Tun Abdullah Ahmad Badawi mulanya dijemput menyertai PAS. Kalau tidak PAS pun, paling tidak Pakatan Rakyat. Kemudian Tun Lah menyuarakan rasa kurang senang hati terhadap penerusan ISA (walaupun di zamannya ISA diteruskan). Maka ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang mengajak beliau menyertai Himpunan Mansuhkan ISA.
Entahlah kalau seorang negarawan seperti Tun Lah sanggup berkeringat bersama rakyat biasa. Maklumlah, orang yang sudah sebati hidup dengan kesenangan, tiba-tiba diajak ke suatu acara yang mengundang pelbagai kesan yang buruk termasuk ditembak dengan gas pemedih mata, air asid ataupun ditangkap. Saya tidak boleh membayangkan kalau keadaan itu benar-benar boleh berlaku.
Walaupun pemimpin PAS tahu, Tun Lah bukan sebarangan untuk diajak berunding. Masuk PAS beerti memadamkan sebahagian sejarah gemilang dirinya sendiri dan mengulangi sejarah yang pernah dicipta oleh datuknya (Almarhum Tuan Guru Abdullah Fahim antara pengasas PAS manakala ayahnya pernah menjadi Ketua Pemuda PAS). Siapa mahu risiko pencen dan segala kemudahan termasuk gelaran Tun, tanah anugerah dan bermacam kemudahan lain tergadai.
Tetapi demi tuntutan dakwah dan amar ma'aruf nahi mungkar seruan itu tetap diteruskan. Sama macam kita menyeru seorang raja disebuah negeri agar berlaku adil terhadap rakyatnya. Pelbagai usaha telah dibuat oleh rakyat di negeri tersebut termasuk berbaring di jalan raya. Takdir Allah hidayah hanyalah milik Allah dan bukan milik orang-orang kaya dan penguasa semata. Raja tersebut tetap degil membatu dengan kesombongannya walaupun seluruh rakyat merayu dan merintih dengan linangan air mata. Paling tidak usaha telah disampaikan, terpulang kepada Allah swt untuk membalas usaha rakyat selama ini.
Samalah mengajak dan menyeru Tun Lah dan Tengku Razaleigh Hamzah menyertai PAS atau Pakatan Rakyat. Seperti kisah Nabi Nuh yang mahu anaknya menyertainya di dalam bahtera yang dibinanya. Takdir Allah swt, anaknya yang berasa selamat dengan dirinya tidak mahu mengikuti hidayah dan memilih kesesatan. Sama juga seperti Nabi Lut yang mengajak isterinya mengikutinya tetapi isterinya enggan lalu termasuk dari kalangan mereka yang binasa.
Bukan hendak menyamakan Tun Lah dengan cerita-cerita di atas. Bezanya cukup besar. Tun Lah masih di dalam Islam, cuma beliau di ajak menyertai perjuangan Islam. Perjuangan Islam yang didokongi PAS adalah warisan dari perjuangan peninggalan Rasulullah saw. Di akhir zaman ini, ia dipelopori As Syahid Imam Hassan al Banna dalam usaha menegakkan khilafah atau Daulah Islamiyah. PAS mengambil bahagian untuk turut sama bertanggungjawab mendirikan negara dan pemerintahan Islam. Wasilah PAS ialah politik Pilihanraya. Itu jelas yang semua ahli PAS memahaminya.
Tun Lah bukan jenis orang yang berpenyakit dalam UMNO. Tun Lah bersih sedikit dari palitan kekotoran yang biasa dihinggapi oleh pemimpin UMNO. Penyakit rasuah, politik wang, pengampu, perampas, pelobi, menipu, mengugut, membunuh, kaki perempuan adalah makanan biasa bagi pemimpin UMNO.
PAS bukan mahu membersihkan Tun Lah dari segala kekotoran yang pernah dibawanya. PAS tidak pernah membela seorang yang didapati salah sekiranya benar ia bersalah. Tetapi
Tun Lah perlu menyertai PAS, dan membersihkan segala noda dan dosa dengan taubat dan amalan yang baik. Sertai PAS untuk turut sama menyeru amar ma'aruf nahi mungkar. Dosa sesama manusia perlu meminta maaf kepada manusia. Dosa kepada Allah perlu meminta ampun kepada Allah.
Ramai orang merasa kasihan dan kasih pada Tun Lah. Jangan sisa umur yang berbaki ini tidak sempat untuk berbakti pada agama dan negara. Mengekalkan diri dengan UMNO beerti bersetuju dengan segala kefasadan yang diteruskan oleh rejim pemerintah ini. Setiap diri perlu menjawab terhadap soalan yang akan ditanya di hadapan Allah swt. Terutama sebagai pemimpin atau bekas pemimpin. Penerusan dasar dan polisi yang bertentangan dengan syariat dan ajaran Islam sudah tentu mengundang dosa yang sangat besar. Antara dosa tersebut adalah mengekalkan dan meneruskan ISA.
Justeru, sebagai rakyat saya dan barangkali ramai lagi mendoakan agar terbuka hati Tun Lah menyertai PAS. Menyertai PAS bukanlah tiket masuk ke syurga, tetapi menyertai PAS adalah jalan mendapatkan tiket ke syurga. Percaya dan yakinlah, kerana ulama' besar sehebat Tuan Guru Abdullah Fahim pernah menyertai PAS tanpa ragu dan was-was...
1 comment:
Tun Abdullah tak sebodoh kamu!
Post a Comment