Tuesday, July 14, 2009

UMNO TINGGAL KESEORANGAN PERTAHANKAN ISA!

Satu demi satu kejutan dalam politik negara mutakhir ini. Selepas Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama PAS secara terang-terangan menyatakan hasrat mengadakan Himpunan MANSUH pada 1 Ogos nanti, sekonyong-konyong Parti komponen BN, Parti Gerakan menyatakan sokongan terhadap himpunan ini, bahkan akan turut sama menyertainya.

Bukankah pelik lagi hairan, dasar yang sama-sama mereka cipta dan pertahankan sejak merdeka tiba-tiba ditentang oleh rakan sekomponen. Kenyataan semalam oleh Ketua Pemuda Gerakan benar-benar mencabar keangkuhan Pemuda UMNO.

Mana dia Ketua Pemuda UMNO (bekas) yang dulu gah tunjuk keris dalam persidangannya. Mana dia kelantangan Khairy Jamaluddin (dalam satu demonstrasi kawalan polis) yang garang mempertahankan bangsa Melayu! Tak kedengaran suara-suara samseng pemuda UMNO dan PEKIDA yang berani tunjukkan kehebatan mencabar sebagaimana Pemuda Gerakan.

Sedangkan inilah gelanggang mereka menunjukkan aksi hebat mereka. Berdemo menentang dasar pemerintah, semua boleh membayangkan akibatnya. Berdepan dengan polis FRU yang lengkap dengan senjatanya, berasak melarikan diri dari gas pemedih mata dan air asid yang tidak tertahankan itu. Siapa sanggup menadah kepala dipukul dengan belantan, diterajang dan dipijak kepala oleh kasut but yang keras. Siapa berani berdepan risiko ditangkap, diheret macam binatang ataupun penjenayah besar. Risikonya seperti pemimpin parti politik pembangkang sekarang, proses perbicaraan yang panjang, dan berakhir dengan dipenajara atau didenda!

Semuanya dilakukan kerana terpaksa. Rakyat terpaksa turun atau dikerah turun ke jalan raya kerana hampir semua proses diplomasi telah gagal. UMNO-BN gagal memahami aspirasi rakyat yang mahukan kezaliman ISA dihentikan. Sudah puas seminar, wacana, debat dan pidato diadakan. Sudah jenuh memorandum dihantar - hampir ke semua pihak, dari peringkat nasional membawa ke persidangan antarabangsa.

Kini giliran rakyat menunjukkan kuasanya. Kuasa PRU ke 12 juga gagal merebahkan sebuah kuasa sombong yang bertahan dengan akta dayus ini. Jalan raya adalah pilihannya, yang terakhir dan terbaik. Ia mujarab buat menginsafkan sang penguasa kerana PPSMI pernah mengalami nasib yang sama. Andaikata rakyat tidak berhimpun di jalan raya bersama para saterawan dan budayawan, nescaya PPSMI akan terus terlaksana dan dipaksakan ke atas murid sekolah. Apakah ubatnya, kalau tidak himpunan di jalanan.

Pemuda Parti Gerakan pasti mengetahui akibat nasib mereka. Layanan mereka pasti sama seperti pemuda PAS, PKR dan DAP. Dilayan seperti binatang yang tidak punya perasaan. Pemuda Gerakan juga pasti tahu apakah nasib mereka selepas ini, sama ada ditendang keluar dari BN atau diberi surat tunjuk sebab. SAPP telah memulakan langkah dan menerima kesannya sekarang. Dihalau keluar macam binatang yuang tidak bernilai sesen pun.

Namun apa hendak dikata, keadilan dan kebenaran perlu didahulukan. Rakyat mesti diutamakan, betapapun akibatnya yang mereka hadapi. Syabas Pemuda Gerakan yang mudah melihat kebenaran terbentang didepan mata. Biarkan pemuda UMNO dengan sikap kepongahan mereka, berenang dalam lautan yang sesat! Ayuh bersama rakyat berdepan dengan politik baru yang kita sama-sama ciptakan pada 1 Ogos nanti...

No comments: