Monday, July 27, 2009

KALAU TUN LAH MASUK PAS

Dalam satu kenyataan semalam, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan dan menjemput Tun Abdullah Ahmad Badawi menyertai PAS, mengiringi beberapa bekas pimpinan UMNO, MCA dan MIC yang telah menyertai PKR.

Dalam dunia politik, tidak ada yang mustahil. Dalam perjuangan Islam, perkara ini sering berlaku apabila musuh Islam pada asalnya (tidak dimaksudkan dengan Pak Lah), bertaubat atau masuk Islam. Siapa sangka pemimpin besar Mekah (dianggap Perdana Menteri Mekah) Abu Suffian memeluk Islam dan isytihar bersama Rasulullah saw. Tidak ada siapa menduga Umar ra yang hebat dan gagah itu sanggup melutut di depan Rasulullah saw dan memeluk Islam. Tidak ada jangkaan Khalid al Walid yang berjaya mengalahkan tentera Islam dalam perang Uhud memeluk Islam dan menjadi pejuang yang hebat. Ini semua adalah ketentuan takdir Ilahi dan tidak ada apa yang mengherankan. Kuasa allah semuanya boleh terjadi.

Kalaulah Tun Abdullah menyertai PAS, isnyaallah akan berseri lagi perjuangan Islam ini. Saya yakin Tun Abdullah pasti akan mendapat tempat yang tinggi di peringkat Pusat. Dalam PAS tidak ada perebutan jawatan, dan kalaupun ada tidaklah ketara. Hanya segelintir mereka yang berkepentingan sahaja akan merebut jawatan dalam PAS. Kebanyakannya hampir di semua tempat, ruang bekas Perdana Menteri itu terbuka. Tun Lah boleh ditempatkan sama ada sebagai AJK PAS Pusat, penasihat tertentu dalam mana-mana posisi strategi PAS (sebagai menghormati kedudukan beliau), sebagai Pesuruhjaya, atau apa saja yang difikirkan sesuai. Bukankah Rasulullah saw dahulu mengiktiraf Abu Suffian dengan jaminannya rumah beliau akan selamat selepas beliau menganut Islam.

PAS akan sedia memaafkan kesasalahan beliau terdahulu (dosa sesama makhluk, kalau dosa terhadap Allah beliau kena mohon ampun dari Allah swt). Saya menganggap semua ahli PAS sedia berlapang dada dengan penyertaan beliau dan mungkin orang-orangnya. Inilah keistimewaan PAS. Dato' Zahar Hashim yang telah menyertai PAS tahun lepas, diberikan layanan yang istimewa. Beliau masih diberi tempat sebagai pemimpin peringkat kawasan yang orang-orang sezamannya di dalam PAS sendiri tidak merasainya.

Cuma kalau benar Tun Abdullah mahu menyerftai PAS, saya nasihatkan beliau supaya banyak bersabar. Seperti mana beliau ketika di dalam UMNO yang banyak menohmah dan menghina caci PAS, begitulah PAS hari ini akan diperlakukan. Ejekan, hinaan, cercaan, tidak termasuk tangkapan, ugutan, siksaan adalah makanan biasa bagi PAS, sejak ia ditubuhkan. Biasa terjadi bagi orang PAS - hanya kerana bercakap soal Islam, seluruh kampung, daerah dan kawasan memulaunya. Ini adalah asam garam dan kami biasa hadapinya.

Dalam PAS, bukanlah tempat mencari keuntungan. Tidak ada elaun tambahan, tidak ada tuntutan perjalanan, bahkan bagi ahli dan pimpinan, semakin tinggi jawatannya semakin banyaklah duit yang mengalir keluar. Sebarang aktiviti biasanya dibiaya sendiri. Dan biasa bagi pemimpin PAS duduk hidup sederhana zuhud seadanya. Lihatlah cara hidup Menteri Besar Kelantan, Menteri Besar Kedah dan Presiden sekarang. PAS tidak menolak kekayaan individu, tetapi individu tertinggi dalam PAS memilih cara hidup yang serba sederhana.

Semoga Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan hidayah oleh Allah swt menyertai PAS, bersama isteri dan keluarganya. Inilah masanya untuk berubah, kerana usia kita semakin dihimpit masa yang semakin singkat. Dan lagi Tun, PAS lah wadah untuk bukti keikhlasan menabur jasa kepada rakyat tanpa mengenal lelah dan letih, tidak mengira pangkat dan jawatan, masa dan tenaga. Kami sudah berpersada dalam negara sejak 50 tahun, cahaya kemenangan belum sinar di depan mata, tetapi semua dari kalangan terus berjuang tanpa bertanya bila PAS akan menang.

Selamat menyertai PAS wahai Tun Abdullah!

No comments: