Pasca PRU ke 12 kita berdepan dengan dunia politik baru yang serba mencabar. Memang sifat politik begitu, berfikir dan berlaku biasanya di luar jangkaan. Rakyat Malaysia menghadapi tidak kurang dari 6 Pilihanraya kecil selepas tsunami melanda dalam PRU ke 12.
Bermula dengan Permatang Pauh, apabila Dato' Seri Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya bagi memberi peluang suaminya masuk ke Parlimen secara rasminya, kemudian di Kuala Terengganu, apabila Ahli Parlimen BN -UMNO (Dato' Razali) meninggal secara mengejut ketika bermain badminton di Genting Highland, kita berdepan pula dengan tiga Pilihanraya serentak - iaitu di Parlimen BukitGantang (Ahli Parlimen PAS meninggal pula iaitu Roslan Shaharum), di Batang Ai (ADUN BN meninggal dunia) dan kemudiannya di Bukit Selambau apabila ADUN KPR meletakkan jawatan kerana tekanan dan ancaman dari BN. Selepas itu Timbalan Ketua Menteri
yang mewakili DUN Penanti pula meletakkan jawatannya.
Kesemuanya kecuali di Batang Ai rakyat Malaysia menyaksikan suatu fenomena baru tersungkurnya UMNO-BN yang kecundang dalam 6 siri pilihanraya kecil. Belum pernah terjadi dalam sejarah UMNO-BN kecundang dengan mudah dalam mana-mana Pilihanraya kecil yang diadakan.
Dalam pada itu, berlaku pula suatu rampasan kuasa di Perak yang bermula akibat tindakan melompat parti. Sesiapa pun tidak akan melupakan bagaimana insiden itu bermula apabila wakil rakyat dari UMNo-BN memulakan langkah dengan menyeberang ke PKR. Dengan secara mendadak Najib membalas dengan membeli sekali gus tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat. Dua dari PKR dan satu dari DAP. Ketiga-tiganya kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.
Dalam kemelut ini, rakyat melihatdnegan penuh sangsi terhadap keutuhan pemimpin parti politik sama ada UMNO (yang melompat parti dahulu), kemudiannya PKR (dua ADUN melompat menjadi bebas) manakala seorang adun DAP pula menyertai keduanya. Di Kedah, ketika penulisan ini disarkan, seorang wakil rakyat DAP telah mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas.
Apakah mesej yang rakyat boleh baca dari kesemua trajedi yang berlaku dalam negara hari ini? Pertama soal kepercayaan rakyat terhadap prinsip perjuangan pemimpin khususnya wakil rakyat mereka kepada perjuangan parti mereka. Rakyat melihat pemimpin politik sebegini mudah dibeli, dipujuk rayu, diugut dan diancam. Nak harapkan UMNO - BN? Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada UMNO-BN untuk menerajui negara lantaran seorang ADUNnya pernah melompat parti serta pelbagai kes rasuah yang memalitkan parti itu.
Di atas lembaran sejarah, hampir kesemua parti dominan ada rekod ADUN melompat parti kebelakangan ini. Pasca PRU ke 12 ini, Alhamdulillah hanya PAS terus teguh dengan prinsip perjuangannya dengan tiada seorang wakil rakyat pun dari PAS yang melompat parti.
Saya menulis ini bukan untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat. Atas kertas, pengalaman yang panjang memang telah tertulis pemimpin PAS yang melompat parti. Sehingga pemimpin paling tinggi pun pernah keluar PAS dan masuk UMNO-BN. Memang ada sejak dahulu. Cuma saya mengambil pengalaman selepas PRU ke 12 sehingga kini pemimpin PAS masih bersih dengan perjuangan mereka.
Ketika Kelantan di ambang kejatuhan selepas PRU ke 11 sekalipun, saya masih berbangga kerana Kelantan masih bertahan dengan Kerajaan PAS sekalipun dipisahkan dengan satu kerusi dan dua undi! Bukan tidak ada usaha membeli wakil rakyat PAS, beribua bahkan berjuta ringgit ditawarkan kepada wakil rakyat PAS di Kelantan untuk melompat. Tetapi aqidah perjuangan inilah yang memisahkan antara PAS dan lain-lain parti.
Wakil rakyat PAS bertahan sehingga nafas akhir mereka. Di Bukit Gantang, di Manek Urai, dan terbaru (ada berita keuzuran ADUN Galas dari Parlimen Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang mengidap barah usus tahap 4). Saya tidak mendoakan kematian beliau, tetapi saya mendoakan beliau mati dengan terus bertahan sebagai wakil rakyat PAS! Semoga beliau sembuh dari penyakitnya.
Begitulah yang dapat digambarkan. Mungkin pengalaman yang panjang dengan menghadapi jatuh bangun dalam politik negara mendewasakan dan menginsafkan pemimpin PAS. Mungkin dari kalangan wakil rakyat yang mudah berubah perlu disedarkan, betapa peritnya untuk memenangi sebuah kerusi DUN atau PArlimen, apatah lagi mempertahankan kemenangan tersebut. Betapa sukarnya meraih kepercayaan pengundi, justeru wajarkah kita memperjudikan masa depan kerajaan negeri dan negara? Semoga wakil-wakil rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat dapat memikirkan. Utamakan perjuangan parti, prinsip keadilan dan rakyat dari perut dan periuk nasi sendiri.
No comments:
Post a Comment