Monday, August 10, 2009

AYUH BERDEMO MENENTANG ARAK DI SELURUH NEGARA

UMNO bukan main lagi melompat dengan isu arak di Selangor. Apabila ia dicetuskan oleh YB Ronnie Liu dan dibantah oleh Dato' Dr Hassan Ali, seakan-akan UMNO mahu menunjukkan merekalah pejuang Islam yang sebenar. Tergopoh-gopoh pula mahu mengajak Pemuda PAS berdemo. Sejak bila pula berdemo menjadi budaya UMNO? Bukankah selama ini UMNO memainkan slogan 'demonstrasi bukan budaya kita'?

UMNO menuduh PAS terlalu berlembut dan berbaik-baik dengan DAP. Hakikatnya PAS telah bertegas dengan prinsip. Dato' Dr Hassan Ali bertegas mempertahankan tindakan MBSA dan JAIS melarang jualan arak secara terbuka dan membantah tindakan YB Ronnie Liu yang mengarahkan dipulangkan kembali arak yang dirampas. Mekipun PAS dan DAP berkawan di bawah Pakatan Rakyat, dalam bab prinsip Islam, PAS sanggup kehilangan kawan. Dato' Dr Hassan Ali telah membuktikannya, bagaimana pula dengan UMNO?

Memanglah DAP sekutu politik PAS. Kami berkawan atas dasar mempertaruhkan keadilan, kebajikan dan kepentingan rakyat. UMNO pula berkawan dengan MCA, MIC, Gerakan dan rakan-rakan komponen lain. Bilakah UMNO mula bertegas soal prinsip mempertahankan Islam? Dengan isu Melayu yang menjadi tonggak perjuangan UMNO pun tidak terbela, apatah lagi nak pertahankan Islam.

Dalam isu arak, UMNO memperlihatkan hipokrasinya. Selama 50 tahun lebih menguasai Malaysia, dan Selangor berpuluh tahun, belum pernah ada usaha UMNO mahu menutup kedai-kedai arak, pusat judi dan maksiat. Di Selangor ada dua buah kilang arak terbesar di Malaysia, dan ia kepunyaan kerajaan pusat. Tidak pernah ada usaha menutup atau mengadakan demonstrasi aman membantah kilang-kilang arak tersebut.

Sejarah PAS memimpin negeri, di Kelantan, jualan arak tidak boleh secara terbuka seperti di negeri lain. Ada polisi dan garis panduannya. Hanya kedai tertentu sahaja dan bukan Muslim sahaja dibenarkan membeli arak. Kedai nombor ekor telah lama diharamkan di Kelantan. Di Kedah, sekarang sedang ada usaha untuk mengawal premis arak dan judi. Saya yakin, beberapa tahun akan datang premis judi akan ditutup sama sekali di Kedah, manakalah premis arak akan dikurangkan.

Bagaimana dengan pusat hiburan, disko, pub dan rumah-rumah urut di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Botol arak dengan mudah diperolehi di mana-mana. Di 7 Eleven, Giant, Tesco, Carrefour dan pelbagai hypermarket lain ada tempat jualan arak. Sesiapa layak dan mampu memilikinya. Pemuda UMNO tidak pernah membantah pun jualan arak ini di tempat-tempat terbuka seperti ini.

Di Kuala Lumpur berpuluh rumah urut, kelab malam, disko bersepah di mana-mana. Pergilah ke Bukit Bintang dan disitulah syurga kelab malam. UMNO seakan menutup mata dengan maksiat seperti ini. Pemuda PAS pernah turun ke kelab-kelab malam mengedarkan risalah dakwah kepada anak-anak muda beragama Islam dan belum pernah sekali terserempak dengan pemuda UMNO mengedarkan risalah dakwah yang sama. Mungkin pemuda UMNO menjadi pengunjung tetap kelab malam!

Selangor, meskipun Parti Keadilan Rakyat yang memimpin, PAS tetap memainkan peranan penting. Sudah acap kali serbuan dilakukan ke pusat hiburan, kelab malam, disko,pub dan rumah-rumah urut ini. Walaupun kesan belum ketara, sekurang-kurangnya PAS telah memberikan amaran kepada DAP supaya tidak masuk campur dengan urusan umat Islam. Biarkan serbuan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama. Pernahkah UMNO, sebagai tunjang Barisan Nasional bertindak serupa atau lebih tegas lagi, mengharamkan pusat hiburan dan kelab-kelab malam ini?

Harap-harapnya UMNO suka berdemonstrasi terhadap isu arak, bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan semua negeri yang lain. Saya yakin PAS akan bekerjasama untuk memeriahkan demonstrasi UMNO menentang arak di seluruh negara. Atas dasar menentang maksiat atau amar ma'aruf nahi mungkar PAS sanggup ketepikan kepentingan politik dan menyahut seruan jihad dan dakwah. Ramai pemuda PAS yang sanggup berdada dan menghirup gas pemedih mata atau ditangkap polis kerana mempertahankan prinsip perjuangan Islam yang menjadi dasar PAS selama ini. Bagaimana pemuda UMNO, sanggup berdemo seluruh negara menentang jualan arak secara terbuka? Tentukan masa, tarikh dan lokasi himpunan, kita akan turun ke gelanggang bersama!

No comments: