Saturday, August 15, 2009

PAS MELETAKKAN USTAZ SALLEH MAN SEBAGAI CALONNYA

Sebentar tadi telah diumumkan calon PRK DUN Permatang Pasir. Siapa lagi kalau bukan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man. Beliau adalah orangnya paling layak untuk berentap dan beradu tenaga dengan Rohaizat Othman, calon UMNO.

17 Ogos nanti bermulalah perang pilihanraya buat sekian kalinya antara PAS dengan UMNO-BN. Permatang Pasir adalah DUN di bawah Parlimen Parmatang Pauh, kerusi yang disandang dato' Seri Anwar Ibrahim sekarang. Rakyat seramai 20,000 pengundi yang kebanyakannya melayu akan sekali lagi teruji dengan kehadiran Pilihanraya kecil ini nanti.

Bagi PAS, pengaruhnya akan diuji dengan undian yang diperolehi manakala UMNO cuba memperbaiki kekalahan 'tipis' dalam PRk Manek Urai setelah tumpas 7 kali dalam PRK yang lalu. Mampukah UMNO memenangi PRK kali ini. Semuanya bergantung kepada kekuatan jentera, mood pengundi, strategi kempen, dan yang terutamanya kebergantungan kepada Allah swt. Hanya Allah swt mampu membolak-balikkan hati pengundi meskipun diupah dengan jutaan ringgit dan projek yang datang menggolek!


BIODATA MOHD SALLEH MAN

Ustaz Mohd Saleh Man dilahirkan di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai pada 16hb, Februari 1954. Kini beliau mempunyai seorang isteri, Puan Siti Fatimah Othman dan hasil perkongsian hidup mereka berdua beliau dianugerahkan lima orang cahaya mata.

Berpendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Permatang Buluh, Kepala Batas kemudian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas. Selepas belajar di situ, beliau beralih arah ke Madrasah Khariah Islamiah, Pokok Sena pada tahun 1970-78 untuk mendalami ilmu agama.

Kemudian ke Maktab PGAS, Guar Perahu, Bukit Mertajam dan seterusnya ke Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan dalam bidang Syariah. Selepas itu menyambung pelajaran ke Akademi Islam Univesiti Malaya (UM) dalam jurusan yang sama sehingga memperolehi ijazah.

Dalam karier politik pula beliau bermula sebagai Ketua Pemuda PAS Cawangan Sungai Dua setelah kembali dari belajar pada tahun 1986 dan seterusnya menjawat jawatan Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor.

Selang beberapa penggal beliau diberikan kepercayaan pula menerajui PAS Tasek Gelugor sebagai Yang DiPertua (YDP).

Beliau juga pernah diberikan amanah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri dan seterusnya sebagai Timbalan Pesuruhjaya pada awal 1990 an.

Ustaz Saleh Man juga merupakan tokoh yang rapat dengan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman maka tidak hairan beliau sanggup jatuh bangun bersama PAS walaupun kalah dalam setiap pilihan raya umum yang bermula pada 1986 (Dun Sungai Dua), 1990 (Sungai Dua), 1996 (Parlimen Tasek Gelugor/Dun Permatang Berangan), 2004 (Pinang Tunggal) 2008 (Sungai Dua).

No comments: