Sehari dua ini meledak kembali isu pengkhianat bangsa. Sasaran utama jentera propaganda UMNO ialah Anwar Ibrahim. Sehinggakan juak-juak pengampu UMNO mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan menarik balik fatwa menuduh Anwar Ibrahim pengkhianat.
Saya setuju Anwar dilabel sebagai pengkhianat. Tetapi ketika beliau di dalam UMNO dulu. Kerana UMNO adalah pengkhianat bangsa Melayu, dan beliau pernah memimpin UMNO suatu ketika. Dan kini beliau masih pengkhianat, tetapi bukan pengkhianat Melayu, sebaliknya pengkhianat kepada kebobrokan UMNO-BN.
Panjang lebar boleh dicertitakan kebusukan dan siri pengkhianatn UMNO BN. Utamanya, mereka bercakap soal perjuangan Bangsa Melayu. Kononnya merekalah pejuang Bangsa, Agama dan negara. kalau kita semak sejarah kemerdekaan negara, dari dulu hingga kini, tidak ada suatu parti pun yang lebih pengkhianat selain daripada UMNO.
1. UMNO pengkhianat perjuangan menuntut kemerdekaan.
Dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, ramai golongan pejuang yang dilabelkan sebagai berhaluan kiri, seperti Boestaman, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Prof Zulkifli Mohamad, Shamsiah Fakeh, Ust Mohd Fuad Hassan, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan lain-lain telah menerima pembantaian yang teruk dari British. PAS yang ditubuhkan dengan nama Hizbol Muslimin atau digelar 'bahaya dari Gunung Semanggol' telah diambil tindakan, termasuk hampir diharamkan. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan di atas ramai yang diburu atau dianggap sebagai pengganas seperti komunis, dipenjarakan dan dibuang negeri. Di kalangan mereka ada yang dibunuh.
Tiba-tiba pemimpin seperti Tuanku Abdul Rahman Putra dibelai dan dimanjai oleh British dan ditangannyalah kononnya diberikan watikah kemerdekaan. Lalu sejarah perjuangan golongan yang sebenar berjuang di medan dipadamkan dalam buku-buku sejarah digantikan dengan pejuang 'segera' atau buatan British iaitu UMNO. Lihatlah sejarah, pernahkah UMNO diancam oleh British.
Sehinggakan perlembagaan yang diguna pakai hingga ke hari ini diadaptasi dari perlembagaan Lord Reid ciptaan British. Banyak perkara di dalam perlembagaan Malaysia hari ini yang bercanggah dengan kehendak atau tuntutan syariat tetapi didiamkan oleh UMNO atas dasar mengenang jasa.
2. UMNO pengkhianat Tulisan Jawi.
Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi dalam subjek di sekolah-sekolah. Bukankah pemimpin UMNO yang mempeloporinya? Bekas Menteri Pelajaran di tahun 1960an, Dato' Mohd Khir Johari telah menghapuskan tulisan dan bacaan jawi di sekolah-sekolah. Sehingga ke hari ini kesan yang paling besar ialah gagalnya generasi muda membaca tulisan jawi dan seterusnya gagal membaca Al Qur'an. Kitab-kitab tua bertulisan jawi yang mempunyai nilai estetika ilmu yang tinggi telah ditinggalkan digantikan dengan kitab-kitab baru bertulisan rumi.
Sedangkan tulisan jawi pernah memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dihormati. tetapi malang kerana dasar pengkhianat UMNO-BN tidak mahu melihat kejayaan bangsa Melayu di pentas antarabangsa dengan berlabelkan ulama', Islam atau apa sahaja yang ada kaitan dengan Islam.
3. UMNO Pengkhianat kepada institusi beraja.
Sehari dua sibuk dikitar kembali 7 wasiat raja-Raja Melayu. Sedangkan UMNO lah yang telah menggadaikan kuasa dan hak Raja Berperlembagaan. Siapakah yang berkuasa di negara ini selain Perdana Menteri? Apakah kuasa Sultan atau Raja? Dalam krisis tahun 1993, Dr Mahathir telah bertindak melucutkan kuasa Sultan sehingga hampir-hampir Sultan atau raja tidak mempunyai kuasa apa-apa selain mengangguk dan menandatangan watikah perlantikan semata-mata. Siapakah pula yang cuba menabalkan sultan lain di Kelantan sekitar tahun 1990an, dan berdemonstrasi membantah tindakan Sultan Terengganu tidak melantik Idris Jusoh sebagai MB dengan kain rentang yang popular 'kami nak Deris, Natang". Natang itu sudah tentu ditujukan kepada DYMM Sultan Terengganu yang melantik orang selain Idris Jusoh.
ini jelas UMNO adalah dalang, petualang dan pengkhianat Raja-Raja Melayu.
4. UMNO pengkhianat Islam.
Setuju atau tidak UMNO lah yang mengkhianati Islam dalam negara ini. Di Palestin ia diwakili oleh Fatah, di Mesir ia dikuasai oleh rejim Hosni Mubarak, maka di Malaysia UMNO lah pelopornya.
Isu yang berkaitan dengan Islam.
1. UMNO telah bertindak memecat Mufti Selangor yang bertindak menangkap beberapa model yang mengunjungi Kelab Malam di Selangor. Sudah jelas lagi tersuluh kemungkaran wajib dicegah tetapi pembanteras kemungkaran itu yang dikenakan tindakan.
2. Di bawah kekuasaan UMNO, mereka pernah mengancam untuk mengambil tindakan termasuk mendaruratkan Kelantan sekiranya Kelantan mahu menjalankan hukum Syariat termasuk Hudud dan Qisas. Di Terengganu, enakmen telah dibentuk dan diluluskan, tetapi dibatalkan oleh kerajaan pusat yang ditunjang oleh UMNO.
3. Tidak ada tindakan terhadap pusat hiburan, kelab malam, jualan arak secara terbuka, pusat judi di Genting Highland oleh UMNO. Sedangkan PAS telah memberi amaran di selangor kepada YB Ronnie Liu agar tidak mencampuri urusan penguatkuasaan jualan arak terhadap umat Islam. di mana suara UMNO selama 50 tahun memerintah negara? Mengapa kemungkaran dibiarkan berleluasa.
4. Di zaman UMNO, kuliah atau tazkirah di surau dan masjid diharamkan sama sekali. Tazkirah Ramadhan dianggap perkara haram dan bidaah dalalah. Mereka sanggup mengunci masjid atau merampas jawatankuasa masjid dari membiarkan masjid diimarahkan dengan tazkirah atau kuliah. Di Selangor kini, tazkirah atau kuliah sangat subur dengan budaya ilmu dan ibadat tidak sampai dua tahun Pakatan Rakyat mengambil alih negeri itu.
5. Di zaman UMNO, kampus-kampus sangat disekat dari kegiatan dakwah dan kesedaran Islam. UiTM sebagai contoh, sangat mencemburui mereka yang bertudung labuh dan berkupiah dari mereka yang terdedah auratnya. Tidak dibenarkan sama sekali program berbentuk Islamik dijalankan, bahkan dipantau dengan ketat. Sebaliknya program maksiat, karaoke adalah halal dan dianggap baik. Naib Canselor UiTM adalah ahli UMNO tegar dan sering muncul di pentas-pentas UMNO.
6. Pemimpin UMNO lah yang mempopularkan Islam baru 'Islam Hadhari'. berkali-kali pemimpin PAS menegur kesalahan menggunakan istilah itu tetapi tidak diendahkan. Seakan-akan ISlam yang dibawa oleh Rasulullah saw tidak sempurna maka perlu ditambah dengan pekataan 'Hadhari' untuk menyempurnakan Islam. Peralihan kepimpinan kepada Najib telah menguburkan 'Islam Hadhari' ciptaan UMNO.
Banyak lagi isu Islam yang dikhianati oleh UMNO yang tidak sempat saya tuliskan. Tetapi perkara di atas cukup untuk membuktikan siapakah pengkhianat sebenar.
5. UMNO pengkhianat bahasa Melayu
Selama 6 tahun pelajar disongsangkan dengan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sekiranya diteruskan, apakah yang bersisa pada kepentingan bahasa Melayu pada subjek teras Pelajar sekolah? Mujur rakyat berhimpun seramai 100,000 di Kuala Lumpur dan berjaya menyedarkan pemimpin UMNO bahawa Bahasa Melayu telah digadaikan demi kepentingan segelintir juak yang mengaut keuntungan.
6. UMNO pengkhianat Melayu.
Umumnya, UMNO telah melacurkan hak pelajar bumiputera dari mendapat biasiswa. Digantikan dengan PTPTN yang jelas menekan pelajar tatkala waktu membayar kembali pinjaman tersebut dengan kos perkhidmatan 4% yang mengarut.
UMNO jugalah yang telah menggadaikan tanah-tanah pusaka hak milik orang Melayu. Manakah lagi bersisa Kampung Melayu di bandar atau pinggirnya selain Kampung Baru. Di Keramat, di Kerinchi, Kampung Pandan, Ampang dan lain-lain semuanya telah dihalau keluar secara hina. sedangkan janji Tun Razak untuk memberikan hak milik kekal kepada orang melayu yang memugar tanah di Kuala Lumpur 30 tahun dulu kini tinggal janji. anaknya yang mewarisi kepimpinan kini lebih mengutamakan tauke Cina atau kroni sendiri dari memikirkan nasib bangsa.
UMNO yang mempopularkan budaya hedonisme sehingga melalaikan anak-anak orang melayu Islam di Malaysia. Mereka ghairah dengan Jom Heboh, Konsert di sana-sini tanpa mempedulikan syariat Islam. Mereka yang menentang kemungkaran dianggap 'anti establishment' atau menentang kerajaan sedangkan kerajaan lah yang merosakkan anak bangsa Melayu.
Kini mengertilah kita siapakah pengkhianat sebenar bangsa Melayu. Benarlah Anwar Ibrahim pengkhianat, tetapi beliau adalah pengkhianat UMNO bukan bangsa Melayu. Beliau cuba menyelamatkan rakyat sebangsanya dari menjadi mangsa penipuan UMNO. Anwar kini bersama rakyat yang berjuang untuk keadilan, kemakmuran dan kepentingan rakyat - selari dengan perjuangan Islam dokongan PAS.
No comments:
Post a Comment