Saya tujukan posting ini adalah khusus buat pasangan ternama yang mengalami berantakan rumahtangga sehingga melibatkan sengketa dua negara. Tanpa melihat kepada siapa yang benar dalam isu ini, terdetik dalam hati saya mengapa tergamak sang isteri ini melarikan diri pulang ke pangkuan ibu bapanya di negara seberang. Mengapa tergamak pula beliau menceritakan kepada publik penderaan selama ini yang dideritainya.
Saya berpandangan isu ini kecil untuk diselesaikan. Bawalah ke mahkamah, dan dakwalah siapa sahaja yang didapati bersalah. Tanpa mengira darjat dan keturunan, kebenaran harus ditegakkan.
Cuma saya berpendapat adalah baik kiranya kita berpandukan kepada Islam. Soal jodoh perkahwinan sudah tentu dalam ketentuan Allah swt. Perkahwinan dan cerai tidak mungkin dapat diramal kecuali bagi kehidupan golongan selebriti yang berkahwin dan cerai secara suka-suka. Islam menentukan jodoh yang dicari mestilah yang sesuai dan layak, sekufu dan soleh.
Seorang bakal suami yang bakal dikahwini hendaklah diyakini seorang yang soleh, menjaga solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, menjaga kehormatan, menundukkan pandangan, serta tahu ilmu agama. Paling tidak pun mampu menjadi Imam buat isteri. Rasulullah saw tidak pernah meletakkan soal harta sebagai keutamaan dan sandaran. Yang pentingnya adalah keimanan dan kesolehan yang menjadi asas kerukunan rumahtangga.
Seorang isteri yang bakal dikahwini juga mesti diyakini seorang yang menjaga adab dan auratnya, imannya terpelihara, matanya 'tunduk' (tidak melihat maksiat) serta batasan pergaulannya juga terhad. Dia tidak sesekali bergaul dengan lelaki bukan mahramnya tanpa batasan. Inilah asas kebahagiaan rumahtangga. Islam juga tidak pernah meletakkan rupa paras dan kecantikan sebagai syarat utama wanita untuk dinikahi.
Tidak perlulah kita merujuk kepada mana-mana kes untuk dijadikan contoh. Tetapi percayalah kerukunan rumahtangga yang dibina oleh sesiapa juga pasti akan berkekalan kiranya kita memilih jodoh yang bersesuaian. Memilih jodoh dari kalangan perempuan yang sudah diketahui liar dan tidak menjaga aurat serta batasan pergaulannya merupakan suatu yang malang. Maka jadilah apa yang tidak mahu ia terjadi. Pergolakan, perceraian, serta saling tuduh menuduh, mengaibkan pasangan adalah kesan daripada soal pemilihan jodoh yang tidak sesuai. Saya tujukan nasihat ini adalah untuk diri, keluarga bahkan sesiapa sahaja yang membaca posting ini.
Semoga kita kembali kepada landasan Islam, biarlah dengan ini kita menjadi tidak ternama asalkan jodoh kita berpanjangan hingga ke akhir hayat.
1 comment:
saya bersetuju.
Post a Comment