Thursday, July 2, 2009

HIMPUNAN RAKSASA BAKAL MENGGAMIT LAGI!

Kerana Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA), kita rakyat Malaysia terpaksa berhimpun lagi. Setelah dua siri kejayaan himpunan secara tersusun setiap tahun, kali ini rakyat dari segenap pelusuk negara dikerah. Dimana? Ia belum ditentukan lagi.

Yang pasti tarikh keramat 1 Ogos 2009 telah dipilih untuk himpunan bersejarah. Harap-harap janganlah nanti himpunan ini menjadi himpunan yang berdarah. Mungkin menjadi trend himpunan gergasi dan raksasa dicipta bagi menghimpunkan kekuatan luar biasa rakyat terhadap pemerintahnya.

APA KESAN HIMPUNAN RAKSASA
Tahun 2006, Himpunan BERSIH menjadi trademark kepada perubahan tsunami dalam pilihanraya umum ke 12. UMNO-BN jatuh tertiarap. SPR tidak boleh lagi mendabik dada mendakwa merekalah pelaksana undang-undang pilihanraya paling bersih. Usai PRu ke 12, enam siri Pilihanraya kecil semuanya digeruni oleh UMNO-BN-SPR. Ini kesan utama kepada kehendak dan tuntutan rakyat. Meskipun tiada perubahan drastik pada polisi dan dasar perlaksanaan Pilihanraya dalam negara, sedikit sebanyak ia membuka mata rakyat untuk bersama arus perubahan itu.

Tahun 2009, berlaku sebuah lagi kejutan himpunan. Raksasa, Gergasi dan apa sahaja yang boleh disinonimkan dengan perhimpunan luar biasa ramainya. Kali ini PPSMI menjadi mangsa ratahan amarah umat. Saya rasa, Himpunan PPSMI lebih ramai berbanding Himpunan BERSIH. Apa kesannya? Lihatlah pada kegelojohan PM ketika itu, Pak Lah. Bergegas mahu dasar PPSMI di kaji semula. Hingga sekarang kemarahan rakyat termasuk Seniman dan Sasterawan Negara belum terubat. Siapa sangka Dato' A Samad Said mampu hadir ke pentas PAS sewaktu Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Taman Melewar. Ini adalah sejarah yang tertulis dan ini kesannya kepada dasar porak peranda BN. Kiranya BN-UMNO tidak kaji semula dasar tersebut, lingkuplah hayat UMNO menjelang PRU ke 13.

HIMPUNAN ISA TEMPA SATU LAGI SEJARAH NEGARA
Himpunan kali ini berkisar tentang ISA. Akta Drakonian yang menelan beratus bahkan entah beribu rakyat tidak berdosa. Apa salahnya ISA? Salahnya kerana ia menahan orang tanpa pendakwaan (bicara). Sudahlah begitu, tidak diketahui berapa lamanya mangsa diperap di balik jeriji besi itu. Akhirnya yang dibebaskan masih tidak tahu benarkah mereka terlibat dengan dakwaan mengarut kerajaan BN. Kalau ditahan dua tahun dengan diberi notis makluman lama mana mereka harus ditahan boleh tahan juga. Tapi kalau batang tubuh sendiri pun tidak tahu berapa lama ditahan, itu sudah dikira penganiayaan.

Mana ada dalam dunia akta dan undang-undang demikian. Tahan orang kemudian pengap beberapa tahun tanpa pembelaan. Tidak ada dalam dunia demokrasi yang moden menghalalkan tindakan demikian. Hanya Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Israel bertindak begitu.

Kalau yang dikatakan ISA adalah tempat simpanan penjenayah dan pengganas, kenapa ramai mangsa ISA yang terdiri dari kalangan ahli politik. Bukankah ini menunjukkan ISA adalah alat untuk melindungi kepentingan politik sang tirani yang sedang berkuasa. Tian Chua, Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Dr Badrul Amin, Shaari Sungip adalah nama besar dalam pentas politik yang pernah menjadi tahanan ISA.

Himpunan kali ini saya jangkakan agak keras tentangannya. Ya, kerana kita berdepan dengan dasar kerajaan. Kadang-kadang saya hairan kenapa kerajaan berdegil sangat meneruskan dasar tidak popular ini. Sedangkan kalau ISA dibubarkan atau dihapuskan, sudah pasti kerajaan UMNO-BN akan disayangi rakyat. GMI pun pasti akan dibubarkan. Mungkin Pengerusinya pun akan sokong UMNO. Tetapi akal mereka tidak panjang untuk berfikir demikian. Kesannya bertahun rakyat bermusuh dengan kerajaan UMNO-BN. Selagi mereka kekalkan dasar itulah, selagi itu penentangan rakyat berterusan.

Bersedialah kita sekali lagi berdepan dengan hujan asid dan gas pemedih mata, demi mencipta sebuah sejarah. Bersedia jugalah anak dan isteri kemungkinan terpisah dari insan tersayang - diseret dan ditangkap tanpa belas kasihan. Nantikan kemunculan sejarah baru negara pada bulan Ogos kerana 1 Ogos akan dikenang sebagai tarikh pembebasan negara dari ISA!

No comments: