Friday, July 31, 2009

DEBARAN MENANTI 1 OGOS

Gendang sudah dipalu, berita sudah dicanang ke seluruh pelusuk negara. Tarikh 1 Ogos 2009 dipilih sebagai tarikh keramat rakyat menantikan harapan baru bagi memerdekakan 1 Malaysia. Tarikh itulah genap 49 tahun ISA dilahirkan, diremajakan dan didewasakan. Selama 49 tahun beratus bahkan beribu mangsa sudah merasai keperitan di tahan di bawahnya.

Kini beban sudah tidak tertanggung lagi. Sudah letih cara berdiplomasi dengan kelompok yang degil dan sombong. 9 tahun penubuhan GMI pelbagai tindakan telah diambil, dari kenyataan media ke seminar, dari memorandum bantahan kepada demonstrasi kecil-kecilan.

Tarikh 1 Ogos nanti akan dikenang. Bulan inilah suatu ketika pada tahun 1957 negara Malaysia mengecap kemerdekaan. Dan bulan ini pulalah sejarah akan mengenang betapa rakyat telah berhimpun seramai mungkin bagi mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Kenapa perlu Polis menggelabah?

Pihak polis beberapa hari terdekat mengeluarkan kenyataan keras. Jangan hadiri himpunan 'haram' ini. Sejak bila polis boleh menafsir undang-undang dan perlembagaan dengan betul? Bukankah Perlembagaan membenarkan himpunan dianjurkan. Inilah hak rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi yang tulen. Maka, sebelum pihak polis mahu rakyat mematuhi undang-undang, hormatilah dulu undang-undang sedia ada.

Sudah 3 kali Himpunan sebesar ini diadakan. Bermula dengan BERSIH, PROTES (walaupun tidak jadi seperti yang dirancang) dan PPSMI, tidak ada kekacauan pun yang timbul. Tidak ada yang cedera akibat tindakan merusuh peserta himpunan. Yang ada pihak peserta yang cedera ditembak dengan gas dan air asid pemedih mata. Ditangkap dan diperlakukan secara tidak wajar. Itu yang berlaku.

Sepatutnya bagi mengelakkan kekacauan polis perlu menjaga di tempat yang sepatutnya. Berikan para demonstran ruang jalan dengan tempoh masa yang mencukupi. Laluan mereka ditutup kepada lalulintas, seperti mana yang biasa di buat apabila ada majlis besar-besaran disambut. Bukankah GMI telah memaklumkan kepada pihak polis tarikh, masa dan lokasi Himpunan?

Kalau ada Majlis Menyambut Tahun Baru atau Hari Kebangsaan negara, bukan main pihak trafik menutup jalan. Bahkan kalau ada pesta seperti Sukan atau konsert dianjurkan seperti Jom heboh, sanggup polis menutup jalan kepada lalulintas. Takkanlah majlis sepenting Himpunan Mansuh ISA tidak langsung ada belas kasihan untuk pihak trafik mengawal lalulinta dan menutup jalan.

Bagaimana kalau FRU bersikap menjaga keselamatan secara profesional, umpama menjaga Majlis UMNO-BN. Sudah pasti tidak akan timbul kekacauan dan huru hara. Seperti menjaga stadium yang ada perlawanan bola sepak. Jarang-jarang terjadi adegan FRU menembak gas pemedih mata.

Insiden keganasan, merusuh, menangkap, menembak, memancut air asid sebenarnya hanya menambah buruk keadaan. Rakyat sekadar mahu berhimpun meluahkan rasa, dan selesai masanya mereka akan pulang. Tidak pernah terjadi Himpunan akan berlarutan sehingga keesokan harinya. Mereka juga harus pulang kerana mereka ada keluarga, ada tanggungjawab dan ada kerjaya. Sekiranya pihak polis bekerjasama nescaya himpunan berjalan dengan aman. Rakyat pun sebenarnya tidak suka kepada kekacauan dan huru hara. Himpunan ini bukan unutk mencetuskan huru hara, tetapi mahu meluahkan perasaan yang selama ini tidak pernah diendahkan.

Berilah peluang rakyat mencipta sejarah pada 1 Ogos 2009 nanti. Kerana nantinya hak semua pihak yang tertindas juga perlu dan akan diperjuangkan. Dulu hak Bahasa Melayu dan pencintanya telah berjaya diperjuangkan, kini giliran mangsa ISA pula. Sampai masanya apabila nasib anggota polis tidak terbela, maka rakyat yang disembur gas dan ditangkap umpama penjenayah ini pula yang diajak berhimpun untuk mengangkat martabat anggota polis. Siapa tahu, dunia akan berubah!

No comments: