Friday, July 17, 2009

SPRM WAJAR BERTANGGUNGJAWAB KEMATIAN MENGEJUT TAHANANNYA.

Setiausaha Politik YB Ean Yong Hian Wah iaitu Teo Beng Hock mati mengejut di bangunan SPRM kerana jatuh bangunan. Tidak dikenalpasti sama ada beliau menjatuhkan diri atau terjatuh atau dijatuhkan. Yang pasti, menurut jurucakap SPRM selepas sesi soal jawab dengan beliau tamat jam 3.25 pagi, beliau masih kelihatan pada jam 6.00 pagi di dalam bangunan SPRM tersebut. Mendiang dijadualkan akan melangsungkan perkahwinannya hari ini!

Memeranjatkan. Dalam keadaan SPRM sangat bernafsu dengan ADUN Pakatan Rakyat, sedangkan berbelas aduan terhadap penyelewengan pemimpin UMNO - BN disenyapkan, tiba-tiba berlaku insiden ini di dalam bangunan yang di kawal SPRM sendiri. Mungkin inilah belang sebenar hipokrasi SPRM yang garang menyergah pemimpin politik pembangkang, tetapi menikus terhadap dakwaan besar dan sahih terhadap pemimpin rejim pemerintah.

Bayangkan, dakwaan terhadap PKFZ disenyapkan begitu sahaja. Bagaimana dengan aduan rasuah beka Menteri Besar Selangor yang membina mahligai bernilai RM 24 juta. Dari mana beliau dapat duit sebanyak itu? Di mana kes bekas Menteri Besar Kedah yang ditangkap dengan video camera cuba merasuah seorang ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat. Ke mana perginya kes berprofil tinggi melibatkan bekas-bekas Menteri yang sekarang duduk kenyang dengan duit rasuah itu?

Banyak persoalan timbul di sebalik kematian misteri ini. Pertama, adakah mangsa diugut dan diseksa sedemikian rupa sehingga tidak tertahan dengan tekanan lalu mejatuhkan diri dari bangunan? Kalau betul tekanan, SPRM wajar menjawab adakah ini bentuk soal siasat sehingga menekan mangsa sedemikian rupa yang memaksa beliau menghabisi hidupnya?

Kedua, Dalam kes seorang tahanan India yang mati di dalam tahanan lokap, habis riuh rendah seluruh negara menuding jari ke atas polis yang dituduh menyiksa mangsa sehingga mati. Adakah perbuatan yang sama berlaku ke atas mangsa ini? Menyiksa keterlaluan yang boleh menyebabkan kematian, kemudian untuk mengelakkan kes ke atas SPRM maka dicipta isu seolah-olah mangsa membunuh diri. Dengan erti kata lain, SPRM sengaja mencari helah bagi mengelakkan dirinya dipersoalkan atas siksaan yang keterlaluan.

Perkara ini bukan mustahil kerana ada aduan dari pemimpin politik yang mendakwa di pukul dan disiksa oleh pegawai penyiasat SPRM.

Ketiga, kematian mengejut ini sukar untuk membuktikan beliau membunuh diri. Ini kerana beliau tidak langsung dilihat bermasalah, dan lagi beliau akan melangsungkan perkahwinan esoknya. Soalnya kembali kepada SPRM. Apakah yang SPRM lakukan ke atas mangsa? Menolaknya jatuh atau memaksa beliau untuk jatuh? Adakah ia suatu konspirasi pembunuhan politik 'political assasination' untuk membunuh orang lain dan menjadikan mangsa sebagai kambing hitam? Konspirasi apakah pula yang bakal dirancang, melibatkan peringkat lebih tinggikah?

Keempat, ia berlaku di dalam jagaan SPRM. Soal siasat sehingga jam 3.23 pagi? Kemudian mendiang masih dilihat di dalam bangunan SPRM jam 6.00 pagi kemudian tidak lagi kelihatan. Adakah pengawal keselamatan tidak bertindak apa-apa apabila melihat ada orang yang mencurigakan berkeliaran jam 6.00 pagi di dalam sebuah bangunan? Kenapa Pegawai penyiasat SPRM tidak menyuruhnya pulang demi keselamatan beliau?

Kelima, isu ini timbul ketika keghairahan SPRM menyiasat ADUN Pakatan Rakyat di Selangor. Dan kebetulan pula bekas Menteri Besar Selangor pula dihalau keluar dari dewan. Jauhkah dari keraguan bahawa ia suatu kebetulan atau dirancang, Dr Khir Toyo dihalau keluar dewan, kemudian SPRM bertindak agresif menggeledah Pejabat DAP dan seterusnya berlaku insiden terbunuhnya mangsa. Apakah boleh kita jadikan sebagai kes membalas dendam, marah dan gelojoh atau geram terhadap seseorang atau sekumpulan? Dan mungkinkah ia suatu permulaan kepada episod panjang sebuah catatan hitam demokrasi di Malaysia, perancangan licik menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sepertimana yang berlaku di Perak? Tidak mustahilkah ia akan berulang??? Satu demi satu babak tercipta, dan insiden ini hanya permulaannya.

Hakikatnya, kesemua kebarangkalian yang mungkin benar atau tidak. Yang penting, SPRM perlu menjawab satu persatu persoalan yang timbul di benak masyarakat. Kenapa ia berlaku, dan mengapa ia berlaku di bangunan kawalan SPRM? Mengapa ia berlaku di kemuncak proses siasatan ke atas pemimpin DAP. Semua telah menuding tangan ke atas SPRM dengan seribu persoalan. SPRM perlu menjawab dan bertanggungjawab di atas semua insiden ini, Andaikata SPRM sedari awal bersih dan telus, dan bertindak betul, mungkin insiden begini tidak berlaku..

No comments: