Wednesday, August 5, 2009

JOM PAKAT SAMAN POLIS!

Para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman kononnya merungut kerana terpaksa tutup kedai dan menanggung kerugian akibat demonstrasi hari Sabtu lepas. Kononnya dikhabarkan sehingga RM 200 juta mereka rugi hanya kerana mereka terpaksa tutup kedai akibat demonstrasi.

Soalnya siapa yang menyebabkan mereka tutup kedai? Adakah para pendemonstrasi merusuh sehingga merosakkan barang-barang di kedai. Bagaimana pula dengan kedai makanan atau restoran di tepi jalan yang hasil jualan mereka habis di beli para pendemonstrasi. Bagaimana yang hadir berkeluarga menghabiskan masa dan duit dengan membeli belah sebelum menyertai himpunan. Adakah mereka rugi kerana pendemonstrasi, atau mendapat untung mendadak pada hari tersebut? Saya melihat gerai air minuman laris pada hari tersebut, begitu juga makanan. Begitu juga dengan LRT (Putra atau STAR) juga komuter. Tidak semena-mena tiket sangat laris, macam menonton perlawanan bolasepak di stadium.

Takkanlah menutup kedai hanya untuk beberapa jam (bermula jam 2 petang hingga 5 petang) boleh rugi beratus juta ringgit. Kalau betul pun rugi para peniaga perlu salahkan pihak polis. Polis lah yang mencetuskan suasana huru hara. Kalaulah polis memberi permit, ataupun setidak-tidaknya menjaga keselamatan dengan membenarkan himpunan itu berlangsung, nescaya tidak ada kedai yang perlu ditutup. Saya tidak mendengar atau melihat para demonstran mencuri di kedai-kedai tepi jalan.

Polis lah yang menyembur air kimia (asid) kepada orang ramai. Sehinggakan peniaga dan pembeli turut terkena simbahannya. Polis sengaja menembak orang ramai dengan meriam air - kerana nantinya peniaga atau pembeli akan menyalahkan penganjur. Sedangkan penganjur hanya menganjurkan himpunan. Yang menjadi mangsa adalah orang ramai. Adakah wajar polis yang memburu penjenayah mengacukan senjata kepada orang ramai dan menembak mereka hanya semata-mata mahu menembak penjenayah di celahan orang ramai. Ini tidak wajar.

Polis juga sengaja menembak gas pemedih mata secara rambang. Inikah namanya SOP (Standard Operation Procedure) yang dilatih polis. Saya saksikan sendiri FRU menembak gas pemedih mata di dalam kedai makanan yang dipenuhi orang ramai yang sedang menjamu selera. Akibatnya dua orang wanita tua telah pengsan. Wajarkah tindakan ini. Dua kelongsong peluru gas asap juga dijumpai di dalam kompleks membeli belah. Anak-anak kecil yang berada di dalamnya muntah dan mengalami sesak nafas. Mujur tidak ada kes kematian.

Polis sengaja menangkap orang ramai yang telah bersurai dari himpunan. Di Stesen KL Sentral, Sentral Market, Jalan Raja Laut polis mengejar dan menangkap sesiapa sahaja yang disyaki menyertai himpunan. Sedangkan orang ramai telah beredar pulang. Wajarkah ini. Ia sengaja menimbulkan rasa takut orang ramai dengan persepsi supaya himpunan ini ganas. Tegasnya yang ganas adalah polis dan peserta himpunan adalah mereka yang sangat berhemah!

Kalau diikutkan hati amarah anak muda, ramai yang merusuh akibat tindakan kejam polis pada hari tersebut. Mungkin ramai yang memecahkan cermin kedai, membakar kenderaan, menghumban kenderaan polis, membakar bendera, merosakkan harta benda awam seperti yang berlaku di Stadium Kota Bharu beberapa bulan lepas. Tetapi itu tidak berlaku, menandakan peserta himpunan sangat menghormati undang-undang. Tidak sebaliknya kepada polis.

Wajar bagi peniaga kemukakan saman, tetapi bukan kepada GMI atau peserta himpunan. Yang layak disaman ialah polis kerana menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka. Polis wajar bertanggngjawab di atas apa yang berlaku. Merekalah yang menyembur water canon, merekalah yang menembak gas pemedih mata tanpa belas kasihan, merekalah yang menghambat dan mengejar orang ramai. Saya menyokong saman ini, dan tetapkan harga yang wajar untuk dibayar agar menjadi peringatan kepada polis, menjaga ketenteraman awam bukan bermaksud menjaga hati dan nafsu pemimpin UMNO-BN!

No comments: