Saturday, August 15, 2009

USTAZ ASRI DALAM KENANGAN : PERGIMU TAK KEMBALI

Kelmarin saya mengunjungi jenazah Almarhum Ustaz Mohd Asri Ibrahim, vokalis utama kumpulan Rabbani yang meninggal dunia secara mengejut. Beliau dikatakan terjatuh pengsan ketika sedang membuat rakaman di RTM untuk tayangan Hari Raya Aidilfiitri nanti.

Ramai kenalan yang terkejut dengan pemergian beliau. Di hospital Pantai beratus peminat ataupun kenalan beliau hadir memberikan penghormatan terakhir. Dalam sayup-sayup itu terngiang lagu yang menjadi siulan anak muda, 'Pergimu Tak Kembali'. Kini beliau benar-benar telah pergi tak kembali. Mudahnya kematian beliau dan nampak segar pada wajah jenazah beliau seakan sedang tidur lena.

Beliau adalah insan contoh dalam dunia selebriti yang tidak hanyut oleh keseronokan dunia hiburan. Ketika rakan-rakan artis dari nasyidnya telah mulai melupai dakwah - dari berkumpulan kepada solo dan dari lagu nasyid kepada lagu rock, Ust Azri terus tabah dengan dunia dakwah nasyidnya. Ramai yang telah berambut panjang, menyanyi lagu rock, mempunyai teman wanita, berkahwin lain dan lain-lain kes. Sementara Ust Asri kekal dengan sikap low-profile meskipun telah menggondol pelbagai anugerah saban tahun. Sepanjang ingatan saya Ust Asri dan Nazrey Johani adalah artis yang saya hormati selama ini.

Semoga beliau diakhirkan dengan Khusnul Khatimah dan kita doakan rohnya ditempatkan disisi orang-orang yang soleh jua. Alfatihah..

No comments: