa tindakan SPRM hanya sebelah pihak sahaja. Mengapa dosa-dosa Khir Toyo, Najib Tun Razak, Pak Lah sendiri dan ramai lagi menteri disapu di bawah karpet sedangkan tuduhan rasuah melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat ditelanjangkan sehabisnya?
Dato' Said Hamdan wajar meletakkan jawatannya demi memelihara integriti SPRM. Beliau tidak layak menerajui agensi ini dengan sikap berat sebelahnya.Rakyat kini telah hilang hormat dan percaya pada PDRM, Mahkamah, SPR, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan SPRM telah lama menjadi koleksi kebencian rakyat Malaysia.
Tuesday, February 17, 2009
AKANKAH PAK LAH TERUS BERKUASA SELEPAS 1 APRIL 2009?
Meskipun ada angin-angin yang inginkan agar Pak Lah mengekalkan kuasanya, tetapi arus itu sangat perlahan. Cadangan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz supaya Pak Lah terus kekal memimpin Malaysia bolehlah dianggap pandangan kecil daripada seorang pemimpin besar PAS. Beberapa gesaan menunjuk Pak Lah terus berkuasa ibarat menyalak bukit.
Rasa-rasanya tidak ada kuasa apa lagi yang dapat menghalang kemaraan Najib selaku Perdana Menteri ke enam. Hanya kuasa Allah swt dapat menyekat saat-saat akhir kemahuan besar Najib. Selain daripada itu adalah faktor sampingan yang mengecil. Saat ini seharusnya Najib sudah boleh menarik nafas lega. Liku-liku jalan ke seri Perdana semakin hampir. Beliau boleh menghitung hari dan juga mencatur orang-orang sekelilingnya. Seperti Barrack Obama ketika telah sah memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat. Tidak perlu gusar dan khuatir Bush bermain curang sebaliknya. Kerana masa telah menentukan beliau akan memasuki Rumah Putih.
Dalam keadaan semua berkeyakinan begitu, gerombolan pimpinan tertinggi UMNO merasa kurang yakin proses ini berjalan dengan baik. Tun Dr Mahathir dengan suara keras seperti biasanya menghentam habis-habisan Pak Lah. Beliau merasa curiga Pak Lah akan memberikan kerusi nombor satu negara dengan mudah kepada Najib. Digambarkan seolah-olah Pak Lah akan kekal berkuasa sebagai PM manakala Najib hanya berada sebagai Presiden UMNo semata-mata. Digambarkan sebagai sebuah khayalan bahawa orang 'tingkat empat' sedang menyusun strategi agar perencanaan lain berlaku, bukan peralihan kuasa.
Penyokong Najib juga merasa cemas dengan keadaan begini. Seolah-olah tidak yakin peralihan kuasa akan berlaku Mac ini. Sempat terdengar juga di telinga saya, pelbagai rumus menyatakan Pak Lah akan mengambil tindakan desperado dengan membubarkan UMNO. Lalu pembubaran ini memaksa Pak Lah untuk kekal memimpin negara. Ada juga teori liar menyatakan Najib akan tersungkur di mahkamah akibat pendedahan Sirul Azhar dan Azilah Hazri. Ini adalah andaian yang saya kira janggal untuk berlaku.
UMNO tidak akan mengheret Najib ke muka pengadilan. Beliau kini kebal dari sebarang tindakan. Kerana kalau Najib boleh diheret di mahkamah, maka reputasi UMNO akan jatuh berkecai. Maka tatkala itu UMNO hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah. Mana boleh Presiden UMNO terpalit dengan jenayah hitam. Tak mungkin seberani itu Pak Lah dan Khairy.
Di PWTC sehari dua ini tersebar risalah memburukkan Pak Lah dan mendesak Pak Lah meletak jawatan. Mengapa sebegitu terdesak proksi UMNO ini bertindak mendesak Pak Lah yang memang pasti akan meletak jawatan. Saya berandaian sekiranya Pak Lah terus kekal berkuasa, imejnya juga turut jatuh. Beliau akan dimusuhi oleh juak-juak UMNO. Apatalah lagi dengan pihak pembangkang.
Sebenarnya Najib lebih takut andainya terbongkar sedikit dari kisah sebenar pembunuhan Altantuya. Beliau amat cemas kalau-kalau Sirul terbuka mulut melafazkan namanya sebagai salah seorang pengarah utama di sebalik pembunuhan itu. Maka untuk mengaburi fokus rakyat, dihidangkan dengan isu derhaka, rampasan kuasa dan isu bogel Elizabeth Wong. Bahkan diaturnya proksi-proksi beliau agar mendesak tanpa pilihan Pak Lah supaya meletakkan jawatan. Dengan cara itu Najib akan naik ke puncak kuasa. apabila kuasa di tangan Najib, mahkamah manakah yang mampu bersuara benar? Polis manakah yang mampu menyiasat secara telus dan teliti? Tentera manakah yang mampu bersikap profesional tanpa arahan dari atas yang mampu mengubah sikap berkecuali mereka? Istana manakah yang tidak terpasung kaki dan tangan mereka? Nak harapkan SPR? SPRM? Peguam Negara? tatkala itu semuanya di hujung telunjuk Najib, dan Rosmah sutradara utamanya.
Di akhir episod ini, bermulalah awan hitam menyelubungi demokrasi Malaysia. Usah mengharapkan padang yang sama rata, kerana padang yang senget sebelah itupun digari tangan dan kaki rakyat. Itulah Najib sang penguasa. Dan beliau akan lakukan sapa sahaja terhadap sesiapa sahaja, meskipun membunuh sepuluh orang Altantuya yang dibom berkecai. Siapa peduli?
Sunday, February 15, 2009
DUHAI SPR.. CUKUPLAH MENJADI BARUA UMNO.
Perdana Menteri turut cuba berusaha di akhir karier politiknya supaya dilihat bersih dari sebarang kongkongan terhadap jentera kerajaan. Janji beliau cuba dipenuhi dengan pencen wajib dikenakan terhadap Tan Sri Rashid. Umum melihat ia suatu berita gembira apabila dirasakan demokrasi semakin berjalan di atas padang yang sama rata.
Apabila Pilihanraya Kecil di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terenganganu berlangsung dengan keputusan yang baik buat Pakatan Rakyat, imej dan kredibiliti SPR semakin dijulang. Semakin terserlah telahan rakyat, kalaulah demokrasi seperti ini sudah lama berlaku, maka sudah pasti kerajaan Malaysia juga turut telah lama bertukar ganti.
Namun bukan setiap hari hujan rahmat akan turun membasahi bumi. Bukan semua kuku SPR mampu ditajamkan. Bukan semua sayap jentera kerajaan dilepaskan sebebasnya. Tiba-tiba negeri Perak diuji dengan ujian besar dan SPR benar-benar teruji ketrampilannya. Baru benar boleh dilihat bayang-bayang sebalik tabir SPR, siapakah yang memainkan peranannya.
Semua terkejut dengan pengumuman SPR yang langsung bercanggah dengan fungsi dan peranan penubuhannya. Belum pernah terjadi dalam sejarah SPR boleh menyanggah keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri. Ini telah terjadi dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Apabila melihat kecurangan dua ADUN yang telah berikrar taat setia dan sekiranya mereka melompat, maka dengan secara automatik bermakna mereka akan mengosongkan kerusi tersebut. Ini termaktub dalam surat janji setia kesemua Adun PKR dan DAP seusai PRU ke 12 lalu. Maka jalan penyelesaiannya ialah memulangkan kembali amanah ini kepada rakyat. Ini yang telah dilakukan oleh Speaker DUN Perak. Namun malangnya, SPR telah menolak kesaksian ini, lalu membenarkan kedua-dua ADUN ini terus berkhidmat hanya hasil dari surat penafian perletakan jawatan mereka berdua.
Kesannya berlakulah episod berantakan yang hebat. Meleret-leret sehingga ke pihak Istana Perak. Sultan pula menjadi mangsa kerakusan mainan politik UMNO-BN.
Tugas asasi SPR adalah menjalankan Pilihanraya. Ianya mestilah disahkan terlebih dahulu dari Speaker. SPR tidak berhak mempersoalkan kesahihan jawatan ADUN atau mana-mana Ahli Parlimen yang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker melalui surat rasmi. ADUN atau Ahli PArlimen berkenaan hanya boleh mencabar Speaker di mahkamah. SPR mesti menyambut surat pengisytiharan tersebut lalu melaksanakan sebuah pilihanraya tidak lebih dari 60 hari. Tugas ini semua tahu. Selama ini tidak pernah berlaku sebarang permasalahan antara tugas SPR dan Speaker.
Dalam hal ini, SPR cuba bermain wayang dengan rakyat. SPR tersepit antara keadilan yang didokong rakyat dan Pakatan Rakyat dengan kehendak selera pemimpin UMNO-BN. Lalu terserlah wajah sebenar kelakonan SPR. Sanggup diketepikan wibawa demi memenuhi kepuasan UMNO-BN.
Dalam keadaan apapun UMNO-BN cuba menjauhi Pilihanraya. Pelik kerana UMNO mendakwa merekalah gergasi di Malaysia. Parti lainnya adalah kerdil belaka. Tetapi tidak dalam Pilihanraya akhir-akhir ini. Pilihanraya Kecil bermakna UMNO-BN terpaksa berbelanja besar berjuta ringgit untuk membeli undi. Pilihanraya bermakna UMNO-BN terpaksa berperang dengan rakyat, jentera Pakatan Rakyat bahkan dengan jentera dalamannya sendiri. Pilihanraya bermakna tembelang jahat mereka akan terbuka dan dinilai oleh rakyat. Terutama dalam menghadapi gawat Pemilihan Agung UMNO bulan Mac ini. Inilah yang mereka geruni sekarang.
Dalam ekadaan begitu takdir Allah, berlaku juga Pilihanraya Kecil di dua Bukit. Antara Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mahu atau tidak UMNO-BN terpaksa berhadapan dengan PRK kedua-dua tempat ini. Ironisnya, kedua-duanya memberikan makna yang besar kepada semua pihak- sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Bukit Gantang penting bagi mengukur kehendak rakyat di Perak. Apakah rakyat bersama YAB Dato' Seri Nizar atau Zambry yang baru diangkat menjadi Menteri Besar kedua? Ia sangat penting adakah protes berlaku dari kalangan rakyat terhadap Istana atau sebaliknya. Manakala Bukit Selambau memberi makna yang besar terhadap sebuah kerajaan negeri. Kedah akan goyang andainya BN kembali memerintah Bukit tersebut.
Dalam keadaan begitu penantian terhadap jawapan SPR ditunggu, dan jawapannya sekali lagi sangat dipersoalkan. Kekosongan kedua-dua kerusi tersebut berlaku hari ini, tetapi Hari Penamaan Calon jatuh pada 29 Mac manakala Hari Mengundi pada 7 April. Berlaku serentak di dua kawasan.
Pengumuman Pengerusi SPR sekali lagi mengundang kontroversi. Adakah seakan dirancang dibelakang tabir, supaya jangan mengganggu gugat Jadual Pemilihan Agung UMNO pada 24-28 Mac nanti. Mengapa tarikh penamaan calon dipilih pada 29 Mac, iaitu sehari selepas pemilihan Agung UMNO? Adakah Pilihanraya berlangsung mengikut jadual dan tarikh mesyuarat Agung UMNO? Pilihanraya Kecil di DUN Kuala Berang tiga tahun lepas berlangsung dalam kecamuk PAS mengadakan Muktamar di Kota Bharu. tatkala itu tiada sesiapa mahu menentang keputusan SPR yang 'dianggap' tidak memihak.
Tetapi dalam urusan PRK di Dua Bukit SPR seakan menanti kata putus Pak Lah atau Najib bagi penentuan tarikhnya. Inilah keanehan yang wajar dipersoalkan. Dan kini ternyata bahawa SPR masih jentera UMNo dan peranannya masih sebagai sayap utama UMNO-BN. Cuma ia cuba disembunyikan lebih halus daripada dulu. Namun 'bau bangkai'nya telah mula dihidu. Duhai SPR... selama 50 tahun menjadi buruh paksa UMNO-BN, cukuplah. Biarkan sekali ini dan selepasnya rakyat pula menjadi kuasa menghakimi kezaliman UMNO-BN. Dan kami Pakatan Rakyat sedang datang untuk membebaskan kamu dan seluruh jentera kerajaan daripada pasungan kezaliman ini, menjadi bebas seadilnya untuk semua!
Wednesday, February 11, 2009
CULIK, UGUT, PUJUK MENJADI TREN BARU UMNO MEMBELI WAKIL RAKYAT
Dalam pemilihan UMNO pula, budaya membeli perwakilan dengan duit adalah sebati dengan cara gerak kerja UMNO. Mereka tidak boleh hidup tanpa wang dan tanpa belian perwakilan. Kemudiannya budaya ini menular sehinggalah terjadinya baling kerusi, tumbuk menumbuk, pulau memulau, dan lain-lain lagi. Semua ini berkisar kepada satu matlamat- iaitu mabukkan kuasa.
Tren UMNO kini telah mencambah dan mengenai hampir sesiapa sahaja. Daripada rakyat miskin di kampung-kampung - mereka diugut dan dipujuk sedemikian rupa, kepada mahasiswa - diugut dan ditekan, kepada kakitangan kerajaan - dengan akujanjinya, sehnggalah membawa kepada wakil rakyat.
Yang menggerunkan kita ialah cara UMNO bertindak tanpa mengenal erti kemanusiaan dan rasa bersalah. Dalam kes dua ADUN di Perak, bahkan Dato' Nashaurddin ADUN BOTA yang meninggalkan UMNO, cara UMNO (lebih tepat Najib) amat memualkan. Beberapa pendekatan agresif dikenalpasti sebagai trade mark UMNO (Najib) terkini.
Ia akan dimulai dengan berita kehilangan ADUN-ADUN tersebut. Terbaru kes kehilangan Adun Bukit Selambau, Arumugam. Kehilangan mereka adalah diculik dalam satu operasi melibatkan pasukan keselamatan. Kemudian mereka akan diugut, digertak dan ditekan supaya 'lompat parti'. seperti kes Arumugam yang tidak tahan akibat didera dan diugut membawa kepada perletakan jawatannya. Keluarganya diugut, rumahnya disimbah cat, beliau pernah cuba diculik. Hari ini ternyata beliau diculik. Akhirnya ADUN-ADUN ini akan mengaku kalah dan turut serta 'lompat' bagi meredakan keadaan diri mereka.
Najib adalah perancang utamanya. Beliau belum menjadi Perdana Menteri tetapi telah menunjukkan belangnya sebenar. Penculikan adalah sinonim dengan budaya kerja Najib. sebelum ini Altantuya telah diculik. Mayatnya bersepai dibom. Kemudian kes Bala yang pernah menggemparkan negara dengan pengakuan bersumpahnya bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Sehari kemudian menarik balik afidavitnya dan terus hilang tanpa dapat dikesan. Beliau kini tersenarai antara individu yang hilang umpama Sharlinie.
Kes 'Kehilangan' menjalar kepada wakil rakyat pula. Akhirnya Arumugam turut hilang tanpa dapat dikesan. Pengakuan Arumugam bahawa beliau ditekan dan diugut sedemikan rupa wajar menjadi pertimbangan kita. Betapa aspek keselamatan calon dalam keadaan sekarang patut menjadi keutamaan. Ini hanya kerana tindakan terdesak UMNO memungkinkan apa sahaja boleh berlaku- hatta membunuh.
Pengakuan Arumugam bahawa beliau diugut juga perlu diberikan perhatian oleh SPRM. Rasuah telah menjadi parah sehinggakan wakil-wakil rakyat secara terang-terangan boleh dibeli. Mereka juga telah diugut keras. Soalnya apakah pertimbangan SPRM untuk membuka fail penyiasatan dan mensabitkan Najib sebagai konspirator tertinggi, sehingga mampu mengheret Najib dalam mahkamah terbuka dan telus, seperti mana janji Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Babak baru sedang dibuka, dan sama-sama kita saksikan kelakonan SPRM dalam adegan ini.
Monday, February 9, 2009
KEMBALI KE GELANGGANG PILIHANRAYA: SEKALI LAGI DI PERAK
Kita dikhabarkan dengan berita sedih kepulangan Almarhum YB Hj Roslan Shaharum ke rahmatullah semalam. Rasa-rasanya saya baru bertemu dengan beliau kali terakhir pada hari Jumaat semasa Himpunan di rumah MB Perak. Tiada apa-apa tanda bahawa beliau akan dijemput Allah swt disisiNya.
Sepanjang saya bersama PAS secara sepenuh masa, inilah ujian yang paling berat buat pendokong-pendokong agamaNya. Kita baru disingkirkan secara biadap dalam kerajaan Perak. Kita baru mencabar UMNO-BN untuk mengadakan Pilihanraya Kecildi DUN Perak. Tiba-tiba Allah memberikan ujian kita dalam bentuk kehilangan MP PAS di kawasan di Perak. Mahu atau tidak, kita terpaksa berdepan dengan Pilihanraya kecil. Allahuakbar. Mungkin ada sesuatu yang Allah hendak sampaikan kepada kita semua sebagai ahli PAS.
Inilah medan menguji kesetiaan rakyat, pendokong dan ahli-ahli PAS keseluruhannya. Persoalan sama ada PAS mendapat sokongan rakyat akan teruji di Bukit Gantang. Sementara di Bukit Selambau pula berita perletakan jawatan ADUNnya menggamit kita untuk bertandang dalam Pilihanraya Kecil.
Semua ini ada hikmahnya. Buat pendokong PAS, kita akan turun bermati-matian mempertahankan kerusi Bukit Gantang, begitu juga di Bukit Selambau. Biar kita mati berkalangkan tanah, daripada hidup bercerminkan bangkai.
Semoga Allah swt merahmati roh Almarhum Hj Roslan Shaharum dan menempatkan beliau bersama mereka yang berjihad di jalan Allah. Alfatihah.
Sunday, February 8, 2009
PERSAMAAN ANTARA PERAK DAN GAZA
Tidak sama Gaza dan Perak dari sudut kemusnahan kebendaan. Memang struktur bangunan masih utuh, kukuh. Tidak ada bedilan bom dan peluru berpandu. Tidak ada Jet F16, Helikopter Apachee, Kereta kebal Abrams atau Merkava. Juga roket-roket yang membelah angkasa.
Mungkin juga tidak sama dari sudut kerajaan Hamas yang dipimpin oleh gerakan Islam dan Perak pula dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang bercampur antara kaum Cina dan India. Kerajaan Perak bukan kerajaan Islam.
Cuma persamaan antara Perak dan Gaza ialah dari sudut matinya demokrasi. Di bumi Gaza, Israel bertindak membelakangkan prinsip kemanusiaan, hak asasi manusia dan pelbagai peraturan. Di Perak, demokrasinya telah dilanggar oleh UMNO-BN. Tidak ada lagi Peruntukan Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh negeri Perak, prosedur perlantikan dan pemecatan Menteri Besar, Undi tidak percaya dan sidang DUN. Yang ada adalah ketamakan, kerakusan dan kedurjanaan UMNO-BN merampas kuasa.
Di Gaza, Israel bertindak merampas tanah. Mereka menghalau penempatan rakyat Palestin dan menempatkan rakyat Israel di bumi Palestin. Di Perak, rampasan kuasa telah berlaku secara tidak sah. Kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat telah dinafikan dan melantik secara sesuka hati tanpa prosedur dan melantik kerajaan baru.
Di Gaza, kerajaan Fatah yang dipimpin oleh Mahmud Abas tidak mengiktiraf kerajaan Hamas yang telah dipilih secara sah oleh rakyat Palestin. Mereka membohongi dunia menyatakan bahawa merekalah pejuang sebenar rakyat Palestin. Hamas pula dilabel sebagai pengganas. Tetapi pemimpin mereka bersekongkol dengan Israel bagi membunuh pemimpin Hamas. Di Malaysia, UMNO-BN membohongi dunia menyatakan merekalah pejuang rakyat. Hakikatnya mereka adalah perompak hak rakyat. Mereka juga bersekongkol dengan Amerika Syarikat bagi memerangi 'pengganas' Islam. Di Perak pula, UMNO-BN tidak mahu mengiktiraf kerajaan Pakatan Rakyat yang telah sah memenangi pilihanraya di Perak. Apabila diajak untuk bertarung dalam Pilihanraya semula pun UMNO-BN tidak mahu.
Di Gaza, pelbagai kemudahan rakyat disekat. Bantuan perubatan dan kemanusiaan turut disekat. Rakyat dibiarkan mati derita. Di Perak, pelbagai kemudahan untuk MB dan Exconya telah disekat. Pejabat dikunci, kereta diarahkan pulang kembali, dihalau keluar dari rumah, dan rakyat pula disekat dari mendapat maklumat sebenar. Apabila rakyat berhimpun, diadakan sekatan jalan raya. Rakyat dinafikan hak untuk memberi simpati kepada YAB Dato' Seri Nizar dan kerajaannya.
Di Gaza, kemuncak kejahatan Israel adalah pemusnahan masjid, rumah ibadat, hospital, sekolah dan lain-lain tempat awam. Masjid di bom. Di Perak, masjid ditembak dengan gas pemedih mata. Rakyat ditangkap ketika berhimpun. Tidak kira lelaki, perempuan, anak-anak kecil turut menjadi mangsa.
Di Gaza, rakyat turun ke jalan raya berdemonstrai membantah kezaliman Israel. Bahkan di seluruh dunia melakukan protes jalan raya. Di Perak, rakyat turun ke jalan raya membantah kezaliam rampasan kuasa UMNO-BN. Bahkan rakyat seluruh Malaysia memberikan simpati dan membantah kezaliman UMNO-BN. Hanya belum sampai rakyat seluruh Malaysia turun ke jalan raya di seluruh negara.
Begitulah kalau kezaliman berleluasa. Asal daripada bumi aman menjadi huru hara. Daripada tenang menjadi gelora. Daripada adil dan saksama menjadi zalim dan kejam. Menjadi pengajaran sejarah ketamadunan manusia, bahawa kezaliamn pasti akan hancur di asak perjuangan rakyat.
HANYA ORANG BODOH MENGIKTIRAF KERAJAAN HARAM UMNO DI PERAK
Sekarang ini rakyat telah bersuara. Mereka berarak ke jalan raya membantah upacara perlantikan Menteri Besar Kerajaan haram UMNO-BN di Perak. Sultan tiba-tiba terkedu dan terpinga-pinga.
Bukan kalangan pembangkang dari Pakatan Rakyat sahaja yang bersuara dalam isu Perak ini. Kali ini beberapa tokoh veteran UMNo termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah bahkan Suhakam turut menyatakan perkara yang sama. Hairan. Bagaimana UMNo yang mempunyai segalanya- wang, jentera, dan kuasa tidak mampu berhadapan dengan realiti bagi menghadapi Pilihanraya umum. Paling tidak pun mereka gentar untuk mengadakan 2 Pilihanraya kecil.
Waima untuk mengadakan Sidang DUN tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar pun tidak mampu dipenuhi. Ternyata UMNO hanya mampu mengambil kerajaan Perak melalui cara tidak sah atau haram. Hanya orang bodoh sahaja yang mampu mengulas cara perlantikan kerajaan haram Perak sebagai sah. Dan hanya si bodoh sahaja yang mengiktiraf kerajaan haram Perak sekarang kerana insan yang mempunyai akal pasti akan melihat kebenaran yang sebenar!
Friday, February 6, 2009
KUDETA DI PERAK DALAM EPISOD PALING DAHSYAT DI MALAYSIA.
Apakah malang UMNO-BN yang tidak sedar-sedar diri dengan memperkudakan seluruh jentera kerajaan sehinggakan Istana turut terheret sama. Demi tamakkan kuasa mereka sanggup menafikan hak dan kehendak rakyat dengan membuang begitu sahaja kerajaan sah Pakatan Rakyat. Apalah bacul sangat kerajaan BN untuk menerima pembubaran DUN dan mengadakan Pilihanraya Dewan Undangan negeri. Kalau benar mereka gagah, apakah yang ditakuti?
UMNO-BN hanya takut kepada kuasa rakyat kerana ketika ini kalau berlaku Pilihanraya DUN Perak, sudah pasti rakyat Perak akan menghukum buat sekian kalinya setelah berlaku di Kuala Terengganu dan Permatang Pauh. Ya, itu sahaja faktornya. Atas sebab itulah mereka sanggup melanggar apa sahaja. Biarkan Perlembagaan negara di belakang. Letakkan apa aja peraturan di tepi. Yang penting diri mereka. Paling penting, imej Najib perlu dipulihkan. Bakal Perdana mengteri telah dimalukan dua kali dalam Pilihanraya Kecil. Kali ini dalam terdesak mereka perlu selamatkan Najib. Dan bahayanya, Koperal Sirul Azhar tersalah cakap mendakwa dikambing hitamkan oleh mereka yang tiada di mahkamah. Siapa orang itu? Misteri yang masih tidak terbongkar. Namun, disebalik itu imej Najib telah lagi tercalar. Lalu jalan keselamatan buat Najib dan meredakan isu Altantuya itu ialah dengan menawan Perak.
Berbulan plot itu dirancang. Berjuta dihabisi termasuk RM 50 juta tawaran lumayan buat dua ADUN melompat parti. Pelik juga. SPRM tidak pula ghairah bernafsu menyiasat kes rasuah Najib ini. Maka akhirnya jadilah apa yang telah terjadi. Istana digelapkan dan mungkin diugut. Institusi yang menjadi sanjungan lebih-lebih lagi dengan latar belakangnya yang sohor (DYMM Sultan Perak), tiba-tiba seakan menjadi orang suruhan Najib.
Baru beberapa hari nan lalu, Dr Raja Nazrin Shah mengumam supaya pihak Istana tidak berpihak. Perlu telus dan jangan berpartisan. Tetapi bila jadi kes ini, mengapa Istana Perak condong kepada BN. Bukankah lebih adil kiranya DYMM tuanku memilih jalan pembubaran DUN dengan menolak kira ADUN yang melompat (3 kes akan dibawa ke Mahkamah- sementara 2 ADUN tersebut juga sabit dengan kes mahkamah atas isu rasuah). Berbekalkan kerajaan rasuah ini, Istana masih boleh percayakan BN untuk tubuhkan kerajaan? Macamana pertimbangan Istana? Bukankah paduka Tuanku seorang terpelajar dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara? Agaknya berlaku dengan tiba-tiba ada beberapa orang lain pula melompat ke Pakatan Rakyat, Tuanku Sultan boleh menerima pula kerajaan Pakatan Rakyat. Jadilah kalau keadaan ini berlaku kerajaan kartun yang boleh bertukar ganti sesuka hati. Kelakar sungguh.
Kalau DYMM Sultan memilih bubarkan DUN, bukan menguntungkan Pakatan Rakyat pun. Tidak mestinya YAB Dato Seri Ir Nizar menjadi Menteri Besar yang baru. Mungkin UMNO-BN menang kembali dengan majoriti yang lebih selesa. Tetapi yang pentingnya semua rakyat berpuas hati kerana masalah rakyat, pulangkanlah balik kepada rakyat. Berikan mandat kembali kepada rakyat. Biarkan rakyat membuat keputusan. Ketika itu nanti, apa sahaja keputusan yang adil kita terima. Asal saja SPR bermain di padang yang rata sudahlah.
Tetapi langkah ini tidak dapat dilihat oleh Sultan. Sedangkan keputusan ini sangat adil. Ruginya manusia yang berpelajaran tetapi gagal melihat kebenaran. Dan Sultan memilih condong berat sebelah kepada keputusan memilih BN.
Akhir zaman ini macam-macam kejadian boleh berlaku. Seorang yang dipandang tinggi pada pandangan awam boleh bertukar secara tiba-tiba menjadi seorang yang hina. Tetapi sebaliknya pula, kehinaan boleh menjadi mulia dengan keadilan. Selepas ini apa sahaja yang ada di depan mata akan dikudakan oleh BN. Jadi jangan percaya mana-mana institusi dalam negara yang bermanis mulut dan kata-kata, kerana mungkin orang inilah yang boleh bertukar bengis tanpa peri kemanusiaan!
Wednesday, February 4, 2009
KERAJAAN PERAK DITUMBANGKAN SECARA TIDAK BERMARUAH.
Hairan juga, bagaimana ADUN-ADUN ini begitu mudah dipujuk dan dibeli. Dikhabarkan ADUN Bota, Dato' Nasharuddin Hashim menyertai mereka kembali semula ke pangkuan UMNO. Gamak mereka meninggalkan perjuangan yang didokong oleh rakyat Malaysia yang dahagakan kebenaran dan keadilan. Hanyalah beberapa cupak habuan dunia, mereka menggadaikan maruah sebuah kerajaan yang disokong rakyat.
Tengah-tengah kemelut ini, tiba-tiba terpancul Gerak yang cuba mengambil populariti murahan. Gerak telah melaporkan kepada SPRM perihal rasuah MB Selangor kali kedua baru-baru ini. Saya berkira-kira, kes rasuah yang dikatakan dilakukan oleh MB Selangor dibesarkan, mengapa tidak mereka mengambil kes Najib yang dikatakan menawarkan rasuah RM 50 juta kepada ADUN PKR untuk lompat parti. Kenapa Nazree Yunus tidak sibuk mendedahkan kes rasuah yang telah pun dihebohkan di media ke atas Najib. Kenapa menyebelahi sepihak, dengan menelanjangkan semahunya MB Selangor dan lain-lain Exco kerajaan Pakatan Rakyat, sedangkan isu Najib jauh lebih besar. Apakah Nazree dan Geraknya berani mengambil langkah sebegini.
Dalam kes lompatan terbaru ini, berapa agaknya Najib telah habiskan duit rakyat semata-mata mahu membeli sebuah kerajaan Rakyat. Kalau kes 2 orang exco ini dibeli dengan harga RM50 juta, berapa agaknya harga untuk membeli 4 orang Exco sekaligus? SPRM dalam hal ini mesti terkebelakang dan lambat bertindak dengan alasan tidak cukup bukti, tiada saksi, tidak ada laporan dan pelbagai lagi. Hakikatnya, mereka telah diperkudakan dan masih di pergunakan sesuka hati. Saya mencabar Nazree Yunus dan Gerak (ingat: dibelakangnya adalah Ezam), serta SPRM untuk bertindak menyiasat serta mengambil tindakan sekiranya benar dakwaan Najib memberi rasuah RM 50 juta untuk membeli ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.
Kes di Perak elok dijadikan testimoni bahawa UMNO-BN adalah manusia yang tidak ada maruah selamanya. Sepertimana tumbangnya kerajaan Terengganu beberapa tahun yang lepas, modus operandi yang pelbagai digunakan kini hanya semata-mata mahu menghalalkan cara. Sejarah akan mengingati UMNO sebagai sebuah parti yang tidak ada prinsip, jati diri dan sanggup melakukan apa saja demi memuaskan nafsu diri mereka sendiri. Rakyat Malaysia, ambillah iktibar ini dan samakan kejadian ini dengan tindakan zalim Zionis Israel dan Fatah yang mahu menumbangkan kerajaan Hamas di Palestin.
Sunday, February 1, 2009
PERIHAL LOMPAT PARTI
Kalau tanya saya, saya akan jawab begini. Mungkin secara prinsipnya PAS kita tidak membenarkan seseorang melompat parti (hanya kes Yang Berhormat). Tetapi dari sudut yang luas mari kita menilai erti perjuangan yang didokong oleh PAS dan UMNO. Apa bezanya PAS dengan UMNO. saya melihat jurang yang terlalu dalam antara PAS dengan UMNO, bagai atas langit dengan bawah kerak bumi. PAS parti Islam. Saya yakin kami berada di jalan yang benar. Kami memperjuangkan Islam dan Tuhan. UMNO parti perkauman, nasionalis, sekularis. Sama macam Fatah di Palestin. Zalimnya pun tidak kurang. Bagi mereka yang memiliki hidayah dan kesedaran mahu berubah dari menjadi ahli dan pemimpin parti zalim kepada menjadi parti Islam, sudah tentu kita perlu menerimanya. Bukan setakat boleh terima, tetapi wajib terima. Manakala kiranya ada pimpinan dan Yang Berhormat dari PAS atau Pakatan Rakyat melompat ke parti lain, kita pasti tidak boleh terima (melompat marah), kenapa? Kerana mana boleh seseorang beralih dari kebenaran kepada kesesatan. Islam murka kepada murtaddiyyun (pemurtad) yang beralih dari kebenaran kepada kesesatan. Mandatori hukuman murtad adalah bunuh. Kenapa kita beriktikad demikian? Kerana yakin Islam adalah benar, datangnya dari Allah.
Bagaimana pula mereka yang mahu memeluk Islam? Kenapa tak dihalang? Kenapa kita menerima orang musyrik atau kafir memeluk Islam tetapi menghalang orang Islam menukar agamanya? Ia sama seperti kes lompat parti. Lompat parti dari parti Islam ke parti sekular sudah tentu haram, dan tidak dibenarkan sama sekali, manakala lompat parti dari parti chauvanis atau nasionalis kepada parti Islam sudah tentu boleh dan perlu kita perjuangkan.
Kemudian, perlukah ADUN atau MP letak jawatan sebagai moral kepada tindakan lompat parti. Saya akan jawab tidak perlu. Kerana dengan lompat itu akan membantu menambahkan kerusi Parlimen atau DUN yang mungkin membantu menubuhkan sebuah kerajaan Islam atau Kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat, meskipun tidak Islam tetapi lebih baik dari kerajaan zalim UMNO-BN. Mana lebih baik, antara kerajaan adil Pakatan Rakyat atau kerajaan zalim BN?
Hakikatnya lompat parti memiliki dua jawapan yang berbeza. Tegasnya, lompat parti dari PAS kepada UMNO tidak dibenarkan sama sekali. Tetapi dari UMNO kepada PAs atau Pakatan Rakyat sudah tentu boleh, bahkan menjadi wajib pula.
Sebab itu PAS ada baiahnya tersendiri. Sesiapa Yang Berhormat PAS lompat maka secara automatik akan terlerai ikatan perkahwinannya dengan talak tiga. Ada sesiapa YB PAS berani bercerai dengan suami atau isterinya dengan talak tiga? Cubalah.
Mengharapkan teman-teman fahami maksud kesemua kandungan artikel saya di atas. Supaya kita tidak timbul lagi polemik berkenaan keharusan hukum lompat parti. Kita tidak perlu bertelagah kerana bagi saya, jelas kesemuanya. Tetapi kesemuanya adalah menurut perspektif saya semata.
PILIHANRAYA LAGI. KALI INI DI PERAK
Spekulasi telah terjawab. Akhirnya kedua-duanya mengalah dalam pujukan lumayan UMNO.
Mujurlah mereka mahu mengosongkan kerusi dan membiarkan rakyat sebagai hakim dalam suatu perhitungan baru. Setidak-tidaknya ada lagi peluang Kerajaan Pakatan Rakyat untuk memenangi kerusi tersebut.
Dalam hati saya beristighfar panjang. Mengapa begitu mudah manusia beralih arah? Kemanakah perginya harga sebuah perjuangan menegakkan keadilan yang harganya mahal? Tidakkah mereka ini boleh menilai erti perjuangan ini dengan mengumpamakan seperti perjuangan Hamas di Palestin yang bertaruh nyawa demi menegakkan sebuah negara yang adil? Apakah UMNO tidak boleh disamakan dengan sebuah rejim zalim yang menindas rakyat berpuluh tahun lamanya? Kesian, murahnya nilai mereka boleh ditukar dengan wang ringgit.
Najib Razak mungkin boleh bernafas lega sedikit sebagai penawar sakitnya dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini. Takpelah, biarkan Pilihanraya kecil nanti sebagai gelanggang. Kita nantikan sebuah episod baru perjuangan rakyat mentsunamikan segala habuan janji mewah legasi UMNO! Ya, rakyat sedang dahagakan perubahan total.
Dua Adun PKR Perak letak jawatan
Feb 1, 09 8:15pm
Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.
Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.
Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.
"Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihanraya kecil akan diadakan tidak lama lagi.
Menurutnya, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) esok/
Pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Kedua-dua Adun PKR itu telah hilang sejak lima hari lalu, dan mencetuskan spekulasi bahawa mereka telah melompat menyertai Barisan Nasional.