Himpunan mansuhkan ISA telah berjaya diadakan. Meskipun pelbagai sekatan, termasuk menyekat laluan masuk ke Kuala Lumpur sejak awal-awal lagi, himpunan tetap berjaya diadakan. Rakyat berpusu-pusu hadir ke Kuala Lumpur bagaikan meyambut pesta dengan tidak mengendahkan ugutan dan ancaman pihak polis.
Angka rasmi yang ditahan pihak polis ialah seramai 600 orang. Ramai dari kalangan mereka yang ditahan setelah bersurai dan dalam perjalanan pulang. Di antara mereka yang ditahan di stesen LRT KL Sentral, Central Market, Masjid Negara dan sekitar Masjid India.
Mungkin pengalaman saya sepanjang menyertai himpunan sejak tahun 2000, inilah paling kejam dan ganas perlakuan polis terhadap peserta himpunan. Entah apa yang mengusik, polis termasuk FRU mengamuk dengan menyembur air asid dan gas pemedih mata sesuka hati. Sehinggakan orang ramai yang bertempiaran lari dan bersurai masih lagi dihambat dengan trak 'water canon'. Mereka tidak kira siapa mangsanya. Peniaga dan pembeli di Masjid India juga disembur dengan air asid. Polis berpakaian preman pula macam anjing kelaparan yang baru dilepaskan oleh tuannya. Mengejar dan menangkap sesiapa sahaja termasuk orang tua yang lemah.
Seolah-olah polis berdepan dengan pengganas yang telah mengebom tempat strategik negara. Sedangkan yang hadir berdemo telah memberikan janji untuk menjaga ketenteraman awam dan berhimpun mengikut laluan serta peraturan yang ditetapkan. Para pendemo pula hadir tanpa senjata, bahkan sangat patuh mengikut arahan yang diberikan.
Kenapa Najib dan Hishamuddin menggelabah sangat berdepan dengan himpunan rakyat kali ini. Kuasa di tangan mereka, rakyat hanya hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agung. Rakyat bukan mengasak Pejabat Perdana Menteri atau kediaman rasmi Perdana Menteri. Apa yang perlu dirisaukan. Perdana Menteri ada kuasa untuk menentukan ISA masih diguna pakai atau dihapuskan. Kalau dibiarkan himpunan itu berlangsung dengan aman pun, ia tidak akan menjejaskan apa-apa dasar yang telah ditetapkan Perdana Menteri. Yang Di Pertuan Agung sekadar simbol negara semata. Rakyat tidak tahu lagi kemana hendak ditujukan dan diadukan selain Yang Di Pertuan Agong.
Setakat 100,000 orang yang hadir boleh memuatkan Stadium Nasional Bukit Jalil. Bayangkan seramai itu boleh hadir ke stadium untuk menonton perlawanan Malaysia menentang Manchester United. Perlukah segala elemen kekerasan, keganasan serta tangkapan dan pancutan air kimia dilepaskan untuk menyuraikan himpunan. Seperti yang saya telah sebutkan, tugas pihak polis sekadar mengawal lalulintas dan trafik sahaja akan menyebabkan himpunan itu berlangsung dengan jayanya. Lawan polis bukan para demonstran, tetapi penjenayah yang semakin berleluasa sekarang ini. Malulah sebagai rakyat Malaysia, polis bertempur dengan segala peralatannya menentang rakyat yang tidak bersenjata apa-apa.
Dengan insiden ini, ditambah dengan imej PDRM yang semakin buruk, pula dengan insiden kematian Teoh Beng Hock secara misteri dalam kawalan SPRM menunjukkan UMNO-BN semakin menuju ke penghujung hayatnya. SPRM, Polis, FRU, SPR, mahkamah, Peguam Negara dan lain-lain adalah instrumen bagi menyokong memanjangkan hayat UMNO-BN yang sudah nazak. Wajarlah Dato' Chua Jui Meng, Dato' SS Sumbramaniam dan lain-lain pimpinan BN menyeberang dari kapal karam ke Pakatan Rakyat.
Untuk polis umumnya dan UMNO-BN khususnya, nantikan masa Pakatan Rakyat mengambil alih teraju pemerintahan negara. Saat itu nanti kami akan ajarkan mereka bagaimana menghargai demokrasi yang sebenar, melayan rakyat yang turun berhimpun di jalanan tanpa senjata dan bagaimana keadilan itu ditegakkan tanpa berpaksikan ISA!
1 comment:
kan dah kata jangan buat tapi buat juga..amaran polis jangan main main ..polis penguatkuasa undang undang kena faham le ..tak sekolah kut!
Post a Comment